Selain itu tambah beliau, tindakan tersebut juga bakal menjamin masa depan dan kebajikan para guru, di samping meningkatkan lagi mutu pendidikan di negeri ini.

“Jika didaftar dengan Kementerian Pendidikan, sekolah-sekolah itu bukan lagi di bawah tanggungan kerajaan negeri... gaji guru boleh naik, pembangunan terhadap sekolah pun boleh dibuat,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita ketika sesi rehat sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Kelantan di sini, semalam.

Terdahulu dalam sesi soal jawab lisan, Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Insan, Pendidikan dan Pengajian Tinggi negeri, Datuk Dr. Mohamed Fadzli Hassan mengakui masalah kewangan merupakan faktor YIK gagal membuat caruman untuk kakitangannya.

Menurut Mohamed Fadzli, YIK telah membuat potongan terhadap gaji kakitangannya, namun tidak membuat caruman kepada institusi yang sepatutnya sejak 2001 dan setakat September lalu, jumlah tunggakan tersebut mencecah RM14.6 juta.

Mengulas lanjut, Md. Alwi berkata, jawapan bahawa kos operasi meningkat sehingga memaksa YIK mengambil pendekatan tersebut agak meragukan memandangkan kerajaan Pas Kelantan menerima bantuan untuk perbelanjaan untuk mengurus daripada kerajaan Pusat pada setiap tahun.

Tambahnya, pada tahun ini sahaja, kerajaan Pusat telah menyalurkan bantuan sebanyak RM85 juta kepada kerajaan Pas Kelantan untuk belanja mengurus.

“Dalam jawapan (Mohamed Fadzli) tadi, antara sebab YIK ada masalah kewangan kerana pelaburan gagal.

Bagaimanapun, wang pekerja dipotong. Itu maknanya wang (pekerja) digunakan untuk perkara lain.

“Saya fikir kerajaan negeri perlu segera membuat sesuatu. Tidak elok potong gaji orang kemudian tak bayar caruman yang sepatutnya,” kata beliau. - UTUSAN ONLINE


               Tunggakan SABK Hanya Setengah Juta

Saya mendapat maklum, seorang pembesar Kelantan telah berucap merasmikan mesyuarat agung PIBG Ma'ahad Muhammadi Sabtu lalu.

Antara lain, beliau beralaskan YIK pernah membayar gaji guru SABK semasa transisi dari perkhidmatan YIK.

Guru-guru berkenaan belum membayar balik wang itu.

Ada beberapa implikasi dari ucapan ini :

1. Dakwaan saya berlakunya tunggakan berkenaan nampaknya akhirnya disahkan.

2. Kerajaan masih dalam sindrom penafian. Enggan berterus terang dan mengakui masalah yang wujud.

Tunggakan bayaran balik gaji guru SABK hanyalah berjumlah sekitar setengah juta, hingga September ini.

Jumlah tunggakan caruman YIK pula mencecah hampir 15 juta, Bolehkah setengah juta tunggakan dijadikan alasan untuk tunggakan lain hampir 15 juta?

Setengah juak pula mendakwa, tunggakan ini bermula sejak saya menjadi Exco Kewangan.

Alhamdulillah, nampaknya saya telah menjadi penanda aras!, Jika ia berlaku di zaman saya, perkara itu dikira tidak apa-apa.

Selaku Exco Kewangan, YIK bukan bidang tugas saya secara langsung.

 Selagi mana tidak ada pemakluman terus kepada saya atau kertas menerusi mesyuarat Exco, saya tidak mempunyai info mengenainya.

Apa lagi, saya tidak pernah terlibat dengan YIK dalam apa jua bentuk.

Hanya pada tahun 2012, perkara ini dibangkitkan. Bukankah pada tahun 2012 semua tunggakan itu diselesaikan?

Itu sebab, jika pun saya hendak diserang dan diaibkan, teliti fakta dan angka yang saya tuliskan.

