Cari Blog Ini

Putus Hubungan Dengan DAP : Kepimpinan Baharu PAS Tersepit !


DAP minta Pas arah ahli lepas jawatan
[sinar]- DAP menyatakan kepimpinan baharu Pas perlu melaksanakan tindakan susulan selepas memutuskan hubungan dengan parti tersebut pada muktamar lalu.

Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng berkata, kepimpinan tersebut perlu mengarahkan wakil-wakil Pas meletakkan semua jawatan dalam kerajaan Negeri Pulau Pinang.

"Saya minta kepimpinan baharu Pas supaya mengarahkan wakil Pas dalam kerajaan negeri meletak jawatan, Saya rasa hanya dengan tindakan sedemikian sahaja menunjukkan mereka masih ada maruah.

"Sekiranya mereka berpegang kepada prinsip dan tidak pada jawatan, maka mereka harus mengambil tindakan susulan dengan berani mengarahkan yang memegang jawatan di Pulau Pinang meletak jawatan," katanya dalam sidang media di lobi Dewan Rakyat, hari ini.

Beliau yang juga Ketua Menteri Pulau Pinang menegaskan bahawa jawatan yang dipegang wakil Pas di Pulau Pinang adalah tertakluk kepada bidang kuasa kerajaan negeri dan ketua menteri.

"Jangan gunakan alasan sebagai wakil Pas dalam PR dalam kerajaan negeri. Sangat tidak masuk akal untuk mereka bekerjasama sedangkan Pas telah memutuskan hubungan.

"Saya harap mereka faham, macam mana boleh bekerjasama dengan kerajaan Pulau Pinang sedangkan mereka telah putuskan hubungan dengan saya selaku ketua menteri. Kalau putuskan hubungan DAP, saya setiausahanya, jadi harap mereka (Pas) faham," katanya.

Beliau turut mempersoalkan tindakan Pas yang melulus usul putuskan hubungan dengan DAP tanpa bahas.

"Mengapa mereka (Pas) menggunakan perkataan diterima tanpa bahas jika mahu berbaik atau rujuk, Sebagai ahli politik yang matang mereka tidak patut guna perkataan itu. Apa maksud perkataan tersebut?

"Kalau nak rujuk guna perkataan rujuk, jangan guna perkataan usul putus diterima, Saya rasa jangan berbelit-belit dalam hal ini kalau nak putus kita terima putus kerana itu hak Pas, kita terima dengan hati terbuka," katanya.

Guan Eng turut mendakwa, kepimpinan Pas seakan-akan tidak berani mengambil tindakan susulan yang logik.

"Sudah tentu menimbulkan pertanyaan adakah pertahankan jawatan lebih penting daripada pertahankan prinsip," katanya.

Jelasnya lagi pihak kerajaan negeri mempunyai hubungan baik dan kerjasama yang rapi dengan wakil-wakil Pas termasuk Datuk Salleh Man sebagai Adun permatang Pasir dan Naib Yang Dipertua Majlis Agama Islam Pulau Pinang.

"Apabila mereka (ahli Pas) letak jawatan ia diterima tanpa soal, Sudah tentu pengganti akan datang dari orang Melayu dan Islam," katanya.

Guan Eng turut memuji tindakan, bekas Timbalan Presiden Pas, Mohamad Sabu atau Mat Sabu yang bertindak meletak jawatan dalam kerajaan Pulau Pinang sebagai tanda menghormati usul yang dibuat kepimpinan Pas.

"Saya rasa ini tindakan mulia dan disegani kerana beliau berpegang kepada prinsip bukan memegang jawatan dan akur kepada keputusan parti.

"Kepimpinan baharu Pas perlu mencontohi apa yang dilakukan Mat Sabu," katanya, Tambah Guan Eng, kira-kira seratus jawatan telah diberikan kepada wakil Pas dalam pentadbiran kerajaan negeri.

Mengulas mengenai campur tangan PKR dalam krisis DAP-Pas, beliau berkata, mereka tidak memerlukan khidmat pihak ketiga bagi menyelesaikan krisis antara parti itu dengan Pas.

"Kami mampu menyelesaikan  sendiri masalah dengan Pas. DAP wujud sejak tahun 1996 dan mempunyai majoriti wakil rakyat yang paling ramai dalam PR.

"Segala masalah boleh dibincangkan secara terus tanpa campur tangan orang lain," katanya lagi.


                                 Selangor terjejas jika Pas putus hubungan

[sinar]- Pentadbiran Kerajaan Negeri Selangor berdepan masalah jika Pas meneruskan tindakan memutuskan hubungan dengan DAP.

