Cari Blog Ini

Teguran Nazri Aziz Terhadap TMJ : Kali Ini Nazri Aziz Kena Belasah


Teguran saya dapat maklum balas kasar dari menteri [gambar fail]
[sinar]- Apabila saya bersuara, saya melakukannya sebagai pemimpin rakyat saya, rakyat Johor dan Malaysia, ujar Tunku Ismail Sultan Ibrahim.

Tunku Mahkota Johor berkata, dia hanya mengingatkan para pemimpin negara ini bahawa mereka mempunyai tanggungjawab untuk berkhidmat kepada rakyat, sebaliknya dirinya diserang kerana peringatan itu.

"Kebelakangan ini, saya hanya menyuarakan pandangan supaya mereka yang diberikan amanah jangan salahkan rakyat kerana hilang keyakinan dan kepercayaan terhadap anda, tetapi fikirkanlah mengapa rakyat telah hilang keyakinan dan kepercayaan terhadap anda.

"Nampaknya teguran saya secara baik ini telah mendapat maklum balas yang kasar daripada seorang menteri, Kalau saya mendapat jawapan sedemikian, apa harapan untuk teguran rakyat lain didengar?

"Anda seorang menteri tidak boleh ditegur. Jangan fikir rakyat negara ini wujud untuk memberikan anda jawatan dan kekayaan, tetapi jawatan tersebut wujud supaya anda memberikan khidmat kepada rakyat," katanya seperti dipetik dalam laman sosial Johor Southern Tigers di sini hari ini.

Tunku Ismail berkata, dalam aturan dunia yang baru, dia membayangkan masa depan di mana setiap orang mempunyai hak menyuarakan pendapat masing-masing.

"Namun keadaan di Malaysia pada hari ini tidaklah begitu, menteri-menteri pantang ditegur, Saya rela dicemuh untuk mempertahankan perkara yang benar daripada disanjung untuk membela perkara yang salah.

"Saya bukan ahli politik. Saya hanya bertanggungjawab kepada ALLAH, Sultan saya, dan rakyat Johor, Saya bukannya menjalankan suruhan seperti boneka.

"Johor hanya mempunyai tempat bagi mereka yang mahu berkhidmat kepada rakyat, bukan untuk mereka yang mahu meraih undi demi kepentingan peribadi," katanya.

Beliau berkata, akan tiba suatu masa, di mana rakyat Johor perlu membuat keputusan demi kebaikan masa depan kita dan generasi yang akan datang.

Katanya, semua rakyat Johor akan bersatu dan membuat keputusan tersebut sebagai Bangsa Johor, untuk menempa masa depan kita.

"Bersatu kita teguh, bercerai kita roboh, Saya berdiri untuk rakyat saya, bukan untuk merebut kuasa, bukan untuk menumbangkan kerajaan, tetapi untuk menjaga kesejahteraan rakyat saya.

"Saya tidak pernah menyuruh sesiapa berundur atau meletak jawatan, hanya sekadar memberi ingatan kepada ahli politik berkenaan peranan dan tanggungjawab mereka.

"Sekiranya perkara seperti itu pun anda tidak boleh terima, jelaslah kepada seluruh rakyat betapa angkuh dan sombongnya anda," katanya.

Tunku Ismail mengakui boleh hidup dalam dunia dan kehidupannya yang selesa tanpa memikirkan permasalahan rakyat, namun memilih itu berbuat perkara sebaliknya.

"Alhamdulillah, saya telah dikurniakan dengan kehidupan yang selesa, Kalau hendak diikutkan, saya boleh hidup dalam dunia saya sendiri tanpa menghiraukan permasalahan rakyat, tetapi saya di sini berdiri teguh bersama mereka.

"Jadi kepada mereka yang ingin mencemar imej saya dan menjadikan saya musuh awam nombor satu, sesungguhnya rakyat lebih bijak dan mampu menilai sendiri," katanya.

Tunku Mahkota Johor turut menegaskan agar tiga menggunakannya untuk mengalihkan tumpuan daripada isu 1MDB dan isu-isu nasional yang lain.

