Cari Blog Ini

Peneroka Felda Tolak Alasan Banjir Punca Harga Saham FGV Turun



Peneroka Felda menolak alasan Felda Global Ventures Holdings Berhad (FGVH) berkenaan kejatuhan harga saham dan prestasi syarikat yang lemah berpunca daripada insiden banjir tahun lalu, yang menjejaskan operasi ladang mereka, kata pertubuhan anak peneroka Felda (Anak).

Pemimpin Anak, Mazlan Aliman berkata peneroka juga khuatir kesan akibat penurunan harga yang jatuh sehingga lebih 50% sejak disenaraikan kira-kira tiga tahun lalu.

Beliau berkata, banjir besar melanda hanyalah di Kelantan yang tidak memiliki banyak ladang kelapa sawit,
"Banjir teruk di Kelantan, berapa banyak tanaman FGVH di Kelantan?" soalnya.

Menurut laman web FGVH, ladang terbesar mereka kebanyakannya terletak di Pahang dan Sabah.

"Banjir di Pahang juga tidak berapa teruk. Saya tidak terima alasan itu, Ia hanya alasan untuk prestasi syarikat yang lemah," katanya, kepada The Malaysian Insider.

Pada 28 Mei, akhbar The Star melaporkan kejatuhan itu disebabkan penurunan rating oleh penganalisis selepas syarikat itu menyaksikan prestasi yang teruk selepas disenaraikan.

Pegawai di FGVH berkata kepada The Star, harga CPO yang rendah di seluruh dunia dan insiden banjir tahun lalu dan awal tahun ini memberikan kesan kepada produk kelapa sawit dan penurunan pendapatan.

Mazlan berkata, kejatuhan harga memberikan kesan kepada 94,000 peneroka yang membeli saham FGVH dan kini membayar RM50 sebulan bagi pinjaman dilakukan untuk mereka membeli saham-saham tersebut.

Kejatuhan harga saham itu katanya turut memberikan pengurangan pendapatan kepada 113,000 peneroka yang merupakan ahli Koperasi Permodalan Felda (KPF), menyaksikan mereka melabur sebanyak RM800 juta dalam FGVH tahun lalu.

Ia selepas KPF bersetuju untuk menjual 51% pegangan saham dalam Felda Holdings Berhad (FHB), pengeluar minyak mentah terbesar (CPO) kepada FGVH.

Mazlan berkata, 80% kekuatan KPF datang daripada pegangan dalam FHB yang mana membenarkan koperasi membayar dividen antara 15% hingga 16% setahun, antara yang tertinggi dalam dunia koperasi.

"KPF mempunyai RM2.7 bilion dalam pegangan ahli. Ia antara 20 koperasi terkemuka di dunia," kata Mazlan.

Sebagai kesan kejatuhan harga saham FGVH, KPF dijangka mengumumkan dividen hanya sebanyak 10% pada mesyuarat agung tahunannya, yang dijadualkan pada 10 Jun, katanya.

Saham FGVH jatuh kepada RM1.92 pada 28 Mei, paling rendah sejak syarikat itu menyertai pasaran saham pada Jun 2012.

Dilaporkan ketika penyenaraian, sahamnya didagangkan pada kadar RM4.45 setiap unit, kedua terbesar di dunia selepas Facebook.

The Star pada 28 Mei melaporkan, suku pertama keuntungan bersih FGVH turun 98% kepada RM3.58 juta daripada RM143.63 juta setahun lalu.

Pada 8 April, ketika saham FGV turun kepada RM2.09, pemimpin DAP, Tony Pua berkata, 94,125 peneroka yang masih lagi memiliki saham mereka dianggarkan mengalami kerugian sekitar RM177 juta.

Setiap peneroka memiliki pegangan 800 saham FGVH pada kadar RM4.45 seunit bernilai RM3,560.

Dua hari lalu, pemimpin PKR, Lee Chean Chung menganggarkan kejatuhan terbaru harga saham kepada RM1.92, menyaksikan setiap peneroka akan mengalami kerugian sehingga RM2,024.

