Cari Blog Ini

PAS : Tuduhan Terhadap Golongan Progresif Untuk Mencapai Kedudukan


Tuduhan Anwarinas, agen DAP, alat capai kedudukan, kata Mat Sabu
Bekas timbalan presiden PAS Mohamad Sabu mendakwa hari ini, pelbagai dakwaan yang sering dilemparkan kepada golongan progresif parti itu sebenarnya bagi membolehkan mereka yang berhajat mendapat kedudukan yang diidamkan.

Mohamad yang juga dikenali sebagai Mat Sabu berkata, golongan yang berjaya memenangi pemilihan PAS kali ini, pada hakikatnya mahu berbaik semula dengan DAP.

"Sekarang saya dapat melihat; menggunakan, melabel, menuduh orang itu alat itu, suruhan itu ini, Anwarinas, agen DAP, hanyalah alat untuk mencapai kedudukan.

"(Apabila) sudah mendapat kedudukan, (mereka) cuba cari jalan berbaik semula dengan DAP, Orang yang bersama membina Pakatan Rakyat (PR) dari awal dinyahkan," katanya dalam satu kenyataan lewat petang ini.

Mat Sabu berkata, mereka yang cuba merampas kepimpinan parti kali ini menonjolkan idea baru dan cuba mendedahkan kelemahan serta prestasi penyandang jawatan pada sesi yang lalu.

Beliau mendakwa, golongan yang tidak mempertahankan ulama akan dikumpulkan dan dilabel "jebon" serta anti ulama oleh pihak tersebut.

"Lebih jauh, mereka juga dituduh lebih wala' dan taat kepada pemimpin dari parti lain, sama ada PKR atau DAP.

"Tuduhan itu dicurahkan melalui Majlis Multaqa, Nekad dan tuduhan tidak membela presiden ketika ianya diserang DAP," katanya yang pada pemilihan kali ini gagal mempertahankan jawatannya selepas dikalahkan Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man

Mat Sabu berkata, beliau sering menjadi sasaran utama kerana dituduh tidak mempertahankan presiden dalam krisis menteri besar Selangor tahun lepas dan ketika berdepan DAP.

Katanya, perbuatan kecam mengecam antara pimpinan PAS dan DAP hampir sudah tidak terkawal lagi, apatah lagi apabila pemimpin parti Islam itu kini berhasrat memutuskan hubungan dengan rakan sekutu dalam PR itu dan bersedia untuk 'bersendirian'.

"Kemuncaknya, bila mursyidul am dalam ucapan perasmian muktamar Dewan Ulama pada 3 Jun lalu menegaskan, syarat tahalluf dengan DAP sudah rosak dan tamat.

"Usul muktamar Dewan Ulama diluluskan pada hari yang sama, mendapat sokongan 100% dari perwakilan, supaya PAS putuskan hubungan dengan DAP," katanya.

Beliau berkata, kini semua mereka yang dilabelkan tunduk kepada DAP dan Anwarinas, tewas belaka.

Bagaimanapun, katanya, kedudukan penjawat kerajaan negeri di Pulau Pinang yang paling terkesan apabila muktamar tahunan pada hari terakhir semalam menerima tanpa bahas usul memutuskan hubungan dengan DAP itu.

"Bagaimana pula kedudukan PAS dan anggotanya di Selangor, iaitu (dalam) kerajaan negeri, exco dan jawatan-jawatan berkaitan yang dianggarkan lebih dari 5,000 yang terlibat?" soalnya pula.

Semalam, Pesuruhjaya PAS Selangor Datuk Iskandar Abdul Samad, yang juga salah seorang naib presiden baru berkata, pihaknya akan meneruskan kerja seperti biasa di peringkat negeri dan tidak akan terjejas dengan usul Dewan Ulama itu.

Mat Sabu pula semalam mengumum melepaskan semua jawatannya dalam kerajaan negeri Pulau Pinang sebagai tanda beliau mematuhi keputusan ulama kerana sering dituduh sebaliknya.

