Cari Blog Ini

Pakatan Harapan : PKR Nafi Ramalan PAS, Saifuddin Nasution Bidas Kenyataan Tuan Ibrahim Tuan Man



[tmi]- Pengarah Pilihan Raya PKR Datuk Saifuddin Nasution Ismail menepis ramalan PAS partinya akan berpecah kerana Pakatan Harapan sama seperti Pakatan Rakyat (PR) sambil menyifatkan  gabungan politik baharu itu merupakan 'gabungan' yang kukuh.

Kesal dengan kenyataan Timbalan Presiden PAS Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man, Saifuddin  menafikan penubuhan Pakatan Harapan merupakan tindakan tergesa-gesa apatah lagi bakal menerima nasib sama seperti PR.

Sebaliknya beliau berkata, Pakatan Harapan ditubuhkan berasaskan prinsip saling hormat-menghormati, membuat keputusan bersama dan patuh dengan kata sepakat tersebut .

Katanya Pakatan Harapan turut menganggap parti sekutu mereka sebagai rakan susah senang (‘partners in struggle’) dan bukannya musuh yang perlu diserang dan diperlekeh  dan paling penting meraikan perbezaan pandangan serta tidak ghairah menghukum sesama sendiri.

"PKR menginsafi setelah berpecahnya PR  berlaku kelompongan (vacuum) yang perlu diisi segera.

Kelompongan kepimpinan dan kelompongan platform bersama.

"Oleh demikian PKR melalui Presiden parti Datuk Dr Wan Azizah Wan Ismail mengambil inisiatif membentuk sebuah pakatan politik baharu yakni Pakatan Harapan.

"Ketika Tuan Ibrahim berpendapat bahawa langkah ini tergesa-gesa, PKR percaya rakyat terbanyak menantikan kelahiran Pakatan Harapan," katanya kepada The Malaysian Insider hari ini.

Bekas setiausaha agung PKR itu berkata, ramalan Tuan Ibrahim kononnya parti reformasi itu akan berpecah gara-gara wujudnya sebuah "parti‎" yang ingin mendominasi seperti mana yang terjadi kepada PAS adalah tidak benar sama sekali.

"Pandangan ini meleset dan hanya terbit dari sebuah parti atau pemimpin yang mempunyai ‘siege mentality’.

"PKR yang lahir dari denyut nadi rakyat dengan agenda perubahan (reform) yang jelas, tidak akan terperangkap dengan ramalan sedemikian rupa," katanya.

Beliau yang mengulangi sekali lagi kekesalannya terhadap ramalan tersebut menyifatkan tindakan parti Islam itu sebagai keterlaluan terutamanya apabila PKR menganggap PAS sebagai rakan mereka.

"Biarpun perjalanan dan pengalaman PKR masih baru namun kita yakin PKR mampu melalui sedikit ujian kecil perbezaan pendapat dari kalangan pimpinannya dalam mendepani kelahiran Pakatan Harapan.

"Oleh itu meramalkan PKR bakal berpecah adalah keterlaluan apalagi kiranya datang dari parti yang menganggap PKR sebagai sahabat," katanya.

Terdahulu Tuan Ibrahim dalam kenyataannya memberikan amaran kepada PKR dengan menyatakan tidak mustahil bakal menerima nasib sama seperti parti Islam itu ketika Pakatan Rakyat berpecah, menyaksikan penubuhan parti serpihan, Parti Amanah Negara (Amanah).


PAS beri amaran PKR bakal berpecah kerana Pakatan Harapan
 
[tmi]- PAS memberikan amaran kepada PKR, tidak mustahil bakal menerima nasib yang sama seperti parti Islam itu ketika Pakatan Rakyat berpecah, menyebabkan penubuhan parti serpihan Parti Amanah Negara (Amanah).

Timbalan Presiden PAS Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, parti Islam itu ketika ini dapat melihat gabungan parti politik baharu, Pakatan Harapan bakal menerima nasib sama seperti Pakatan Rakyat.

"Kepada PKR yang masih menjadi rakan kerjasama PAS, kami harap tidak berlaku perpecahan kerana bibit-bibit tersebut sudah kelihatan.

