Cari Blog Ini

Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (JPPM) Lulus Penubuhan Parti Amanah Negara


gambar fail
Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (JPPM) telah meluluskan permohonan Pertubuhan Pekerja-pekerja Malaysia untuk meminda undang-undangnya termasuk penukaran nama pertubuhan itu kepada PartiAmanah Negara (Amanah).

Ketua Pengarahnya Datuk Mohammad Razin Abdullah berkata permohonan itu diluluskan semalam berdasarkan kepada keputusan Kongres Luar Biasa yang diadakan pertubuhan berkenaan pada 25 Ogos dan 8 September lepas.

"Kelulusan yang diberikan ini antara lain merangkumi pindaan nama pertubuhan tersebut daripada Pertubuhan Pekerja-pekerja Malaysia kepada Parti Amanah Negara (Amanah), pertukaran alamat daftarnya serta pindaan perlembagaannya," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Beliau berkata melalui kongres luar biasa itu parti berkenaan telah melantik jawatankuasa baharu iaitu Mohamad Sabu sebagai Pengerusi dan Salahudin Ayub sebagai Timbalan Pengerusi.

Anggota jawatankuasa lain ialah Mujahid Yusuf (Naib Pengerusi 1), Hasanuddin Mohd Yunus (Naib Pengerusi 2), Mohd Anuar Mohd Tahir (Setiausaha Agung), Abang Ahmad Kerdee Abang Masagus (Penolong Setiausaha), Asmuni Awi (Bendahari Agung) dan Suhaizan Kaiat (Setiausaha Organisasi).

Mohammad Razin berkata parti itu turut melantik 13 anggota jawatankuasa lain dan dua juruaudit.

Pada 31 Ogos lepas, Mohamad yang merupakan Pengerusi Gerakan Harapan Baru (GHB) mengumumkan pembentukan Parti Amanah Negara (Amanah), yang merupakan penjenamaan semula Pertubuhan Pekerja-pekerja Malaysia untuk digunakan sebagai nama rasmi wadah politik GHB.
Bagaimanapun, Pertubuhan Pekerja-pekerja Malaysia tidak dibenarkan sama sekali untuk mengadakan sebarang aktiviti atau program atas nama Parti Amanah Negara selagi pertukaran nama belum diluluskan.

GHB merupakan platform bagi golongan profesional PAS yang dikatakan kecewa selepas ditolak anggota parti itu melalui muktamar tahunannya Jun lepas.

Tiada ulasan:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Artikel Terbaru

 
IdaMan - Blogger Templates, - by Templates para novo blogger Displayed on lasik Singapore eye clinic.