Cari Blog Ini

Larangan Pembesar Suara Di Masjid : Nik Aziz Ketika Hidup Sokong Larangan Pembesar Suara Kata Nik Abduh


gambar fail
Mursyidul Am Pas, Almarhum Datuk Nik Aziz Nik Mat ketika hayatnya menyokong larangan menggunakan pembesar suara di luar masjid dan surau kecuali untuk azan dan iqamah.

Perkara itu dimaklumkan oleh anaknya, Nik Mohamad Abduh.

Ketua Pemuda Pas itu berkata, Islam tidak suka mengganggu ketenteraman orang lain apatah lagi Pulau Pinang yang mempunyai ramai masyarakat bukan Islam berbanding negeri lain.

Malah, katanya, aduan tidak puas hati mengenai pembesar suara pernah dibuat oleh bukan Islam di negeri itu.

“Di Pulau Pinang ada masyarakat bukan Islam yang ramai, mereka merungut.

Maka dari sudut siasah syariah adalah betul kita melarang pihak masjid daripada buat perkara yang tidak disuruh oleh nabi.

“Islam tak suka menganggu masyarakat,” katanya kepada pemberita selepas majlis Himpunan Selamatkan Al-Aqsa di Masjid Jamek di ibu negara pada Jumaat.

Sehubungan itu, Nik Abduh berkata, Pas tidak mempunyai masalah dengan larangan itu malah menyokongnya.


BIPPA: Larangan laungan kuat selain azan, iqamah disaran Maqasid Syariah

Keputusan Majlis Fatwa Pulau Pinang tiada laungan kuat menggunakan pembesar suara tidak bertentangan dengan Islam berikutan tiada nas sahih mengenai keperluan laungan kuat dari dalam masjid selain azan dan iqamah.
 
Wan Ji Wan Hussin dari Biro Pemantapan dan Pemahaman Agama (BIPPA) Angkatan Muda Keadilan (AMK) Pusat, berkata ramai tokoh maqasid syariah menyatakan syariah diturunkan untuk kebaikan bukan kerosakan kepada manusia.

“Ditegaskan tokoh seperti Al-Syatibi dan al-Izz bin al-Salam. Ekoran itu, tiada hairan kita dapati tindakan yang mengganggu orang ramai berbentuk berbuat bising tidak dilakukan oleh Rasulullah s.a.w,” katanya.

Merujuk laungan kuat kepada bacaan al-Quran atau syarahan agama, beliau pada kenyataan media hari ini, berkata,  budaya hormat menghormati perlu disubur berikutan Malaysia sebuah negara majmuk termasuk perbezaan agama.

Justeru, Wan Ji berkata, fatwa berkaitan penggunaan pembesar suara hingga kedengaran kuat di luar masjid itu, perlu dicontohi dan diteladani semua negeri di negara ini, atas semangat dan roh Maqasid Syariah.

Katanya,  BIPPA AMK menganggap fatwa itu mengandungi maksud mahu menyuburkan budaya hormat menghormati antara penganut agama dan ia tidak sewajarnya diamal umat Islam sahaja, bahkan penganut agama lain.

“Orang bukan Islam juga wajar tidak melakukan gangguan suara kecuali perkara yang memang wujud dalam agama atau budaya mereka. 

“BIPPA AMK berharap semua saling merai antara agama dan kaum di negara ini bagi memastikan masa depan negara terjamin,” katanya.


  Mufti Perlis: Larangan wajar dicontohi, elak kekeliruan

Mufti Perlis, Mohd Asri Zainul Abidin menyokong larangan menggunakan pembesar suara selain azan dan iqamah bagi mengelakkan kekeliruan berikutan golongan bukan Islam menyangka ia sebagai azan.

Beliau berkata, sebahagian bukan Islam menyangka demikian hingga menimbulkan sangkaan buruk dengan Islam, apatah lagi bacaan itu mengambil masa lama sedangkan azan tidak lebih lima minit.

Menegaskan Rasulullah SAW melarang orang menguatkan bacaan al-Quran dalam masjid hingga mengganggu jemaah lain, beliau berkata, bacaan sedemikian tidak boleh dipaksa orang lain untuk mendengarnya walaupun perbuatan itu baik.

“Mungkin orang lain ingin membacanya sendiri, atau ingin membacanya pada waktu lain, atau sedang sakit atau ada anak kecil tidur, atau mereka tidak difardu solat seperti wanita haid atau bukan muslim dan lain-lain,” katanya.

Beliau menulis demikian pada facebooknya hari ini susulan kecaman segelintir umat Islam terhadap larangan yang diwarta Jabatan Mufti Pulau Pinang hingga mengaitkannya dengan Kerajaan Pulau Pinang pimpinan DAP.

Mohd Asri berkata, pandangan itu turut disokong ulama besar pada zaman ini, Al-Syeikh Muhammad Salih al-Uthaimin dan ulama silam, Al-Imam al-Hafizd Ibn Jauzi yang meninggal dunia pada 597H.

“Antara tipu daya Iblis ialah mereka yang mencampur aduk azan dengan peringatan, tasbih dan nasihat.

Mereka jadikan azan perantaranya lalu bercampur aduk, Para ulama membenci segala yang ditambah kepada azan,” kata Al-Imam al-Hafizd dipetik.

Kata Mohd Asri, sesetengah pihak cuba mempertahan amalan itu atas alasan ia bacaan al-Quran atau zikir yang patut diagung dan menyangka sikap keras mereka sebagai ‘perjuangan mempertahankan Islam’.

Sebaliknya, beliau berkata, umat Islam patut menghenti bacaan melalui pembesar suara yang mengganggu orang luar dan dalam masjid bagi menjaga keharmonian Islam, bukan semata-mata isu politik.

“Suara-suara yang dikuatkan itu bukan menambahkan cinta mereka kepada Islam, sebaliknya menimbulkan salahfaham banyak pihak,” katanya.
                            

Tiada ulasan:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Artikel Terbaru

 
IdaMan - Blogger Templates, - by Templates para novo blogger Displayed on lasik Singapore eye clinic.