"Negara ini memerlukan ahli politik yang bersih dan telus, yang menjalankan tanggungjawab mereka dengan keikhlasan dan integriti," katanya.


Mohamed Nazri perlu minta maaf
Mohamed Nazri perlu minta maaf [Kenyataan Pemuda MIC yang dimuat naik di Facebook]
[sinar]- Pemuda MIC Johor mengutuk kenyataan biadab Menteri Pelancongan dan Kebudayaan, Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz terhadap Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim.

Ketuanya, S Deva berkata, sebagai pemimpin negara, Mohamed Nazri sepatutnya menunjukkan contoh ikutan yang baik kepada rakyat supaya menghormati institusi diraja.

“Sebagai seorang pemimpin negara beliau tidak perlu bertindak seperti ketua kumpulan kongsi gelap dengan mengeluarkan kata-kata ugutan kepada Tunku Mahkota Johor.

“Untuk itu, Pemuda MIC Johor mahu kepimpinan BN mengenakan tindakan disiplin kepada Mohamed Nazri.

Ini selari dengan semangat BN yang sentiasa mendukung prinsip Rukun Negara yang salah satu daripadanya adalah ‘Kesetiaan Kepada Raja dan Negara'," katanya dipetik dalam laman sosial Facebook, di sini, semalam.

Sementara itu, Pengerusi Perkasa Parlimen Tanjung Piai, Saharudin Kamijan berkata, penggunaan perkataan 'belasah' yang digunakan Mohamed Nazri  terlalu biadab dan beliau perlu memohon maaf secara terbuka.

“Mohamed Nazri perlu melihat dengan fikiran terbuka mengenai pandangan Tunku Ismail yang memuat naik status di Facebook mengenai dialog Nothing2Hide yang tidak dihadiri Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.

“Saya melihat pandangan yang dilontarkan itu, adalah sesuatu yang biasa sebagaimana dilakukan rakyat Malaysia,” katanya.

Saharudin berkata, kenyataan menteri itu bukan sahaja menyinggung perasaan keluarga diraja, tetapi juga menimbulkan kemarahan rakyat.

“Amat tidak beradab dan kurang ajar apabila penduduk dari negeri lain mengeluarkan kenyataan sedemikian rupa, apatah lagi oleh individu yang kini menggalas jawatan dalam Kabinet negara,” katanya.


Datuk Zulkurnain Kamisan
Datuk Zulkurnain Kamisan
Menteri tiada hak hina institusi diraja

[sinar]- Jangan kurang ajar! Demikian kenyataan tegas, Ketua Umno Bahagian Parit Sulong, Datuk Zulkurnain Kamisan yang ditujukan kepada Menteri Pelancongan dan Kebudayaan, Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz.

"Saya teramat kesal dengan kenyataan menteri itu. Semua orang perlu sanjung tinggi kedaultan institusi istana, termasuk pemimpin di peringkat pusat.

Perdana Menteri (Datuk Seri Najib Tun Razak) hormatkan istana, inikan pula menteri, Kena hormatlah juga, "Jawatan menteri bukan lesen untuk hina institusi yang sudah wujud sekian lama ini," katanya.

Zulkurnain berkata, kenyataan Mohamed Nazri bukan sahaja melampau tetapi dibimbangi akan mencetuskan kemarahan rakyat Johor sekali gus menjejaskan keharmonian rakyat keseluruhannya.

Beliau berkata demikian sebagai reaksi terhadap kenyataan menteri itu, kelmarin yang membidas Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim yang diminta supaya tidak campur tangan dalam urusan politik negara.

Ini berikutan Tunku Ismail pada 5 Jun lalu dalam satu kenyataan dilaporkan berkata, "orang yang ingin menyembunyikan segala-galanya tentu sekali tidak akan muncul..." yang dipercayai merujuk kepada tindakan perdana menteri tidak hadir dalam sesi dialog dengan NGO, Nothing2Hide.

Menurut Mohamed Nazri, kenyataan anakanda Sultan Johor itu berhubung isu-isu politik negara akan menyebabkan beliau dikecam.