The Malaysian Insider


                        Pemimpin PAS tidak mungkin letak jawatan di Selangor

Usul PAS untuk memutuskan hubungan dengan DAP mungkin tidak akan menyebabkan kejatuhan kerajaan Pakatan Rakyat (PR) di Selangor kerana terdapat perbezaan politik yang dinamik di sini berbanding Pulau Pinang, kata penganalisis dan seorang pemimpin DAP.

Tidak seperti di Pulau Pinang, PAS tidak boleh melepaskan jawatan dalam kerajaan Selangor kerana komposisi kerusi di Dewan Undangan Negeri (DUN).

Walaupun kebanyakan pemimpin DAP merasakan PAS perlu mengikut usulnya dan melepaskan jawatan dalam kerajaan Selangor, kejayaan dalam pilihan raya dan kuasa di negeri terkaya itu menyebabkan pemimpin parti Islam itu mengelak daripada membenarkan ia berlaku.

Penganalisis politik Wan Saiful Wan Jan percaya kepimpinan PAS tidak akan mengguna pakai usul itu kerana kemewahan dan kuasa yang mereka akan hilang di Selangor.

Setiausaha Organisasi Kebangsaan DAP Anthony Loke berkata, buat masa ini, keadaan seperti biasa dalam kerajaan Selangor sehingga mereka membuat pendirian rasmi mengenai perkembangan terkini dalam PAS.

Loke berkata, di Selangor, pelantikan semua jawatan rasmi adalah mengikut rundingan berdasarkan kepada kekuatan setiap parti dalam Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor.

PAS dan DAP masing-masing mempunyai 15 kerusi daripada 56 Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) manakala PKR memiliki 13 kerusi.

Pecahan jawatan ini juga melibatkan mereka yang berada dalam jawatankuasa kampung, majlis tempatan, majlis mesyuarat kerajaan negeri, agensi kerajaan dan syarikat berkaitan kerajaan.

Tetapi keadaannya berbeza di Pulau Pinang, di mana PAS hanya mempunyai satu kerusi DUN daripada 40 Adun Pulau Pinang.

"Di Pulau Pinang ia sudah jelas. Ahli PAS dilantik dalam jawatan kerajaan negeri berdasarkan budi bicara ketua menteri," kata Loke kepada The Malaysian Insider.

Di Pulau Pinang, PAS tidak mempunyai jawatan exco tetapi Adun tunggal parti itu, Datuk Salleh Man dilantik untuk mengetuai Majlis Agama Islam Pulau Pinang, atas syor Ketua Menteri Lim Guan Eng. Lim juga setiausaha agung DAP.

Oleh itu, katanya apabila PAS membuat keputusan untuk memutuskan hubungan dengan DAP, maka ahlinya perlu melepaskan jawatan dalam kerajaan Pulau Pinang.

"Perkara yang sama tidak boleh dilakukan di Selangor," katanya.

PAS dalam Muktamar Tahunan ke-61 yang berakhir pada Sabtu lepas, menerima usul tanpa bahas mengenai cadangan memutuskan hubungan parti itu dengan DAP.

Pemimpin PAS, bagaimanapun, menegaskan ia bukan keputusan muktamad parti.

Usul itu dibawa Dewan Ulama PAS, tetapi kata putus sama ada untuk melaksanakannya akan dibuat oleh jawatankuasa pusat parti itu dan Majlis Syura yang dianggotai barisan ustaz.

Serentak dengan berita penerimaan usul berkenaan, Lim mengumumkan bersedia menerima peletakan jawatan wakil PAS dalam kerjaaan Pulau Pinang.

Individu pertama yang berbuat demikian ialah bekas timbalan presiden PAS Mohamad Sabu, yang digulingkan dalam pemilihan parti baru-baru parti.