Bukankah ia mula tertunggak sejak Mei/Jun 2014 dan mula bertambah buruk kemudiannya?

Sepanjang 2013, ia tidak berlaku, berdasarkan statistik YIK sendiri.

Sejak lama saya mencadangkan YIK mempunyai projeksi kewangan jangka panjang, Asetnya mesti dioptimumkan.

Saya telah contohkan isu ladang KTeknik milik YIK, Saya mungkin mampu menulis lebih detail jika niatnya hanya untuk memalukan sesiapa.

Dalam amalan demokrasi sihat dan matang, teguran untuk kebaikan tidak perlu dibalas dengan 'mematikan' orang yang menegur.

Cukuplah jika tunggakan itu dijelaskan. Guru-guru akan bergembira.

Guru-guru juga, rasa saya, sedia memaafkan jika kerajaan berterus terang akan masalah kewangan yang mungkin dihadapi.

Husam Musa

14 Muharam 1437/26 Oktober 2015



Kelantan akui tidak bayar caruman, potongan gaji guru YIK RM14.6 juta

Kerajaan Kelantan mengakui tidak membayar potongan gaji dan caruman guru Yayasan Islam Kelantan (YIK) membabitkan tunggakan berjumlah RM14.6 juta.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Insan, Pendidikan dan Pengajian Tinggi Datuk Dr Mohamed Fadzli Hassan berkata tunggakan tersebut berlaku sejak 2001 kerana beberapa faktor namun semakin meningkat bermula tahun lepas.

Beliau berkata potongan gaji dan caruman itu sepatutnya dihantar ke beberapa agensi seperti Biro Angkasa, Bank Islam, Tabung Haji, Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dan Koperasi Majlis Agama Islam Kelantan (Maik).

"Tunggakan sehingga September tahun ini sahaja adalah sebanyak RM14.6 juta kerana YIK perlu menyusun kembali bayaran selepas berlakunya pelarasan gaji di bawah Skim Saraan Malaysia (SSM) yang bermula pada tahun lepas," katanya pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kelantan di Kota Baru, hari ini.

Beliau menjawab soalan tambahan Datuk Md Alwi Che Ahmad (BN-Kok Lanas) yang bertanyakan mengenai masalah guru YIK yang mendakwa berlakunya tunggakan caruman kepada agensi pencarum.

Fadzli berkata kerajaan negeri mempunyai beberapa pelan bagi mengatasi masalah tunggakan itu, namun setakat ini masih gagal dilaksanakan.

"Kerajaan negeri masih belum menerima keuntungan pelaburan sebanyak RM10 juta daripada anak syarikat milik kerajaan negeri, namun kami ambil tindakan terhadap pihak yang bekerjsama dengan kita itu.

"Selain itu, kerajaan negeri membuat bayaran sebanyak RM2 juta kepada pihak berkaitan bagi mengurangkan jumlah tunggakan," katanya.

Dalam pada itu, Alwi ketika ditemui di luar dewan berkata alasan dikemukakan oleh kerajaan negeri adalah meragukan kerana kerajaan persekutuan sentiasa memberi bantuan terhadap Kelantan terutama dari segi belanja mengurus.

"Alasan yang diberi itu agak meragukan saya kerana dia kata duit pembangunan tiba-tiba jadi tinggi, kemudian kerana pelaburan tak menjadi.

"Sudah 10 tahun kerajaan persekutuan beri bantuan kepada Kelantan untuk belanja mengurus, Tahun ini sahaja sebanyak RM85 juta (untuk belanja mengurus)," katanya.

Beliau turut menyarankan agar kesemua 16 sekolah agama di bawah seliaan YIK didaftarkan di bawah Kementerian Pendidikan bagi mengurangkan beban yang ditanggung kerajaan negeri, sekaligus membela nasib guru di sekolah berkenaan. 

- Bernama