Cari Blog Ini

Derma RM2.6b : Najib Diam, Negara Dan Ringgit Jadi Mangsa


gambar fail
Sikap Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak yang masih berdiam diri meskipun teruk dikritik dalam Persidangan Anti Rasuah Antarabangsa (IACC) baru-baru ini berhubung isu derma RM2.6 bilion hanya akan terus menjejaskan negara dan nilai mata wang.

Timbalan residen Pas, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, rakyat perlu bersedia untuk berdepan kemelesetan ekonomi sekiranya situasi itu berterusan.

“Tanpa jawapan yang memuaskan, lebih banyak spekulasi mengenai RM2.6 bilion di akaun Najib akan timbul dan hangat diperkatakan.

Bukan sahaja Najib yang kena pukul, Malaysia dan nilai ringgit turut dilanyak bersama kerana hilangnya integriti daripada pemimpin tertinggi dan kabinetnya.

“Jika ringgit terus turun, rakyat perlu bersedia untuk menghadapi kemelesetan ekonomi dan peningkatan inflasi secara mendadak di suku ke keempat 2015 kerana semua barangan import telah menjadi mahal.

“Situasi ini dijangka akan diburukkan melalui risiko yang perlu diambil untuk mengekalkan kadar faedah semalaman (OPR) untuk tidak membebankan rakyat Malaysia yang mempunyai hutang isi rumah yang tinggi (melebihi 80 peratus daripada KDNK) dan tekanan daripada GST apabila barang-barangan yang dikecualikan turut dikenakan GST bermula 2016,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Selain itu katanya, wujud lima teori yang berlegar susulan keengganan Najib berterus terang dan menjelaskan misteri di sebalik wang RM 2.6 bilion itu.

Antaranya, kemungkinan wang derma yang diberitahu Najib sebenarnya bukan wang derma sebaliknya wang 1Malaysia Development Berhad (1MDB) seperti dakwaan bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad.

“Teori pertama, apakah sebenarnya duit itu tidak digunakan untuk Umno?

Persoalan ini timbul kerana Timbalan Presiden Umno, Tan Sri Muhyiddin Yassin pun tidak tahu berapa baki yang ada di akaun tersebut ketika ia ditutup.

Jika benar duit itu telah digunakan untuk Umno dan pilihanraya, sudah tentu Najib akan berani menjawab Muhyiddin, dan Muhyiddin tidak akan berani bertanya begitu.

“Teori kedua, apakah duit itu sebenarnya bukan derma? Persoalan ini timbul kerana sehingga hari ini penderma yang berbesar hati ini masih misteri kepada rakyat Malaysia.

Spekulasi ini lebih hangat apabila Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi tidak berani menjawab cabaran Tun Mahathir untuk mendedahkan nama penderma tersebut setelah Zahid mengaku telah berjumpa dengan wakil keluarga dari Asia Barat yang mendermakan RM2.6 bilion kepada Najib.

“Jika penderma itu sanggup menderma RM2.6 bilion kepada Najib, mengapa beliau tidak sanggup tampil membersihkan nama Najib?

Tidakkah penderma itu takut duit derma itu akan dibazirkan jika Najib jatuh nanti sedangkan derma itu untuk Umno bukan untuk Najib?

Apakah betul dakwaan Tun Mahathir bahawa duit itu sebenarnya duit 1MDB?,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Dalam teori berikutnya, beliau turut menyentuh soal tindakan saman Najib terhadap Wall Street Journal (WSJ) yang dilihat masih belum menjadi kenyataan.

“Teori ketiga, apakah ia satu kesilapan taktikal untuk menggelar RM2.6 bilion itu sebagai derma?

Dana di akaun Najib didedahkan oleh WSJ pada 3 Julai 2015 yang disyaki duit 1MDB.

Sebulan kemudian, barulah SPRM berkata duit itu ialah duit derma.

Sehingga kini, tidak kedengaran Najib menyaman WSJ meskipun cerita derma ini sudah menjadi perbualan dan lawak antarabangsa.

“Apakah ini satu kesilapan taktikal yang teruk? Oleh kerana itu, sehingga Najib tidak berani menjawab isu RM2.6 bilion ini secara berdepan meskipun menerima kritikan hebat di IACC di negara sendiri,” katanya.

Mengulas lanjut, Tuan Ibrahim mendakwa kemungkinan memang ada bukti salahlaku ketika siasatan Pasukan Petugas Khas sehingga pasukan itu akhirnya dibubarkan.

“Teori keempat, apakah memang ada bukti salahlaku yang dijumpai mengenai RM2.6 bilion?

Spekulasi ini juga antara terhangat diperkatakan ekoran terbubarnya pasukan siasatan khas isu 1MDB, pemecatan Muhyiddin dan bekas Peguam Negara, Tan Sri Abdul Gani Patail secara mengejut, terbantutnya persidangan PAC, pemindahan pegawai Peguam Negara dan SPRM yang dilakukan secara mendadak, penahanan pegawai SPRM seperti penjenayah untuk disoalsiasat dan kebisuan Bank Negara dalam isu dana RM2.6 bilion.

“Jika derma itu bersih dari segi tatatertib kewangan, mengapa Najib tidak menggalakkan siasatan diteruskan?

Malah, menurut Pengarah Komunikasi Strategik BN, Datuk Abdul Rahman Dahlan, Najib belum menjelaskan kepada pemimpin Umno mengenai wang RM42 juta yang dimasukkan ke akaun persendiriannya oleh anak syarikat SRC International.

“Teori kelima, apakah antara orang yang dapat menikmati dana RM2.6 bilion itu ialah pemilik akaun atau warisnya?

Persoalan ini juga hangat diperkatakan berdasarkan gaya hidup pasangan ini, yang digelar mewah oleh Tun Mahathir.

Apakah disebabkan ini, Najib memilih untuk membisu kerana beliau tahu rakyat dan Umno akan lebih marah?,” katanya.


Timbalan Presiden Pas,
Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man

Tiada ulasan:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Artikel Terbaru

 
IdaMan - Blogger Templates, - by Templates para novo blogger Displayed on lasik Singapore eye clinic.