Cari Blog Ini

Presiden Pas : Pas Cukup Kuat, Tak Perlu Parti Lain


Tidak mustahil Pas bergerak sendiri
Hadi: Pas cukup kuat, tak perlu parti lain
Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang berkata, Pas ada kekuatan sendiri dan tidak akan bergabung dengan parti baharu yang sedang dalam proses didaftarkan, Parti Amanah Negara (PAN) atau kini dikenali dengan Parti Pekerja Malaysia (PPM).
  
Beliau berkata, pengalaman lalu banyak mengajar Pas supaya lebih berhati-hati untuk bekerjasama dengan parti politik lain.

"Sehingga ini Pas dengan tegas tidak menerima parti baharu itu dan  konsisten dengan pendirian selama ini," katanya kepada pemberita semasa ditemui ketika menghadiri sidang Dewan Undangan Negeri (Dun), di sini, hari ini.
  
Mengenai status Ahli Parlimen Kuala Terengganu, Datuk Raja Kamarul Bahrin Shah Raja Ahmad yang diminta meletakkan jawatan sebagai wakil rakyat Pas setelah menyertai PPM, Abdul Hadi berkata beliau akan dengar dahulu laporan daripada Badan Perhubungan Pas negeri dan Pas Pusat sebelum mengambil sebarang tindakan.
  
Ketika ditanya kemungkinan ahli Pas akan menyertai perhimpunan yang dicadang diadakan pada 16 September ini, Presiden Pas itu berkata, beliau akan melihat dahulu apa pengisian program berkenaan.

"Hari Kebangsaan kita sama-sama sambut, sebab itu baru-baru ini kita tidak menyertai perhimpunan Bersih kerana ia bertembung dengan Hari Kebangsaan,  kita menghormati Hari Kebangsaan," katanya.

- Bernama


                    Tidak mustahil Pas bergerak sendiri

[sinar]- Pas tidak menolak kemungkinan parti itu akan bergerak sendiri berdasarkan senario dalaman parti tersebut.

Presidennya, Datuk Seri Abdul Hadi Awang berkata, sebelum ini Pas pernah beberapa kali bergerak sendiri tanpa terikat dengan mana-mana parti komponen dan ia adalah pengalaman yang mematangkan parti itu sendiri.

“Pas pernah berdikari, Pas juga pernah bersama dengan parti komunis sebelum merdeka.

Kita pernah dengan sosialis, Pas pernah bersama kerajaan campuran pada 1970 dengan Umno-Perikatan dan menyertai koalisi pemerintah BN pada 1974.

“Pas juga pernah bersendiri. Pernah pada 1982 semua ahli parlimen Pas dalam Kerajaan Kelantan tiada. Hanya tinggal Allahyarham Tok Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat.

Tapi kini sudah 20 tahun lebih kita perintah Kelantan, DAP baru satu penggal saja menjajah,” katanya ketika ditemui pada Sidang Dun ke-13, di sini, semalam.

Ditanya sama ada tidak mustahil Pas akan bersendirian lagi selepas ini, Abdul Hadi berkata, sebarang kemungkinan boleh berlaku.

“Dalam politik tiada yang mustahil,” katanya.

Mengenai pendirian Pas setelah ahli politik parti itu sendiri menyertai Parti Pekerja Malaysia, katanya, perkara sama pernah berlaku sebelum ini dan ia bukan satu fenomena baharu dalam pasti Islam itu.

“Mengenai ahli politik Pas sendiri yang masuk Parti Pekerja Malaysia, kita akan tunggu laporan penuh daripada badan perhubungan Pas negeri.

"Pas masih teruskan dengan apa yang kita perjuangkan pada hari ini dan kita ada kekuatan kita sendiri.

“Mengenai DAP dan PKR yang terima Parti Pekerja Malaysia, Pas akan lihat dulu bagaimana penerimaan mereka,” katanya.

Abdul Hadi bagaimanapun berkata, sehingga kini pihaknya masih kurang jelas mengenai dakwaan bahawa Parti Pekerja Malaysia akan ganti Pas dalam Pakatan Rakyat (PR).

“Sehingga hari ini tidak jelas sama ada mereka terima parti baharu atau tidak.

Pas tak terima parti baharu dan Pas mempunyai sikap yang tegas, Kita jelas, kita ada syarat kerjasama dengan pihak lain.

“Mengenai ahli Pas yang mahu sertai Parti Pekerja Malaysia, setakat ini kita masih tiada maklumat perkara itu,” katanya.

