Cari Blog Ini

Bertanding Sedikit Kerusi Tetapi Menang Daripada Bertanding Banyak Tetapi Kalah Kata Pemimpin Parti AMANAH


Timbalan Presiden Amanah, Salahudin Ayub (2 kanan) berkata lebih baik parti itu bertanding sedikit kerusi tetapi menang daripada bertanding banyak tetapi kalah. – Gambar fail The Malaysian Insider, 7 Oktober, 2015.
Selangor dan Johor tapak subur Amanah, kata pemimpin parti
Parti Amanah Negara (Amanah) akan menjadikan Selangor dan Johor sebagai pengkalan hadapan mereka dalam menentukan kerusi yang akan dipertandingkan dalam pilihan raya umum akan datang.

Selain itu, pemimpin parti baharu itu juga akan mempertimbangkan bertanding di Melaka dan Negeri Sembilan berdasarkan kajian mereka sendiri terhadap pengundi yang kemungkinan lebih dapat menerima parti itu, kumpulan serpihan PAS yang menampilkan pemimpin golongan progresifnya.

"Kita akan bertanding di mana-mana kerusi berasaskan kajian dan penyelidikan yang teliti.

Tidak guna kita bertanding banyak kerusi tetapi kalah," kata Timbalan Presiden Amanah, Salahudin Ayub kepada The Malaysian Insider.

"Lebih baik kita bertanding sedikit kerusi tetapi menang dan dapat memberikan nilai tambah kepada Pakatan Harapan," katanya merujuk kepada gabungan parti pembangkang baharu yang ditubuhkan 22 September lalu.

Berdasarkan kajian dan penyelidikan, serta kekuatan kepimpinan mereka yang ada, Salahudin berkata Selangor bakal memberi pulangan yang terbaik untuk Amanah.

"Selepas Selangor yang boleh beri kemenangan kepada kita, Johor dan negeri-negeri selatan tanah air termasuk Negeri Sembilan dan Melaka bakal menjadi tumpuan kita," kata Salahudin yang berasal dari Johor dan bertanding di negeri itu dalam pilihan raya umum lalu.

Analisis Amanah itu, yang diputuskan berdasarkan mesyuarat terakhir mereka, turut dipersetujui pakar sejarah Universiti Malaya, Profesor Datuk Dr Redzuan Othman, yang berpendapat Selangor negeri terbaik dijadikan pengkalan hadapan mereka.

Sementara itu, pengkaji bebas dari Ilham Centre, Mohamad Hisomudin Bakar, juga menyatakan pihaknya mendapati pengundi di Selangor dan Johor bersikap positif terhadap parti baharu itu.

"Sambutan segmen pengundi yang belum berparti terhadap Amanah di negeri-negeri selatan, khasnya Johor, sangat baik," kata Hisomuddin kepada The Malaysian Insider.

Amanah mempunyai potensi baik di Selangor berdasarkan demografi penduduknya di setiap kawasan pilihan raya di samping sentimen pengundi Melayu yang lebih cenderung bersama kerajaan yang memerintah.

"Apabila Amanah berada dalam Pakatan Harapan, menyebabkan orang Melayu di Selangor turut bersama mereka," kata Hisomuddin.

"Saya yakin inilah juga faktornya mengapa PAS buat tidak tahu sahaja dan kekal dengan kerajaan Selangor walaupun DAP turut berada di dalamnya.

"Kerana, PAS tidak boleh hidup sebagai pembangkang untuk 2 tahun lagi menjelang pilihan raya umum," kata Hisomuddin.

PAS masih mempunyai 3 ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (exco) di Selangor walaupun ia memutuskan hubungan dengan DAP pada Julai lalu.

Menurut Hisomuddin (gambar, kanan), kajian Ilham Centre mendapati sokongan pengundi di pantai barat Semenanjung berdasarkan isu dan gabungan parti yang mampu memerintah, manakala faktor jentara hanya menjadi penyumbang kecil.

Sebab itu, katanya, faktor membina pakatan dengan PKR dan DAP sangat penting bagi membolehkan Amanah menang, kerana ia mendapat dokongan pengundi Cina dengan mudah selepas menolak Umno dan PAS secara total.

Amanah dijangka akan bersedia bertembung 3 penjuru dengan PAS dan Barisan Nasional (BN) di negeri-negeri ini dan mereka yakin menang.

Dengan pendirian yang diambil itu, Amanah kelihatan mengelak daripada bertembung secara langsung dengan PAS di negeri pantai timur dan utara.

Kubu PAS adalah di negeri dominasi Melayu seperti Kelantan, Terengganu, Kedah dan Perlis.

Ketua Amanah Kelantan, Datuk Wan Abdul Rahim Wan Abdullah sebelum ini menegaskan parti itu seboleh-bolehnya akan mengelak daripada menjadi punca kejatuhan kerajaan PAS Kelantan yang dibina sekian lama.

Oleh itu, besar kemungkinan Amanah tidak akan bertanding melawan PAS di kerusi Dewan Undangan Negeri di Kelantan kerana bimbang menjadi punca kemenangan berpihak kepada musuh tradisi PAS, iaitu Umno.

"Namun, ia akan berlaku jika berlaku perundingan antara kita dengan PAS.

Tetapi jika tidak ada sebarang rundingan, kita akan buat keputusan sendiri," kata Wan Rahim kepada The Malaysian Insider yang tidak menolak bertanding di kerusi Parlimen yang sesuai.

Kajian Ilham Centre juga menunjukkan Amanah menunjukkan kemajuan ketara di Kelantan, termasuk mendaftarkan ahli paling ramai menjelang pelancaran rasmi parti 16 September lalu.

Sementara itu, Ketua Pemuda Amanah Terengganu Hasbie Muda berkata, beliau sedia mengarahkan ahli mengundi calon PAS jika parti Islam itu terus menjadikan Umno sebagai musuh mereka dan tidak terpedaya dengan "kenyit mata" Umno.

Dalam kenyataannya pada Isnin, beliau berkata, sikap itu diambil kerana memahami penguasaan 2 parti utama di negeri itu, iaitu PAS dan Umno.

"Justeru, Pemuda Amanah akan bersikap realistik 'mengukur baju di badan sendiri'.

Adalah tidak wajar untuk bertanding jika sekadar mahu hilang deposit atau sekadar mahu kacau daun," katanya.

Tiada ulasan:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Artikel Terbaru

 
IdaMan - Blogger Templates, - by Templates para novo blogger Displayed on lasik Singapore eye clinic.