"Adanya pihak yang ingin menjadi juara bagi mengawal parti pembangkang yang lain serta usaha Barisan Nasional (BN), khasnya Umno melihat semua komponen parti pembangkang menjadi lemah," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Tuan Ibrahim berkata, tindakan tergesa-gesa membentuk Pakatan Harapan menunjukkan kepada rakyat sikap terlalu mementingkan diri sendiri sesetengah pihak yang menjadi punca Pakatan Rakyat terkubur.

"PAS mendoakan agar PKR tidak mengalami nasib yang sedang dialami PAS.

"Perpecahan dalaman parti akibat campur tangan pihak luar yang mempunyai kepentingan tertentu, akan melemahkan kekuatan suara pembangkang," katanya.

Katanya, PAS sememangnya sudah melalui konflik dalaman parti yang menyaksikan muncul pelbagai parti kecil yang melambatkan proses perubahan dan kesedaran politik di kalangan rakyat.

Tuan Ibrahim turut menyalahkan pihak luar yang didakwa menjadi punca kepada pergolakan dalaman PAS dengan bertindak mengapi-apikan rasa tidak puas hati, melaga-lagakan pimpinan dan perbezaan pendapat di kalangan pimpinan.

"Kemelut dalaman yang berlaku ini tidak dinafikan sangat mengecewakan rakyat.

Kerana setiap kali berlaku krisis, biasanya ia akan berakhir dengan pembentukan parti baru," katanya merujuk kepada Amanah.

Bagaimanapun, Tuan Ibrahim yakin Amanah tidak akan berjaya mendapatkan sokonngan rakyat.

"Ada yang memecahkan undi pembangkang dan inilah yang dikehendaki BN.

Sebagai contoh, kemunculan parti Semangat 46 yang berpecah dari Umno, walaupun ia berjaya memenangi beberapa kerusi, ia tidak dapat menggugat kekuatan parti induk Umno.

"Telahan yang sama juga boleh dibuat pada parti Amanah. Namun, ini berbeza dengan Semangat 46, kerana ia akan menimbulkan saingan sama sendiri di kalangan pembangkang menjelang Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) akan datang," katanya.

Mengulangi semula pendirian PAS, beliau berkata parti Islam itu tidak sesekali akan bekerjasama dengan Pakatan Harapan kerana tindakan DAP dan pengkhianatan Amanah.

"Soal agihan kerusi akan menjadi masalah utama. PAS tidak akan bergabung dengan Pakatan Harapan kerana tindakan DAP terhadap PAS.

Pada waktu ini, tidak mungkin PAS juga boleh terima Parti Amanah yang kini sedang menarik ahli PAS dan merampas bangunan Pasti dan markas PAS.

"Apabila PAS bergabung dengan PKR, sebahagian besar kerusi PAS diserahkan kepada PKR bersama jentera dan petugas parti.

"Kalau PAS bergabung pula dengan Pakatan Harapan, bermakna PAS akan sekali lagi serah kerusi kepada parti baru, dan ini tidak mungkin berlaku.

Melainkan DAP atau PKR sanggup bahagikan kerusi mereka kepada Parti Amanah," katanya.

Justeru itu, beliau menegaskan PAS akan tetap meletakkan calon di semua kerusi yang ditandinginya kerana itu adalah hak mereka.

Katanya, sekiranya parti komponen pembangkang lain khasnya Amanah juga meletakkan calonnya dalam PRU kelak, maka ia seperti mengiyakakan parti tersebut menjadi penyambung tali hayat kepada BN.

"Mungkin ada yang akan mendakwa kalau calon PAS tidak akan menang, kerana pengundi Cina tidak akan beri undi, maka apakah kalau Parti Amanah akan menang kalau pengundi Melayu tidak akan memberi undi khususnya ahli dan penyokong PAS.

Ahli dan penyokong Umno tentulah lagi tidak menyokong, "Ramai yang melihat yang bakal untung mungkin DAP.

Namun, reaksi senyap rakyat terhadap tindakan terlalu mendesak dan tidak berkompromi yang ditunjukkan pimpinan mereka tidak dapat diagak sebagaimana kesan terhadap sebahagian peti undi DAP di beberapa Parlimen dan Dewan Undangan Negeri (DUN) yang ditandingi dibantu petugas PAS, khasnya jentera pilihan raya sehingga ke PACA (polling agent and Counting Agent)," katanya.

Tiada ulasan:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Artikel Terbaru

 
IdaMan - Blogger Templates, - by Templates para novo blogger Displayed on lasik Singapore eye clinic.