Cari Blog Ini

Umno Salah Tafsir Kuasa Rakyat, Kata Peguam Dan Pakar


gambar fail
[tmi]- Pemimpin Umno tersilap mentafsir dengan mengatakan kuasa yang dimiliki rakyat untuk memilih kerajaan hanya sah semasa pilihan raya, kata pemerhati politik, sambil menambah ini adalah satu tafsiran "jahat" terhadap demokrasi berparlimen.

Mengulas kenyataan Datuk Seri Najib Razak yang mengatakan hak rakyat untuk menukar kerajaan hanya terpakai semasa pilihan raya, Dr Wong Chin Huat berkata, perdana menteri sudah "merampas kuasa Parlimen" dan seharusnya dirujuk kepada jawatankuasa khas Parlimen.

Wong yang juga felo di Penang Institute berkata, seorang perdana menteri dalam sistem demokrasi berparlimen mempunyai kurang jaminan dan perlindungan berbanding seorang presiden dalam sistem demokrasi berpresiden.

Oleh itu, Najib tidak mempunyai sebarang kekebalan undang-undang dan nasibnya bergantung kepada undi di Dewan Rakyat yang merupakan tempat kepada wakil rakyat dalam Parlimen Malaysia, kata Wong.

"Beliau tidak mempunyai kekebalan undang-undang dan Parlimen boleh memecatnya pada bila-bila masa atas alasan beliau sudah hilang keyakinan majoriti daripada ahli Parlimen.

"Parlimen bertindak berdasarkan kuasa rakyat yang diwakili.

"Satu-satunya pilihan yang beliau ada ialah melakukan pilihan raya semula bagi melihat pihak mana mendapat sokongan rakyat," kata Wong yang juga aktif bersama Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih 2.0).

Wong berkata, walaupun dalam sistem berpresiden, Kongres boleh bertindak mencabar presiden jika beliau melakukan jenayah atau salah laku besar. Dalam sistem tersebut, kuasa rakyat dilaksanakan melalui Kongres.

Di tengah-tengah perdebatan mengenai undi tidak percaya terhadap Najib di Dewan Rakyat oleh ahli Parlimen pembangkang dan ahli Parlimen Barisan Nasional (BN), perdana menteri dalam ucapannya di Pasir Salak, Perak, kelmarin berkata masa yang sesuai untuk rakyat memilih kerajaan adalah pada pilihan raya dan bukan di antara pilihan raya.

Beliau berkata Perlembagaan Persekutuan menyatakan rakyat berkuasa untuk berbuat demikian sekali dalam tempoh 5 tahun.

"Di antara pilihan raya, kita tak boleh melakukan sesuatu yang bertentangan dengan perlembagaan dan undang-undang negara kita," kata perdana menteri yang didakwa terlibat dengan skandal rasuah membabitkan sumbangan derma sebanyak RM2.6 bilion ke dalam akaun peribadinya.

Namun, Pengarah Eksekutif Lawyers for Liberty Eric Paulsen menyanggah kenyataan Najib itu dengan berkata jika itu adalah benar, ia bermakna perdana menteri hanya bertanggungjawab sekali setiap 4 atau 5 tahun dan akan bebas untuk melakukan apa saja salah laku termasuk rasuah dan penyalahgunaan kuasa dalam tempoh itu.

Paulsen berkata di seluruh dunia, presiden dan perdana menteri meletak jawatan atau disingkirkan melalui cara Parlimen, termasuk melalui undi tidak percaya.

"Presiden Guatemala hanya meletak jawatan selepas terbabit dengan skandal rasuah - jadi mengapa PM kita boleh jadi individu khas yang hanya boleh digulingkan melalui pilihan raya.

"Beliau perlu meletak jawatan dengan segera jika beliau masih mempunyai maruah dan harga diri," kata Paulsen.

Sekurang-kurangnya, Najib perlu membenarkan usul undi tidak percaya untuk dibentangkan di Parlimen, kata peguam itu.

Ini akan menunjukkan sama ada beliau masih mempunyai majoriti di Parlimen, katanya.

Seorang lagi pemimpin Umno yang menyokong Najib dan mengehadkan "kuasa rakyat" dengan pilihan raya ialah Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Seri Salleh Said Keruak.

Salleh dalam blognya pada Sabtu berkata menukar kerajaan di luar pilihan raya adalah satu "kesilapan".

Perdebatan mengenai kuasa rakyat dan cara lain untuk menggulingkan Najib muncul selepas bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad baru-baru ini menggesa ahli Parlimen Barisan Nasional (BN) untuk menyokong undi tidak percaya terhadap perdana menteri sambil berkata kedua-dua langkah itu adalah bertepatan dengan undang-undang dan ia merupakan satu keperluan.

Dr Mahathir berkata BN masih kekal berkuasa, kerana mempunyai majoriti dalam Dewan Rakyat.
Dewan Rakyat mempunyai 134 ahli Parlimen daripada BN, 87 daripada pembangkang, dan satu bebas.

Terdapat tekanan kepada Najib untuk meletak jawatan, terutama selepas pendedahan mengenai dana berjumlah RM2.6 bilion dipindahkan ke dalam akaun peribadinya yang kemudiannya diisytiharkan sebagai "derma" pada Julai lalu.

Perdana menteri yang juga pengerusi lembaga penasihat firma pelaburan negara 1Malaysia Development Bhd (1MDB) dikritik kerana syarikat itu dibebani hutang sebanyak RM42 bilion.

Semalam, Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Azalina Othman Said berkata tidak ada sebab untuk mengadakan sidang Dewan Rakyat tergempar, kerana Najib masih memiliki kepercayaan serta keyakinan majoriti ahli Parlimen.

Tiada ulasan:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Artikel Terbaru

 
IdaMan - Blogger Templates, - by Templates para novo blogger Displayed on lasik Singapore eye clinic.