Abdul Hadi berkata, Islam adalah sumber penyatuan bagi kaum Melayu bukan semangat kebangsaan.

“Apabila berpecah semua lemah, Cina dan India pun lemah, Yang pentingnya, bagi menyatukan Melayu adalah Islam, bukan semangat kemerdekaan.

Orang Melayu juga perlu ambil kira kaum lain, Jangan abaikan kaum lain kerana kaum lain juga adalah mangsa penjajahan.

“Kita perlu sedar Perang Dunia Pertama dan Kedua, barangkali lebih 60 peratus hamba jajahan menjadi mangsa perang dunia. Penjajah selamat. Yang matinya kita.

"Tak kira kaum apa, oleh sebab itu, memang tidak dinafikan majoriti rakyat adalah Melayu Islam.

Pada masa sama, kaum lain sahabat kita yang perlu kita hargai. Itu adalah pendekatan yang perlu diambil,” katanya.


PKR tegas mahu PAS dalam gabungan baharu pembangkang
[tmi]- PKR bertegas masih mahukan bekas rakan sekutunya dalam Pakatan Rakyat, PAS menyertai gabungan pembangkang yang baharu walaupun ditentang DAP, kata Mohamed Azmin Ali.

Timbalan Presiden PKR itu berkata, PKR membuat keputusan itu selepas berbincang secara mendalam dan menerima mana-mana pihak yang berpendirian untuk melakukan reformasi secara total termasuk PAS.

"Itu pandangan Lim Guan Eng. Terpulang kepada DAP, yang saya nyatakan baru-baru ini bukan kenyataan dan pendirian saya tapi itu pendirian PKR.

"Ini bukan pendirian saya atau (Datuk Seri Dr) Wan Azizah (Wan Ismail). Kita sudah bincang panjang, termasuk pandangan dan maklum balas yang diterima Ketua Umum (Datuk Seri Anwar Ibrahim) yang menyatakan PKR sentiasa bersifat inklusif," katanya kepada pemberita di Rawang, hari ini.

Menteri Besar Selangor itu berkata, PKR mahu duduk semeja berbincang dengan DAP dan PAS kerana percaya parti pembangkang perlu bermuafakat bagi menyelamatkan negara dan memulihkan ekonomi daripada terus merudum.

"Sebagai sebuah parti yang diberikan mandat oleh rakyat untuk bertanggungjawab menyelamatkan negara dan memulihkan ekonomi negara dengan melibatkan semua pihak, kita mesti ada rasa rendah diri untuk menerima pandangan daripada pelbagai pihak tapi dengan matlamat yang sama.

"Itu pendirian PKR," katanya.

Azmin berkata, perkara itu boleh dibincangkan dalam beberapa siri yang akan datang bagi melihatnya berdasarkan senario politik semasa.

"Sudah tentu ada keperluan untuk kita mengikat semua parti politik ini dengan satu muafakat dan matlamat yang lebih jelas bagi menyelamatkan negara dan memulih ekonomi hari ini," katanya.

Ditanya sama ada penubuhan Pakatan Rakyat 2.0 akan datang melibatkan empat parti - PKR, DAP, PAS dan Parti Amanah Negara (Amanah), katanya perkara itu belum diputuskan.

"Saya tak tahu. Sebab, itu tertakluk kepada perbincangan. Kita sentiasa berdasarkan konsensus, bukan keputusan individu," katanya.

Lim yang juga Setiausaha Agung DAP semalam dilaporkan berkata, pihaknya tidak akan menerima penyertaan PAS dalam gabungan baharu pembangkang.

Ketua Menteri Pulau Pinang itu berkata, DAP dan PAS kini berada di tahap tidak mungkin dapat "rujuk" kembali kerana parti Islam itu sudah mengisytiharkan mereka sebagai musuh.

"Bagaimana kami boleh menyertai pakatan itu bila PAS hendak bertanding menentang kami?" soalnya.

Amanah minggu lalu turut menolak cadangan Anwar, yang menyebut PAS sebagai sebahagian gabungan baharu pembangkang, menyifatkan ia 'tidak realistik' kerana menganggap parti Islam itu bukan aset kepada Pakatan Rakyat 2.0.

Tiada ulasan:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Artikel Terbaru

 
IdaMan - Blogger Templates, - by Templates para novo blogger Displayed on lasik Singapore eye clinic.