Pemimpin DAP Selangor pula berkata, kebanyakan ahli berpendapat adalah wajar bagi PAS untuk melakukan perkara yang sama di sini.

"Selangor adalah berbeza berbanding Pulau Pinang, Tetapi kita merasakan jika parti itu membuat keputusan ini pada muktamar mereka, maka semua ahli mereka harus mengikutinya dan bukan hanya berdasarkan kepada keadaan di setiap negeri," kata pemimpin DAP yang enggan namanya disiarkan.

Usul itu susulan kepada keputusan DAP untuk memutuskan hubungan dengan Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang pada Mac lalu dan penentangan terhadap Enakmen Kanun Jenayah Syariah Kelantan atau hudud.

Pemimpin PAS Selangor, bagaimanapun, cuba untuk memujuk ketua mereka untuk tidak meluluskan usul itu.

Pesuruhjaya PAS Selangor Datuk Iskandar Abdul Samad berkata parti itu tidak mempunyai masalah untuk bekerjasama dengan DAP di negeri ini dan memberi amaran pelaksanaan usul itu akan memusnahkan kerajaan PR di Selangor.

Wan Saiful yang juga pengarah eksekutif Institut Demokrasi dan Hal Ehwal Ekonomi (Ideas), percaya kepimpinan tertinggi PAS akan mencari jalan menyelesaikan masalah yang ditimbulkan mereka sendiri.

Katanya, mereka akan mencari jalan untuk bekerjasama dengan PKR dan DAP di Selangor bagi terus mendapat manfaat ketika berada dalam kerajaan negeri.

"Kita akan lihat sama ada mereka akan memilih antara ringgit atau ulama," katanya.

Wan Saiful berkata, seluruh episod ini akan membolehkan ahli PAS dan orang ramai di seluruh negara melihat dan menilai sendiri sama ada ulama Islam yang mengambil alih tampuk kepimpinan PAS mampu menguruskan segala kerumitan yang berlaku dalam parti politik itu ataupun tidak.

Ini kerana PAS sentiasa berpegang ulama Islam perlu mengetuai parti itu, Jadi undi untuk PAS pada asasnya adalah undi kerana pegangan berkenaan dalam kerajaan, kata Wan Saiful.

"Kini orang ramai boleh melihat sama ada mereka boleh mempercayai ulama ataupun tidak untuk mentadbir dengan baik."

The Malaysian Insider


                              'Pembersihan PAS lebih demokratik dari Umno'

[mk]- Pembersihan kumpulan tertentu dalam pemilihan PAS berlaku lebih demokratik berbanding lawannya Umno, yang mencetuskan perpecahan, kata bekas menteri penerangan.

Tan Sri Zainuddin Maidin berkata “walaupun  berimejkan militan dan pelampau”, PAS dapat melumpuhkan  golongan “Anwarinas” seperti menarik benang dalam tepong.

“Malah  pengakhiran tindakan pembersihan ini  berlaku dengan  indah sekali apabila seorang demi seorang Anwarinas di berikan  peluang  berucap,” kata Zainuddin yang juga bekas ketua pengarang Kumpulan Utusan Melayu.

“Seorang mengenang kembali zaman permulaan perjuangannya dalam PAS sambil menangis, seorang lagi mencurahkan perasaan dia disalah mengertikan dan Mat Sabu  membawa lagu irama 'Selama Tinggal Bungaku' dalam seni kata ciptaannya sendiri yang menyayat hati dalam harapan berjumpa lagi.”

Pemilihan PAS Jumaat lalu menyaksikan penyingkiran bersih kumpulan kem Ahmad Awang, pencabar Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang.

Kumpulan yang dikenali dengan komitmen mereka terhadap hubungan dalam Pakatan sering dirujuk media arus perdana sebagai  Anwarinas, sempena nama ketua umum PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim.  

Tiada ulasan:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Artikel Terbaru

 
IdaMan - Blogger Templates, - by Templates para novo blogger Displayed on lasik Singapore eye clinic.