Cari Blog Ini

Culik : Viral Culik Tidak Tepat


Viral culik tidak tepat
Berita yang telah dipaparkan dalam laman sosial Facebook
[sinar]- Belum pun reda isu van putih didakwa berlegar-legar sekitar Sekolah Kebangsaan Kamunting minggu lalu, kini heboh diperkatakan di laman sosial Facebook seorang murid sekolah agama rakyat (SAR) hampir diculik.

Dalam maklumat yang tersebar itu memaklumkan kanak-kanak berkenaan hampir diculik oleh individu yang menaiki van berwarna putih.

Kanak-kanak berkenaan difahamkan anak kepada seorang ustaz dan kejadian berlaku pada Khamis lalu.

Dalam masa yang sama, dipercayai van berkenaan telah kelihatan di kawasan Bukit Jana Kamunting.

Ketua Polis Daerah Taiping, Asisten Komisioner Harrith Kam Abdullah ketika dihubungi berkata, pihak polis telah memberikan maklum balas.

Menurutnya, berita yang yang diviralkan di laman sosial Facebook kurang tepat.

"Pihak polis telah pergi ke semua sekolah di situ dan kawasan berhampiran, namun tidak ada sekolah seperti yang digambarkan.

“Seorang budak telah ditemu bual dan dia hanya dibaling gula-gula oleh individu di dalam sebuah van.
“Kanak-kanak ini mendakwa bahawa van terbabit berwarna hijau.

Jadi dakwaan ada lima lelaki di dalam van tersebut tidak boleh diterima pakai kerana kanak-kanak ini tidak boleh nampak dengan jelas apa atau siapa di dalam van terbabit,” katanya.

Dalam perkembangan berkaitan, Harrith Kam berkata, pihak polis percaya masyarakat sebenarnya terlalu percaya dengan khabar angin dan akan mengaitkan apa juga kejadian mencurigakan sebagai salah laku jenayah.

“Bagaimanapun, pihak polis akan terus membuat pemantauan dan memperhebatkan rondaan di kawasan berkenaan dan sekitarnya.

“Sehingga sekarang van seperti di dalam laman sosial Facebook tidak dapat dikesan,” katanya.

Tegasnya, jika ada sebarang maklumat yang ingin dikongsi boleh berhubung terus dengan pihak polis dan bukannya menyebarkan di dalam laman sosial.

Sinar Harian bertarikh 5 September lalu menyiarkan kebimbangan seorang ibu berhubung keselamatan anaknya selepas viral di media sosial kononnya ada sindiket penculikan kanak-kanak menggunakan van berwarna putih.

Namun, polis mengesahkan tiada sebarang van mencurigakan berlegar-legar di sekitar Kamunting selepas pemantauan dibuat.

Tiada ulasan:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Artikel Terbaru

 
IdaMan - Blogger Templates, - by Templates para novo blogger Displayed on lasik Singapore eye clinic.