Penganalisis politik Universiti Kebangsaan Malaysia, Prof Madya Datuk Dr Samsul Adabi Mamat berkata, ini kerana Selangor ditadbir secara bersama oleh PR dengan kedudukan kerusi yang seimbang.

“Jika Pas memutuskan hubungan dengan DAP, ia akan mencetuskan ketidakstabilan politik di Selangor. Terutamanya dalam sesuatu perkara yang memerlukan undi majoriti.

“Sekiranya perkara itu berkaitan dasar PR, tentu Pas tiada masalah untuk sokong. Tetapi jika undi itu dikemukakan oleh DAP, Pas tidak akan sokong dan menyebabkan tiada kesepakatan di situ,” katanya, semalam.

Pas memiliki 15 kerusi Dun di Selangor, manakala DAP (15 kerusi), PKR (14 kerusi) dan BN (12 kerusi).

Kelmarin, Muktamar Tahunan Pas ke-61 meluluskan usul dibawa Dewan Ulama untuk putuskan hubungan dengan DAP.

Keputusan mengenai usul itu akan diputuskan Majlis Syura Ulama dalam masa yang ditentukan kemudian.

Mengulas lanjut, Samsul Adabi berkata, situasi itu berlainan dengan di Pulau Pinang kerana Pas hanya mempunyai seorang wakil Adun di negeri itu.

“Malah, Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng sendiri mengatakan kepimpinan negeri itu tidak memerlukan Pas, Jadi ia menunjukkan Pas seolah-olah tidak mempunyai kepentingan.

“Apabila Guan Eng cakap begitu, memang DAP tidak akan rugi apa-apa, Tetapi Pas yang rugi apabila mereka jadi Adun, tetapi tidak datangkan keuntungan kepada Pas,” katanya.

Sehubungan itu, katanya, Pas perlu menimbangkan banyak faktor jika mahu putus hubungan dengan DAP.


                                                 Wujud dua aliran politik dalam Pas

[sinar]- Perpecahan dalam Pas adalah disebabkan wujudnya aliran politik di dalam parti tersebut iaitu progresif dan konservatif, kata Pensyarah Kanan Pusat Pengajian Antarabangsa Kolej Undang-undang, Kerajaan dan Pengajian Antarabangsa, Universiti Utara Malaysia (UUM), Prof Madya Dr Mohd Azizuddin Mohd Sani.

“Pihak progresif ialah pihak yang mahu pembaharuan dalam parti manakala pihak konservatif yang mahu parti ikut perjuangan asal mereka iaitu cara ulama sekitar 1980-an,” katanya.

Menurutnya, pihak progresif ini pula mengikuti cara realistik iaitu melihat suasana semasa politik di negara ini.

Katanya, golongan progresif merasakan parti akan kuat sekiranya Pas bekerjasama dengan parti di dalam PR untuk melawan BN yang kini agak lemah dengan isu masing-masing.

“Pihak konservatif pula ikut cara idealis iaitu melihat perkara lebih baik pada masa akan datang berasaskan perjuangan sebenar," katanya.


        Biar putus dengan DAP, bukti PAS parti bermaruah, kata Khalid Samad

PAS perlu melaksanakan usul Dewan Ulama yang mahu parti Islam itu memutuskan kerjasama dengan DAP, bagi memperlihatkan mereka tidak tunduk kepada parti sekular itu dan memperlihatkannya parti yang bermaruah, kata Khalid Samad.

Bekas ahli jawatankuasa PAS Pusat itu berkata, parti juga perlu melaksanakan usul berkenaan bagi memperlihatkan perbezaan di antara kepimbinan baru dan lama.

“Untuk mengotakan semangat di sebalik usul itu dan supaya PAS tidak dituduh tunduk pada DAP, kemaruk jawatan serta sebagai parti yang tidak bermaruah, hasrat usul tersebut perlu dilaksanakan.

“Maka biarlah tindakan tegas dan berani, meletakkan harapan hanya pada Allah, Berani kerana benar dan yakin Allah bersama pihak yang benar,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Khalid berkata keputusan pemilihan parti kali ini disifatkannya satu ‘rombakan menyeluruh’ yang sememangnya sudah lama diusahakan pimpinan yang menggelar diri mereka sebagai ‘pro-ulama’ di dalam PAS.

Katanya, dengan tercapainya ‘pembersihan’ ini, maka rakyat dan ahli menunggu untuk melihat perbezaan, samada dalam pendekatan, kaedah, hala tuju atau apa jua, antara pimpinan baru dan pimpinan lama.