“Saya rasa beliau (Tunku Ismail) harus menjauhkan diri daripada politik. Jika tidak, beliau juga akan dapat benda yang sama.

Kita akan whack (belasah) dia. Raja-raja dan keluarga diraja ini berada di atas undang-undang, Kalau dia (Tunku Ismail) mahu jadi ahli politik, dia perlu beritahu. Kemudian kita boleh menjawab balik.

"Kamu memegang jawatan penting di negeri… kalau kerajaan 'belasah' kamu balik, jangan marah,”  demikian kata Mohamed Nazri dipetik.

Zulkurnain berkata, kenyataan menteri itu yang merujuk kepada Tunku Mahkota Johor amat dikesali.

"Saya cukup kesal dengan tindakan sesetengah pemimpin yang semakin kurang ajar hingga sanggup mengeluarkan perkataan yang begitu sekali menghina institusi raja," katanya.

Zulkurnain bagaimanapun yakin pendirian Mohamed Nazri tidak mewakili pandangan kepimpinan Umno atau rakyat kerana beliau bukan anggota majlis tertinggi parti.

“Saya sarankan beliau muhasabah diri, cermin diri dahulu apabila mahu buat kenyataan berkaitan institusi raja,” katanya.

Zulkurnain juga percaya, bukan sedikit rakyat Johor yang marah dengan kenyataan menteri itu.

Menurutnya, sejak dahulu lagi rakyat Johor akan bangun menentang sesiapa juga yang cuba menghina institusi raja  yang boleh merosakkan perpaduan rakyat.

“Orang luar yang tidak suka ‘Cara Johor’ tidak perlu cerca atau hina, mereka boleh mencari tempat lain tetapi bukanlah di negeri Johor ini yang sudah cukup aman selama ini,” katanya.

Sementara itu, Exco Kerajaan Negeri Johor, Datuk Abd Latif Bandi berkata, Tunku Ismail berhak menyalurkan pandangan sebagai seorang warganegara Malaysia yang prihatin.

Katanya, baginda mempunyai hak khususnya dalam hal-hal berkaitan dengan kepentingan awam, “Oleh itu, adalah tidak wajar bagi sesiapapun untuk menafikan hak ini.

Malah adalah agak keterlaluan bagi mana-mana pihak mengeluarkan kenyataan yang berbaur ugutan dan boleh mencemarkan nama baik institusi diraja Johor khasnya,” katanya.


                                        Lapan laporan polis ke atas Nazri

[sinar]- Polis Johor mengesahkan menerima lapan laporan polis berhubung kenyataan Menteri Pelancongan dan Kebudayaan, Datuk Seri Nazri Aziz terhadap Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim.

Ketua Polis Negeri, Datuk Rusli Ahmad berkata kesemua laporan itu direkodkan sehingga jam 9 pagi, hari ini.

 “Kita terima lapan laporan polis dan siasatan mengenai perkara ini dikendalikan satu unit khas dari Bukit Aman, “Kita akan memantau dan lihat apa yang kita boleh bantu,” katanya kepada Sinar Harian, di sini, hari ini.

Sementara itu, kenyataan Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar memaklumkan kes tersebut akan disiasat di bawah Seksyen 505(b) Kanun Keseksaan.

Susulan kenyataan Nazri itu, menimbulkan kemarahan rakyat khususnya di Johor yang menuntut Ahli Majlis Tertinggi Umno itu mengemukakan permohonan menarik balik kenyataan dan memohon maaf.

Nazri  yang mengkritik status di laman Facebook Johor Southern Tigers oleh Tunku Ismail susulan baginda tidak terkejut apabila Najib tidak hadir ke sesi dialog #Nothing2Hide agar menjauhkan diri daripada politik jika  tidak mahu "dibelasah".

Baca : Teguran Nazri Aziz Terhadap TMJ Menunjukkan Menteri Umno BN Sombong Dan Angkuh

Tiada ulasan:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Artikel Terbaru

 
IdaMan - Blogger Templates, - by Templates para novo blogger Displayed on lasik Singapore eye clinic.