"Daripada RM3,560, nilai itu kini hanya RM1,536," kata Lee dalam kenyataannya.

- The Malaysian Insider


Saham Felda Jatuh Ke Paras RM1.92, Bakal Dikeluarkan Dari Senarai Bursa Malaysia

Kejatuhan harga saham Felda Global Venture (FGV) yang kini hanya tinggal RM2.02 sesaham pada 25 Mei 2015 (RM1.92 pada hari semalam 27 Mei 2015 5.01 ptg -GB) menyebabkan enam pemegang saham utamanya mengalami kerugian hampir RM5.4 bilion.

Penasihat Ekonomi Persatuan Anak Peneroka Felda Kebangsaan (Anak) Dr. Rosli Yaakop berkata, keenam-enam pemegang utama saham FGV memegang saham lima hingga lapan peratus yang disifatkan satu jumlah yang agak besar.

Enam pemegang tersebut adalah Lembaga Tabung Haji, KWSP, Kumpulan Wang Persaraan, Felda Badan Berkanun, Felda Asset Holding Company SB dan Kerajaan Negeri Pahang.

Menurut Rosli, keenam-enam pemegang saham terbabit membeli saham pada 25 April 2013 pada harga RM4.55 berjumlah RM9.6 bilion dan nilai saham ini pada 25 Mei lalu telah merundum kepada RM4.3 bilion.

Felda Badan Berkanun mengalami kerugian sebanyak RM1.84 bilion, Felda Aseet Holding Company SB rugi sebanyak RM1.26 bilion, Lembaga TH rugi RM717.7 juta, KWSP pula rugi RM527.7 juta, Kumpulan Wang Persaraan rugi sebanyak RM546.2 juta dan Kerajaan Negeri Pahang menanggung rugi RM461.5 juta.

"Keenam-enam pemegang ini memegang kira-kira 2/3 daripada jumlah saham FGV yang diurus niaga di Bursa Saham Malaysia. 


Keadaan ini umpama pemilikan yang tidak sihat bagi mana-mana pasaran saham apabila saham merundum pemegang akan kerugian, Hanya dalam masa dua tahun kerugian yang begitu besar," katanya kepada Harakahdaily.

Berdasarkan semakan saham FGV pada jam 11 pagi hari ini harga saham itu terus turun kepada RM1.92 sesaham.

Yang menjadi kebimbangan, katanya, prospek harga saham FGV akan kekal rendah dalam tempoh dua hingga enam tahun dan jauh sekali untuk mencapai nilai saham RM4 hingga RM5 sesaham.

Ini kerana katanya, beberapa faktor penting akan menekan harga saham FGV iaitu harga minyak sawit rendah, kos pengurusan FGV agak tinggi, dan hasil buah sawit yang terhad kerana 50% pokok sudah tua.

"Dalam jangka masa pendek ini enam badan dan dana awam terbabit akan terus tanggung kerugian yang besar.

"Kenapa badan ini melabur begitu banyak dalam FGV sedangkan FGV sebuah syarikat perladangan khasnya kelapa sawit. 


Risiko barang-barang sektor pertanian ini sangat tinggi. Kita hairan mengapa syarikat ini sudah tahu risiko tinggi tetapi terus melabur dalam FGV," soal beliau.

Justeru, katanya, Anak menuntut pengurusan badan-badan dana awam ini memberi penjelasan mengenai perkara ini sama ada kepada pendeposit Tabung Haji dan pencarum KWSP.

"Ini adalah perkara yang kita perlu beri perhatian, sepatutnya pemegang saham ini melabur dalam pelaburan yang selamat dan menguntungkan bukannya berisiko tinggi. 


Akhirnya rakyat yang menampung kerugian ini," katanya.

Tiada ulasan:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Artikel Terbaru

 
IdaMan - Blogger Templates, - by Templates para novo blogger Displayed on lasik Singapore eye clinic.