Cari Blog Ini

Tiada Lagi Istilah Kepentingan Bangsa Selepas TPPA, Kata Bekas Menteri


gambar fail
[tmi]- Pemimpin hari ini tidak lagi memegang istilah prinsip kepentingan bangsa sebaliknya atas dasar "sahabat" kepada Amerika Syarikat, Perjanjian Perkongsian Trans-Pasifik (TPPA) berkemungkinan akan dimeterai, kata bekas menteri Kabinet, Tan Sri Sanusi Junid.

Sanusi berkata, orang politik akan mengatakan terdapat banyak manfaatnya kepada negara ini dengan menandatangani TPPA namun hakikat sebenar adalah pemimpin negara kini sedang "lemas" dan akan menggapai apa yang boleh bagi menyelamatkan mereka.

"Kalau orang dah nak lemas dalam sungai, dia akan capai kayu, najis pun dia pegang, dah tidak fikir kepentingan bangsa.

Bekas menteri Kabinet, Tan Sri Sanusi Junid berkata, orang politik akan mengatakan terdapat banyak manfaatnya kepada negara ini dengan menandatangani TPPA namun hakikat sebenar adalah pemimpin negara kini sedang ‘lemas’ dan akan menggapai apa yang boleh bagi menyelamatkan mereka. – Gambar The Malaysian Insider oleh Kamal Ariffin, 6 Oktober, 2015.Kalau (mereka) cerita (soal kepentingan bangsa) kita boleh dengar sahajalah," kata bekas setiausaha agung Umno itu ketika program Bicara Minda dan Sesi Dialog bersama Tan Sri Sanusi Junid bertajuk "Perpaduan: Mengapa kita masih keliru" di Kompleks Karangkraf di Shah Alam hari ini.

Sanusi berkata, secara peribadi beliau berpendapat Malaysia akan tetap menandatangani perjanjian perdagangan itu.

"Semua orang kata benda ini tak elok, Saya dari awal lagi kata mesti tandatangan, Sebab mereka nak kawan dengan Amerika Syarikat.

"Kalau kita nak berkawan dengan orang bersenjata, manfaat tidak adalah, Kalau kita tanya orang politik mereka kata banyak manfaatnya.

"Saya pun dulu orang politik, Tapi sekarang duduk bertaubat banyak dah," katanya.

Beliau yang juga bekas menteri besar Kedah berkata, sekiranya kerajaan memikirkan kepentingan rakyat, mereka tidak akan menandatangani perjanjian itu.

"Kalau berani dia orang tak tandatangan, kalau takut dia orang tandatanganlah, Kalau nak jaga hati kawan, Amerika Syarikat, tanda tanganlah," katanya.

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak memberi mandat kepada Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Seri Mustapa Mohamed berkenaan rundingan TPPA.

Menerusi laman Twitternya @NajibRazak hari ini, perdana menteri berkata beliau dan Kabinet memberi mandat dan kepercayaan kepada Mustapa untuk berunding terma-terma TPPA.

"Adalah tanggungjawab kerajaan memastikan kepentingan ekonomi jangka panjang negara dipelihara dan pada masa yang sama, kepentingan domestik tidak dikompromi," katanya.

Sementara itu, Mustapa dalam satu kenyataan semalam berkata TPPA yang dirumuskan baru-baru ini bersetuju mempertimbangkan hampir semua kebimbangan dan sensitiviti yang dibangkitkan Malaysia termasuk pemerolehan kerajaan, perusahaan milik negara dan Bumiputera.

Mustapa berkata butiran fleksibel diberikan kepada Malaysia termasuk tempoh peralihan lebih panjang dan layanan berbeza bagi perkara yang sensitif kepada negara.

Belia turut memberi jaminan keputusan sama ada Malaysia menjadi pihak atau sebaliknya kepada TPPA akan menjadi keputusan secara kolektif.


     Tiada guna lagi bahas TPPA di Parlimen, kata MTEM

Badan ekonomi Melayu hari ini membidas Putrajaya disebabkan termeterainya rundingan Perjanjian Perkongsian Trans-Pasifik (TPPA) semalam dan menyifatkan tidak berguna untuk dibahas di Parlimen kerana ia tidak akan mengubah apa-apa dalam perjanjian kontroversi tersebut.

Majlis Tindakan Ekonomi Melayu (MTEM) berkata, dengan TPPA selesai dirumuskan, ia bermakna kerajaan tidak lagi boleh membuat perubahan dalam perjanjian kontroversi tersebut.

"Ia belum ditandatangani lagi tapi rundingan bertulis dan kandungan sudah dirumuskan.

"Ia bermakna tidak ada lagi perubahan boleh dibuat dalam perjanjian bertulis TPPA, sama ada Parlimen Malaysia bersetuju atau tidak dengannya," kata Ketua Pegawai Eksekutif Mohd Nizam Mashar kepada The Malaysian Insider.

Nizam membidas janji kosong Putrajaya yang berkata isu TPPA akan dibahaskan di Parlimen, tetapi sebaliknya yang berlaku kerajaan sudah merumuskan perjanjian dengan Amerika Syarikat (AS) dan negara Asia Pasifik lain.

"Apa yang dijanjikan kepada kami adalah perbahasan di Parlimen, bukan kelulusan.

"Undang-undang Malaysia tidak perlu kelulusan untuk sebarang FTA (Perjanjian Perdagangan Antarabangsa) atau TPPA oleh kerajaan. Ia kuasa eksekutif," kata Nizam.

Sejurus memeterai TPPA semalam, Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Seri Mustapa Mohamed hari ini berkata butiran fleksibel diberikan kepada Malaysia termasuk tempoh peralihan lebih panjang dan layanan berbeza bagi perkara yang sensitif kepada negara.

"Saya ingin mengulangi sama ada Malaysia menjadi pihak atau sebaliknya kepada TPPA akan menjadi keputusan secara kolektif.

"Sebaik saja teks rasmi perjanjian siap dan disediakan, ia akan dibawa kepada pengetahuan umum dan dibentangkan di Parlimen untuk dibahaskan.

"Kita juga akan mengadakan perundingan penuh dengan pihak berkepentingan dan orang awam," katanya dalam satu kenyataan di Kuala Lumpur malam tadi.

AS, Jepun dan 10 negara lain di rantau Asia Pasifik, termasuk Malaysia semalam mencipta sejarah apabila memeterai perjanjian bagi mengurangkan halangan perdagangan barangan dan perkhidmatan serta menetapkan peraturan komersial dua per lima daripada ekonomi global.
                   

Tiada ulasan:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Artikel Terbaru

 
IdaMan - Blogger Templates, - by Templates para novo blogger Displayed on lasik Singapore eye clinic.