Cari Blog Ini

Selepas 600 Juta Perkukuh ESSCOM, Kerajaan Lulus RM23 Juta Lagi Bagi Pembelian Aset Esscom


Kerajaan Lulus RM23 Juta Bagi Pembelian Aset Esscom [gambar fail]
[mstar]- Kerajaan telah meluluskan peruntukan khas sebanyak RM23 juta bagi Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (ESSCom) untuk perolehan segera aset yang perlu untuk memerangi jenayah rentas sempadan, kata Ketua Setiausaha Negara (KSN), Tan Sri Dr Ali Hamsa.

Beliau berkata ia adalah peruntukan tambahan daripada peruntukan RM660 juta kepada ESSCom di bawah Bajet 2015.

"Melalui peruntukan khas ini, kerajaan bersetuju untuk mempercepatkan  pembelian dan penghantaran aset-aset kepada Zon Keselamatan Pantai Timur Sabah  (ESSZONE).

"Objektif utama ialah untuk memastikan keselamatan dalam linkungan ESSZone adalah terjamin," katanya kepada pemberita selepas menghadiri mesyuarat dengan ESSCom di sini Khamis.

Ali berkata ESSCom, diketuai oleh komandernya Datuk Abdul Rashid Harun, telah diberikan kebebasan untuk membeli aset-aset seperti bot dan kenderaan pacuan empat roda daripada pembekal tempatan.

Ali berkata lebih 200 daripada aset-aset itu diperlukan untuk mengukuhkan kawasan ESSCom di ESSZone.

Ketika ditanya mengenai aset udara seperti helikopter, Ali berkata perolehan seperti itu memerlukan masa tetapi tidak terkeluar daripada perancangan.


Bajet 2015 : RM600 juta perkukuh ESSCOM - Najib
Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (ESSCOM), yang bertanggungjawab menyelaras pelbagai agensi keselamatan dan pertahanan di Zon Selamat Timur Sabah (ESSZONE), akan diperkukuh dengan peruntukan RM660 juta.

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak, berkata peruntukan itu merangkumi penambahan satu batalion Pasukan Gerakan Am (PGA) Polis Diraja Malaysia dan satu batalion Tentera Darat dengan 1,280 anggota baharu yang diluluskan.

Najib yang juga Menteri Kewangan berkata dua kem juga akan dibina di ESSZONE iaitu Kem Batalion 20 PGA di Beluran dan Kem Angkatan Tentera Malaysia di Felda Sahabat, Lahad Datu, Sabah.

"Di samping itu, kelengkapan operasi pertahanan dan keselamatan akan ditambah baik.

Antaranya perolehan sistem radar pengawasan berkeupayaan tinggi," katanya membentangkan "Bajet 2015: Ekonomi Keperluan Rakyat" di Dewan Rakyat di sini, hari ini.

Esszone merangkumi 10 daerah iaitu Kudat, Kota Marudu, Pitas, Beluran, Sandakan, Kinabatangan, Lahad Datu, Kunak, Semporna, dan Tawau, yang meliputi 1,733.7 kilometer.

Najib berkata kerajaan juga akan menggunakan satu pelantar minyak yang diubah suai dan sebuah kapal bantuan sebagai 'Sea Basing' (Pangkalan Laut) di perairan ESSZONE dengan peruntukan sebanyak RM230 juta melalui program Tanggungjawab Sosial Korporat Petronas.

"Sebagai tambahan, untuk membolehkan pesawat berkeupayaan tinggi mendarat, kerajaan akan memanjangkan landasan lapangan terbang di Lahad Datu dan perpindahan Skuadron Hawk dari Butterworth ke Labuan dengan peruntukan RM50 juta," katanya.

Selain itu, Perdana Menteri berkata perkampungan air seperti di Semporna dan Sandakan akan turut ditempatkan semula secara berperingkat.

"Kerajaan berharap dengan inisiatif ini, keselamatan rakyat Malaysia di Sabah akan terus terjamin dan aktiviti ekonomi akan terus rancak," katanya.

Penubuhan ESSCOM diumumkan Perdana Menteri semasa lawatannya ke Lahad Datu pada 7 Mac tahun lalu, susulan pencerobohan kumpulan pengganas Sulu di Kampung Tanduo sebulan sebelum itu.

- BERNAMA

Tiada ulasan:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Artikel Terbaru

 
IdaMan - Blogger Templates, - by Templates para novo blogger Displayed on lasik Singapore eye clinic.