Cari Blog Ini

[Video & Gambar] Gempa 6.0 Magnitud Landa Ranau, Sabah


Gegaran 6.0 melanda Ranau pada pagi Jumaat. - Sumber Foto USGS.com
[mk]- Gempa bumi sederhana bermagnitud 5.9 pada skala richter menggegarkan Ranau, Sabah jam 7.15 pagi tadi.

Menurut Pusat Gempa Bumi dan Tsunami Nasional gegaran dirasai di kebanyakan tempat di Sabah termasuk Ranau, Tambun, Pedalaman, Tuaran, Kota Kinabalu dan Kota Belud.

Pusat gempa tersebut terletak 16km Barat Laut Ranau, Setakat ini tiada  gempa susulan dilaporkan.

Bagaimanapun Jabatan Meteorologi sedang memantau perkembangan ini dan akan memaklumkan maklumat terkini dari masa ke masa.

Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia Negeri Sabah (JBPM) ketika dihubungi berkata, pihaknya kini telah memohon bantuan unit udara JBPM untuk memulakan operasi mengeluarkan pendaki di kawasan pegunungan sekitar Ranau.

Ini kerana, laporan yang diterima JBPM, berlakunya runtuhan batu yang menyebabkan halangan kepada pendaki untuk turun ke kawasan yang lebih selamat.

Selain itu, bomba turut melakukan pemantauan bangunan di sekitar pekan Ranau bersama-sama agensi kerajaan lain seperti Jabatan Kerja Raya untuk mengenalpasti jika ada kemungkinan untuk mengosongkan bangunan.

Buat masa kini, pihak bomba masih belum menerima sebarang laporan berkaitan kemalangan jiwa.

Ia turut menyebut Jabatan Meteorologi sedang memantau perkembangan ini dan akan memaklumkan maklumat terkini.

Sementara itu, tinjauan di media sosial mendapati beberapa Netizen berkongsi gambar kerosakan harta benda selain memuat naik status akibat gegaran tersebut.


                                 'Bangunan bergoyang seperti akan runtuh'

"Lantai, siling bergegar dan bangunan hotel bergoyang seolah-olah akan runtuh," Datuk Ruhaidini Abd Kadir, Setiausaha Akhbar kepada Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, menceritakan keadaan ketika gempa bumi berlaku di Sabah hari ini.

Ruhaidini yang menginap di Apartment Marina Court Kota Kinabalu kerana bertugas di sana, memberitahu Bernama bahawa gegaran itu dapat dirasai selama 30 saat ketika beliau dan anggota keluarga sedang berehat di apartmen itu.

"Ketika itu saya sempat menjerit kepada anggota keluarga saya untuk menyelamatkan diri...kami berlari menuruni anak tangga sehelai sepinggang dan berada di perkarangan bangunan apartmen bersama penghuni lain," katanya.

Ruhaidini telah memuat naik gambar ketika kejadian gempa bumi itu dalam laman Facebooknya.

Gempa bumi sederhana berukuran 5.9 pada skala Richter berlaku di Ranau, Sabah pada 7.15 pagi ini dan turut dirasai di kebanyakan tempat di Sabah termasuk Tambunan, Tuaran, Kota Kinabalu dan Kota Belud.

Sementara itu, Pegawai Pendidikan Jabatan Pendidikan Perlis, Nazri Adam, 58, berkata pada kira-kira pukul 7.15 pagi, beliau tiba-tiba berasa pening dan melihat katil serta kerusi meja di bilik hotelnya bergoyang selama beberapa saat.

"Pada mulanya saya tidak mengendahkannya, namun selepas itu saya nampak banyak mesej 'Whatsapp' yang menyatakan ada gempa bumi.. barulah saya sedar ia merupakan gempa bumi, " katanya yang berada di Kota Kinabalu untuk menghadiri majlis makan malam bersama bekas pelajar Maktab Perguruan Gaya malam tadi.

Beliau berkata gegaran itu dirasai semasa hendak keluar dari biliknya untuk bersarapan pagi.

Bagi guru, Roger Fong yang tinggal di Keningau, Sabah pula, beliau turut merasai gegaran dan pada mulanya tidak pasti sama ada ia gempa bumi.

"Jadi saya bertanyakan kawan saya melalui Facebook dan mereka mengesahkan ada gempa bumi di Ranau," katanya.

Guru sekolah rendah di Tenom, Sabah, Lee Yen Fun berkata ini pertama kali beliau merasai gegaran gempa bumi, "Selama ini saya hanya melihat di televisyen dan membaca berita luar negara mengenainya.

"Mujur ia bukan gegaran kuat dan syukur semuanya selamat," katanya.

- Bernama


Beberapa gambar dikongsi di akaun Twitter menunjukkan kerosakan di kawasan berhampiran tempat pelancongan popular, Gunung Kinabalu, dekat dengan lokasi di mana gempa bumi berlaku. – Gambar The Malaysian Insider, 5 Jun, 2015.
Beberapa gambar dikongsi di akaun Twitter menunjukkan kerosakan di kawasan berhampiran tempat pelancongan popular, Gunung Kinabalu, dekat dengan lokasi di mana gempa bumi berlaku










                   

                          

                          

Tiada ulasan:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Artikel Terbaru

 
IdaMan - Blogger Templates, - by Templates para novo blogger Displayed on lasik Singapore eye clinic.