Cari Blog Ini

Nak Letak Calon Dalam Kawasan Diwakili DAP, Menang Pun Kerana PR


Pas dalam bahaya, menang kerana PR
[sinar]- Hasrat Pas untuk meletakkan calonnya dalam kawasan diwakili DAP pada pilihan raya akan datang hanyalah satu tindakan yang sia-sia apabila parti Islam itu bakal berdepan dengan risiko kehilangan deposit.

Timbalan Pengerusi Institut Darul Ehsan (IDE), Prof Datuk Dr Mohammad Redzuan Othman berkata, walaupun Pas meletakkan calon bukan Melayu, namun peluang itu tetap tipis susulan kemenangan Pas sejak PRU12 adalah disebabkan faktor PR dan bukannya parti itu sendiri.

“Pada pilihan raya lalu, sokongan kepada calon Pas bukan kerana Pas, tetapi kerana semangat PR.

“Mengikut kajian saya, jelas bahawa Cina menyokong Pas bukan kerana dasar Pas, mereka sokong Pas kerana semangat Pakatan Rakyat,” katanya kepada Sinar Online.

Beliau mengulas tindakan Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng yang mempelawa Pas bertanding di kerusi yang diwakilinya di Dun Air Putih di Pulau Pinang, kelmarin.

Guan Eng berkata, beliau tidak terkejut dengan hasrat Pas itu kerana pandangan tersebut seolah-olah selaras dengan dasar baharu Pas terhadap DAP.

Terdahulu, Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang berkata, parti itu bercadang meletakkan ahli bukan Melayu dari Dewan Himpunan Penyokong PAS (DHPP) di kerusi yang ditandingi DAP dalam pilihan raya umum akan datang.

Mengulas lanjut, Mohammad Redzuan juga berkeyakinan, pimpinan tertinggi Pas itu tidak akan meletakkan calon di kerusi yang ditandingi DAP susulan parti Islam itu tidak suka pembaziran kerana kehilangan deposit pilihan raya.

“Ia lebih kepada persaingan politik, saya tidak fikir Pas akan meletak calon di kawasan Cina...walaupun calon itu Cina, tapi bukan orang DAP, tapi masih tak dapat (menang).

Kalau MCA yang Cina pun mereka tak terima, apatah lagi Cina yang mereka tengok tak tau nak ke mana.

“Ini lebih kepada latihan politik yang realistik, saya tidak fikir Pas akan mengambil risiko pembaziran,” ujarnya.

Dalam pada itu, beliau berkata lagi, Pas dalam bahaya apabila kebanyakan kerusi yang dimenanginya khususnya di Selangor, Perak, Melaka dan Johor sejak PRU12 lalu merupakan kawasan campuran di mana 40 peratus daripadanya adalah pengundi Cina.

“Saya fikir kalau Pas letak calon di kawasan DAP, saya yakin tiada banyak masalah, tapi kalau DAP letak calon dalam kawasan Pas, itu masalah.

“Sebagai contoh Dun Chempaka, kawasan Pas, Datuk Iskandar Abd Samad, kalau DAP letak calon, ada masalah, sebab kawasan itu 53 peratus saja Melayu dan 40 peratus adalah Cina,” katanya lagi.

Tiada ulasan:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Artikel Terbaru

 
IdaMan - Blogger Templates, - by Templates para novo blogger Displayed on lasik Singapore eye clinic.