Cari Blog Ini

Perhimpunan ‘Baju Merah’ 16 September Tidak Dapat Kebenaran Polis



Polis tidak akan membenarkan Perhimpunan Rakyat Bersatu' yang dijadualkan berlangsung di ibu negara pada 16 September ini atas implikasi keselamatan, kata Timbalan Ketua Polis Negara Datuk Seri Noor Rashid Ibrahim.

Noor Rashid berkata setakat ini pihak penganjur masih belum membuat sebarang permohonan untuk mengadakan perhimpunan berkenaan yang dirancang diadakan sempena sambutan Hari Malaysia.

"Sekiranya perhimpunan ini diteruskan juga, polis akan mengawal dan memastikan mereka tidak mengganggu dan merosakkan harta benda atau orang yang menjalankan aktiviti harian mereka di tempat tersebut," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Majlis Penganugerahan Darjah Kebesaran, Bintang dan Pingat Kehormatan Negeri Pulau Pinang di Dewan Sri Pinang, di George Town, hari ini.

Noor Rashid menerima Darjah Gemilang Pangkuan Negeri (DGPN) yang membawa gelaran 'Datuk Seri' sempena sambutan ulang tahun ke-77 Yang Dipertua Negeri Pulau Pinang Tun Abdul Rahman Abbas.

Noor Rashid berkata, sebarang perhimpunan yang ingin dianjurkan seharusnya mendapat keizinan pemilik premis kawasan berkenaan dan kebenaran polis.

Sekiranya perhimpunan itu gagal mendapat kebenaran polis, maka perhimpunan itu akan menjadi perhimpunan yang menyalahi undang-undang dan tindakan boleh diambil terhadap mana-mana individu mengambil bahagian, katanya.

"Kita akan mengawal perhimpunan tersebut dan selepas perhimpunan, kita akan menjalankan siasatan dan mengambil tindakan yang sewajarnya," katanya menambah sebanyak 2,000 anggota polis akan digerakkan untuk mengawal perhimpunan berkenaan.

Media melaporkan 'Himpunan Rakyat Bersatu' dijadual berlangsung pada 16 September dan 10 Oktober di Bukit Bintang dan Jalan Petaling.

Perhimpunan itu diadakan sebagai tindak balas dan protes terhadap perhimpunan Bersih 4 yang dikatakan mengganggu perniagaan di kawasan tumpuan orang Melayu di ibu kota.

 - Bernama


       Ancaman Baju Merah belum tamat, kata NGO Islam

[mk]- Lima belas kumpulan Islam dan ahli akademik hari ini tampil mengingatkan bahawa ancaman “Baju Merah” belum benar-benar berlalu walaupun polis telah melarang perhimpunan 16 September ini.

“Segala panggilan ke arah hasutan persengketaan antara kaum perlu ditangani dengan pantas,” kata mereka dalam kenyataan bersama hari ini.

“Kami menggesa pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) sekali lagi untuk bertindak secara profesional bagi mengekalkan keamanan dan ketenteraman di suasana negara yang tidak menentu ini.

Antara bergabung dalam kenyataan bersama itu, kumpulan 25 Melayu terkemuka (G25), Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) 1 Muslim Professionals Forum (MPF), Pertubuhan Ikram Malaysia (IKRAM) dan Islamic Renaissance Front (IRF).

Presiden Persatuan Kakitangan Akademik Universiti Islam Antarabangsa Dr Maszlee Malik pula menandatangani kenyataan itu atas kapasiti peribadi.

Timbalan Ketua Polis Negara Datuk Seri Noor Rashid hari ini mengumumkan larangan itu atas alasan implikasi keselamatan.

Perhimpunan dirancang di Bukit Bintang itu bertujuan menyatakan bantahan terhadap BERSIH 4 pada 29 dan 30 Ogos lalu.

Pengkritik membangkitkan dominasi kaum Cina serta dakwaan perhimpunan anti-perdana menteri Datuk Seri Najib Razak itu dikuasai DAP.

Penghargaan buat polis

Dalam kenyataan hari ini, kumpulan Islam itu bagaimanapun merakamkan penghargaan kepada pihak polis kerana melarang perhimpunan Baju Merah.

“Ia melenyapkan potensi berlakunya keadaan yang tidak terkawal, yang berlandaskan sentimen perkauman dan ketaksuban, yang mengancam keharmonian antara kaum,” kata mereka.

Mereka juga membangkitkan tempat yang dipilih, termasuk penggunaan gambaran pahlawan bersenjatakan keris yang didakwa mereka berniat memprovokasi dan mengugut.

Kumpulan itu bagaimanapun mengakui bangsa Melayu hilang sebahagian besar kehormatan dan maruah apabila ketinggalan dalam banyak bidang, termasuk masalah sosial teruk generasi muda.

“Namun demikian, kita tidak menebus kehormatan dan maruah kita dengan menyalahkan kaum lain, walhal golongan politik elit yang kononnya 'berjuang untuk agama dan bangsa" hanya ingin berpaut kepada kuasa.

“Tetapi (mereka) telah kehilangan legitimasi untuk mentadbir kerana dakwaan serius rasuah, salah urus tadbir dan penyalahgunaan kuasa,” kata mereka lagi.

Kumpulan itu juga menegaskan kumpulan Baju Merah itu tidak mewakili suara orang Melayu Islam.

Artikel Berkaitan : Demonstrasi Baju Merah Boleh Cetus Ketegangan Kaum Kata Bekas Ketua Wanita UMNO

Tiada ulasan:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Artikel Terbaru

 
IdaMan - Blogger Templates, - by Templates para novo blogger Displayed on lasik Singapore eye clinic.