Cari Blog Ini

"Jangan Sibuk Salahkan Orang Lain", AMANAH Bidas Pemimpin PAS !


Jangan sibuk salahkan orang lain, bidas Amanah
[sinar]- Sikap suka menyalahkan penubuhan Pakatan Harapan sebagai punca pergolakan dan perpecahan dalaman parti pembangkang tanpa melakukan muhasabah serta penambahbaikan hanya satu tindakan yang merugikan pakatan pembangkang itu.

Timbalan Presiden Parti Amanah Negara (Amanah), Salahuddin Ayub menegaskan sepatutnya semua parti pembangkang memperbaiki kesilapan lalu dan seterusnya memberi fokus kepada agenda meneruskan harapan rakyat pada PRU14 akan datang.

“Ini adalah keperluan yang mendesak ketika ini, daripada sibuk menuding jari kononnya orang lainlah yang membawa angkara perpecahan dan masalah kepada parti sendiri.

Amanah juga akan sentiasa melakukan koreksi diri untuk memperkukuhkan peranan kami dalam Pakatan Harapan.

“Janganlah kita leka menyalahkan orang lain dan tanpa melalukan apa-apa sumbangan untuk sama-sama melaksanakan agenda besar Pakatan Harapan yang menjadi aspirasi rakyat ini,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Beliau mengulas kenyataan Timbalan Presiden Pas, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man semalam yang menyalahkan pihak luar kononnya menjadi punca kepada pergolakan dalaman Pas dengan bertindak mengapi-apikan rasa tidak puas hati, melaga-lagakan pimpinan dan perbezaan pendapat di kalangan pimpinan.

"Kepada PKR yang masih menjadi rakan kerjasama Pas, kami harap tidak berlaku perpecahan kerana bibit-bibit tersebut telah kelihatan.

Adanya pihak yang ingin menjadi juara bagi mengawal parti pembangkang yang lain serta usaha BN khasnya Umno melihat semua komponen parti pembangkang menjadi lemah.

"Pas mendoakan agar PKR tidak mengalami nasib yang sedang dialami oleh Pas," Tuan Ibrahim dipetik sebagai berkata semalam.

Tuan Ibrahim juga yakin Amanah tidak akan berjaya mendapatkan sokongan rakyat pada PRU14 akan datang apabila parti pembangkang baharu itu didakwa akan memecahkan undi pembangkang sedia ada.

Sehubungan itu, Salahuddin berkata lagi, Amanah lebih gemar berlapang dada dan sentiasa menerima parti-parti pembangkang ke meja rundingan.

“Amanah berpandangan pintu rundingan dan meja perbincangan sentiasa terbuka luas kepada semua parti-parti pembangkang di negara ini untuk berbincang tentang kepentingan rakyat dan negara,” katanya lagi.


Tuan Ibrahim Tuan ManPas: Agihan kerusi masalah utama
[sinar]- Agihan kerusi akan menjadi masalah utama jika Pas bergabung dengan pakatan pembangkang yang baharu.

Menurut Timbalan Presiden Pas, Tuan Ibrahim Tuan Man, sebelum ini apabila Pas bergabung dengan PKR, sebahagian besar kerusi Pas akan diserahkan kepada PKR bersama jentera dan petugas parti.

"Kalau Pas bergabung pula dengan Pakatan Harapan bermakna Pas akan sekali lagi serah kerusi kepada parti baru, dan ini tidak mungkin berlaku.

"Melainkan DAP atau PKR  sanggup bahagikan kerusi mereka kepada Parti Amanah Negara (Amanah)," kata Tuan Ibrahim dalam kenyataan, hari ini.

Katanya, tak mungkin Pas juga boleh terima Parti Amanah yang kini sedang menarik ahli Pas dan merampas bangunan PASTI dan markas Pas.

"Pas tidak akan bergabung dengan Pakatan Harapan kerana tindakan DAP sebelum ini terhadap Pas," katanya lagi.

Selain itu, beliau memberitahu Pas akan tetap meletakkan calon di semua kerusi yang ditandinginya kerana itu adalah hak parti.

"Kalau komponen parti pembangkang lain khasnya Amanah juga meletakkan calonnya bermakna ia menjadi penyambung tali hayat kepada Umno atau BN.

"Mungkin ada yang akan mendakwa kalau calon Pas tak akan menang, kerana pengundi Cina tak akan beri undi, maka apakah kalau Parti Amanah akan menang kalau pengundi Melayu tak akan memberi undi khususnya ahli dan penyokong Pas?" kata Tuan Ibrahim.

Pas sebelum ini mengharapkan PKR memahami pendirian parti itu yang tidak mahu menyertai Pakatan Harapan terdiri daripada PKR, DAP dan Amanah.


           Pakatan Harapan belum bincang soal kerusi

[sinar]- Pakatan Harapan yang dianggotai PKR, DAP dan Parti Amanah Negara (Amanah) masih belum membincangkan soal pembahagian kerusi PRU14.

Timbalan Presiden Amanah, Salahuddin Ayub berkata, persidangan meja bulat yang diadakan pada 22 September lalu hanya membincangkan mengenai pembentukan gabungan parti-parti berkenaan.

“Soal itu (pembahagian kerusi) belum lagi, Kita masih fokus tentang agenda Pakatan Harapan di samping menstabilkan polisi-polisi bersama.

“Kami tidak mahu mengulangi kesilapan masa lalu, jadi meja rundingan perlu dijadikan medan untuk selesai masalah,” katanya.

Bagaimanapun menurut Salahuddin,  pertembungan satu lawan satu memberi peluang lebih cerah kepada Pakatan Harapan untuk menang lebih banyak kerusi.

Ditanya apakah maksud beliau satu lawan satu itu, beliau berkata, pihaknya lebih selesa untuk bertemu BN berbanding parti lain.

“Kita optimis untuk bertemu dengan BN dalam pertandingan satu lawan satu,” katanya.

Sebelum ini, Presiden PKR, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail berkata, krisis yang melanda negara pada ketika ini telah mendesak parti pembangkang bersatu menghadapi PRU14 walaupun tanpa Pas.

Sementara itu, Pas sebelum ini menegaskan pihaknya sedia berdepan dengan Amanah sekiranya parti itu meletakkan calon di kawasan yang mereka tandingi.

Dalam perkembangan sama, Salahuddin turut memberitahu, Amanah telah menerima hampir 50,000 keahlian dan yakin jumlah itu akan meningkat menjadi 100,000 menjelang hujung tahun ini.

Tiada ulasan:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Artikel Terbaru

 
IdaMan - Blogger Templates, - by Templates para novo blogger Displayed on lasik Singapore eye clinic.