Cari Blog Ini

Peguam Negara Pertahan 1MDB


Tiada bukti baru, siasatan BNM ke atas 1MDB ditutup - Peguam Negara
Jabatan Peguam Negara mengambil keputusan untuk menutup siasatan Bank Negara Malaysia (BNM) ke atas 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Peguam Negara, Tan Sri Mohamad Apandi Ali berkata ini memandangkan tiada bukti baru dikemukakan BNM bagi meneruskan siasatan mengikut Perenggan 4(b) Bahagian 1 Jadual 5, Akta Kawalan Tukaran 1953 (ECM).

"Bank Negara sebagai badan pengawal aliran wang harus mendapatkan maklumat terperinci sebelum mengeluarkan kelulusan.

"Kesemua tiga kebenaran yang diberikan BNM untuk pemindahan wang yang dimohon 1MDB diberikan dalam tempoh tidak lebih tiga hari," katanya dalam sidang media di sini, hari ini.

Beliau turut menjelaskan bahawa tiada maklumat benefisiari diperlukan dalam borang permohonan ECM iaitu borang 09A dan 06B yang diisi pihak 1MDB semasa membuat permohonan.

"Bank Negara sepatutnya meneliti permohonan terbabit dan jelas sekali tiada maklumat lanjut diminta BNM bagi tujuan permohonan terbabit," jelas beliau.

Dalam pada itu, Apandi dengan tegas turut mempersoalkan kenapa 1MDB dipersalah.

"Jika Bank Negara Malaysia tidak memohon maklumat tertentu atau khusus, bagaimana 1MDB harus dipersalahkan apabila mereka telah mengisi borang dan menjawab soalan yang diperlukan?" soalnya.

Sebelum ini, Bank Negara Malaysia (BNM) menarik kembali tiga kebenaran yang diberikan kepada 1Malaysia Development Berhad (1MDB) bagi pelaburannya di luar negara bernilai AS$1.83 bilion.

Malah, menerusi siasatannya BNM berkata 1MDB memperoleh kebenaran pelaburan dengan memberikan maklumat yang tidak tepat atau tidak lengkap dalam permohonan kepada Bank Negara.

Justeru, BNM berkata ia telah mengesyorkan tindakan diambil oleh Pejabat Peguam Negara terhadap 1MDB ekoran pelanggaran mengikut Akta Kawalan Tukaran (ECA) 1953. #sumber


 IGP: Polis masih jalankan siasatan terhadap 1MDB

[mk]- Pihak polis masih menjalankan siasatan terhadap 1MDB, kata Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar.

Khalid menjelaskan bahawa adalah tidak benar pihaknya telah menghentikan siasatan ke atas 1MDB.

Katanya, pihak polis sedang menunggu Ketua Audit Negara melengkapkan siasatan, yang dijangka siap dalam tempoh tiga hingga empat bulan lagi.

"Kalau kita tidak tunggu siasatan Ketua Audit Negara ini, siasatan kita tidak lengkap.

Kita perlu kenal pasti kesalahan untuk kita jalankan siasatan," katanya sambil menambah bahawa pihaknya perlukan laporan Ketua Audit negara sebelum ia boleh menyelesai siasatan.

Beliau memberitahu pemberita demikian dalam satu majlis di ibunegara hari ini.

Ketika ditanya mengenai peratusan kemajuan siasatan, Khalid berkata: “Tak perlu kita sebut berapa kemajuannya.

Ia bergantung kepada laporan pihak audit nanti.

“Kita telah melaksanakan siasatan yang kita buat tapi belum selesai kerana menunggu laporan daripada Ketua Audit Negara.

“Kalau kita tidak siasat sepenuhnya tidak selesailah siasatannya.

Siasatan polis ini tidak berhenti sebenarnya, Kalau ada maklumat baru kita akan siasat,” katanya.

Sebelum ini berlaku kekeliruan berhubung status pasukan petugas khas yang membabitkan pihak polis, SPRM dan Bank Negara.

Namun peguam negara berkata siasatan yang buat oleh pasukan petugas khas masih dijalankan, dan setiap agensi berkenaan menyiasatkannya secara berasingan.

“Saya tidak mahu tambah masalah lagi... Kalau peguam negara kata wujud, maknanya wujudlah,” tambah Khalid.


      Siasatan 1MDB selesai dalam 3 bulan - Jabatan Audit

Hasil siasatan Jabatan Audit Negara terhadap akaun 1MDB akan dikeluarkan dalam tempoh kira-kira tiga bulan lagi.

Timbalan Pengarah Jabatan Audit Negara R Raja Sunthara Kannan berkata pihaknya sedang melaksanakan fasa kedua siasatan yang lebih terperinci berkaitan beberapa unsur yang belum disiasat.

"Fasa pertama siasatan telah selesai tetapi terdapat beberapa maklumat berkaitan luar negara yang perlu diselesaikan dan kita jangka akan mengeluarkan laporan siasatan dalam tempoh tiga hingga empat bulan lagi," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui sewaktu Seminar Kelestarian Integriti anjuran Akademi Pencegahan Rasuah Malaysia (MACA) bersama Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP) di Kuala Lumpur, hari ini.

Turut hadir ialah bekas Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Pengurusan dan Profesionalisme) Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Datuk Seri Zakaria Jaafar, bekas Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Pencegahan) SPRM Datuk Sutinah Sutan dan penganalisis jenayah Datuk Akhbar Satar.

- Bernama


                      Peguam Negara pertahan 1MDB

[sinar]- Jabatan Peguam Negara menegaskan bahawa syarikat milik kerajaan 1 Malaysia Development Berhad (1MDB) tidak patut dipersalahkan dalam dakwaan yang dibuat Bank Negara Malaysia (BNM) baru-baru ini kerana telah melalui proses yang dibenarkan.

Peguam Negara, Tan Seri Mohamed Apandi Ali  berkata, BNM sepatutnya meminta maklumat itu sejak tahun 2009 lagi bukannya sekarang.

"Jika BNM tidak memohon maklumat tertentu atau khusus, bagaimana 1MDB harus dipersalahkan apabila mereka telah mengisi borang dan menjawab soalan yang diperlukan? (Ketika permohonan dibuat)," soal Apandi dalam sidang media di pejabatnya, hari ini.

Apandi turut mendedahkan bahawa terdapat tiga kebenaran yang diperolehi oleh 1MDB daripada BNM untuk membuat kiriman wang pada 29 September 2009, September 6, 2010 dan 20 Mei 2011.

Katanya, BNM tidak mengambil lebih daripada tiga hari untuk memberikan keizinan terhadap ketiga-tiga permohonan itu.

Tambah beliau lagi,  semua borang-borang yang berkaitan bagi kiriman wang dalam kes ini tidak diperlukan pemohon menyatakan nombor akaun bank dan benefisiari.

"Setakat 1MDB maklum, ia perlu mengisi borang yang berkaitan dan bertindak balas kepada pertanyaan oleh bank pusat.

 "Jika BNM tidak meminta maklumat tertentu atau khusus, bagaimana 1MDB disalahkan kerana ia telah diisi borang yang diperlukan dan maklum balas kepada pertanyaan yang dibuat," katanya.

Menurut beliau,  pegawai-pegawai 1MDB semasa proses mendapatkan kebenaran yang telah mematuhi arahan yang diberikan, dan kelulusan bank pusat telah diberikan.


Tiada ulasan:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Artikel Terbaru

 
IdaMan - Blogger Templates, - by Templates para novo blogger Displayed on lasik Singapore eye clinic.