“Keinginan untuk perbezaan ini merupakan sebab dan justifikasi terhadap usaha gigih yang dilakukan sepanjang beberapa bulan untuk menjatuhkan pimpinan lama dan menaikkan pimpinan baru.

“Amat mengecewakan sekiranya selepas berusaha dengan begitu gigih dan matlamat tercapai, akhirnya tiada sebarang perbezaan kecuali retorik semata-mata,” katanya.

Ahli Parlimen Shah Alam itu berkata pimpinan baru wajib diberikan ruang seluas-luasnya untuk melaksanakan pembaharuan pendekatan, kaedah, hala tuju atau apa jua yang diinginkan ke arah mengukuhkan PAS dan Pakatan Rakyat (PR).

Katanya, pendekatan yang digunakannya sedikit berbeza dengan kepimpinan baru, maka menggunakan kaedah itu mungkin beliau tidak dapat memberikan khidmat terbaik.

"Saya sudah membuat pendirian saya tidak akan mencampuri apa jua hal kepimpinan parti kerana khuatir akan menjadi penghalang kepada apa yang diingini.

“Ini adalah yang terbaik, lebih-lebih lagi apabila apa yang diidamkan sebenarnya tidak saya ketahui,” katanya.

Pemilihan PAS pada Sabtu menyaksikan golongan progresif dalam parti itu tidak menjadi pilihan perwakilan sebaliknya membariskan golongan konservatif dalam kebanyakan jawatan yang dipertandingkan.

Pemimpin PAS yang pro PR rata-rata disingkirkan bermula daripada Mohamad Sabu sebagai timbalan presiden, Datuk Husam Musa dan Salahudin Ayub di peringkat naib presiden.

- The Malaysian Insider


                                      Pas sudah tekad, tak akan patah balik

[sinar]- Ketua Penerangan Pas Pusat, Datuk Mahfuz Omar berpandangan parti berkenaan tidak akan berpatah balik mengenai usul putus kerjasama dengan DAP.

Beliau berkata, kredibiliti parti itu akan tercalar sekiranya berpatah balik daripada keputusan usul tanpa bahas pada muktamar lalu.

“Jika kita berpatah balik, pasti orang Islam di negara ini akan memandang negatif terhadap Pas yang memperjuangkan Islam.

“Pasti mereka (orang Islam) akan kata Pas tidak konsisten. Jadi imej kami akan buruk,” katanya ketika ditemui di lobi Parlimen, semalam.

Mahfuz berkata, sekiranya Pas berpatah balik untuk bekerjasama semula dengan DAP rakyat akan melihat bahawa Pas lebih mementingkan jawatan berbanding prinsip parti.

Menurutnya, usul memutuskan hubungan DAP yang diluluskan sebulat suara dalam Muktamar Dewan Ulama Pas pusat telah di bawa oleh ahli jawatankuasanya sendiri.

“Sebenarnya sebahagian Ahli Jawatankuasa Dewan Ulama adalah Ahli Majlis Syura Ulama, Jadi secara prinsipnya Majlis Syura telah memutuskannya.

“Apa pun kita tunggu ia dibawa ke dalam mesyuarat Majlis Syura nanti,” jelasnya.

Mengulas lanjut, Mahfuz berkata cubaan PKR untuk menjadi orang tengah bagi mendamaikan DAP dan Pas dilihat sebagai usaha yang sia-sia.

“Itu satu usaha yang sangat sukar kerana usul yang dibawa Dewan Ulama Pas sudah menggariskan sembilan alasan tentang keperluan untuk putus kerjasama dengan DAP,” katanya.

Ditanya adakah Pas akan mengarahkan ahli Pas yang memegang jawatan dalam kerajaan Selangor turut meletakkan jawatan seperti yang digesa oleh Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng di Pulau Pinang, Mahfuz berkata ia bergantung kepada PKR.

“Selangor dan Pulau Pinang adalah berbeza. Di Pulau Pinang DAP boleh memerintah tanpa Pas, begitu juga sekiranya tanpa PKR.

“Namun begitu di Selangor ia terpulang kepada PKR, Jika mereka mahu bersama Pas, DAP perlu berundur, Kalau PKR mahu bersama DAP, Pas terpaksa berundur,” katanya.

Ditanya lagi, adakah Pas akan bekerjasama dengan BN di Selangor, Mahfuz berkata perkara tersebut tidak akan berlaku.

“Moral politiknya, kita tidak akan bekerjasama dengan BN, Pas boleh jadi komponen besar bagi kerajaan pakatan,” katanya.

                  

                          

Tiada ulasan:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Artikel Terbaru

 
IdaMan - Blogger Templates, - by Templates para novo blogger Displayed on lasik Singapore eye clinic.