Cari Blog Ini

PAS : Golongan Profesional Bakal Di Pinggirkan !


Pemimpin kalah disaran tolak jawatan lantikan, biar pasukan Hadi kemudi PAS
Datuk Seri Abdul Hadi Awang berjaya mendapat pasukan beliau sepenuhnya dalam pemilihan PAS malam tadi dan pihak yang kalah dicadangkan supaya menolak tawaran jawatan lantikan, kata seorang perwakilan.

Shazni Munir Mohd Ithnin, perwakilan dari Sekijang berkata ini untuk memberikan peluang kepada Hadi dan pasukannya untuk menentukan hala tuju PAS.

"Kita berharap pemimpin yang kalah ini 'sedar diri' dan tidak menerima sebarang pelantikan," kata Shazni yang juga timbalan yang dipertua PAS kawasan Sekijang.

Bekas pemimpin mahasiswa itu berkata, barisan pimpinan yang terpilih membayangkan semua yang tidak senang dengan cara Hadi memimpin PAS disingkirkan.

Apa yang berlaku dalam pemilihan semalam seperti disebut Hadi ketika memberikan ucapan penutup Muktamar PAS ke-60 di Batu Pahat tahun lalu.

"Jika nak jadi imam juga, cari tanah sendiri, buat masjid sendiri dan jadi iman sendiri," kata Hadi ketika memberikan amaran kepada pengkritiknya.

Kini, apa yang dikehendaki presiden PAS itu menjadi realiti. Mereka yang dilihat tidak bersamanya disingkirkan malam tadi.

Hanya seorang saja daripada senarai pasukan profesional progresif kekal dalam pemilihan kali ini iaitu Mazlan Aliman.

Bekas Ahli Jawatankuasa (AJK) PAS Pusat Datuk Dr Mujahid Yusof yang turut kalah dalam pemilihan semalam berkata beliau masih belum pasti akan menerima atau tidak jika ada ditawarkan untuk apa-apa jawatan.

"Saya bimbang kalau-kalau ada tawaran, itu hanya amalan PR saja, Saya nampak besar kemungkinan tidak akan ada tawaran untuk saya.

"Jika ditawarkan jawatan, saya akan berfikir sama ada untuk menerima atau tidak kerana yang menang hari ini adalah atas kehendak pihak tertentu.

"Ini kerana, ketika saya dan kawan-kawan difitnah, apa yang dikesali adalah, pemimpin tertinggi hanya diam seolah-olah mengiakannya," kata Mujahid kepada The Malaysian Insider ketika ditanya apakah beliau akan menyertai semula pasukan pimpinan PAS jika mendapat tawaran.

Mengimbas kembali cara pemilihan yang dibuat malam tadi, Mujahid berkata, para perwakilan mengadu kepadanya mereka diberikan senarai calon yang perlu diundi ketika berbaris untuk mengundi semalam.

"Ada perwakilan mengadu, semasa mereka berbaris, mereka diberikan 'cai' calon yang perlu diundi.

Mereka pula memangkahnya di luar kawasan mengundi sambil berbincang sesama mereka," kata Mujahid ketika dihubungi.

Ahli Parlimen Parit Buntar itu berkata apa yang berlaku dalam PAS sekarang fenomena suram untuk PAS.

"Ia satu fenomena suram dalam PAS selepas sebelum ini kita mendakwa Umno mengundi dengan cara yang sama," kata Mujahid.

Beliau sendiri tidak pasti apakah ia melambangkan kemajuan atau kemunduran untuk PAS dan apa nasib Pakatan Rakyat (PR) selepas ini.

"Saya tidak pasti adakah ia akan memberi kesan kepada kemajuan untuk PAS atau tidak," katanya.

Dalam pemilihan yang diumumkan tengah malam tadi, Hadi menang besar apabila mendapat 928 undi manakala pencabarnya Ahmad Awang hanya mendapat 233 undi.

Timbalan presiden Mohamad Sabu pula tewas di tangan Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man apabila mendapat hanya 278 undi berbanding pencabarnya 881 undi.

Bagi jawatan naib presiden pula, semuanya dibolot pasukan konservatif dengan Idris Ahmad mendapat undi tertinggi iaitu 942, Datuk Iskandar Abdul Samad (801) dan Datuk Mohd Amar Nik Abdullah (778).

Penyandang jawatan Salahuddin Ayub dan Datuk Husam Musa serta bekas Ketua Penerangan PAS Datuk Mahfuz Omar tewas.

The Malaysian Insider


                                  Pemimpin Pas yang tewas kena sedar diri

[sinar]- Perwakilan Pas dari Sekijang, Shazni Munir Mohd Ithnin menggesa agar semua pimpinan yang tewas dalam pemilihan Pas kali ini sedar diri serta tidak menerima sebarang lantikan untuk menyertai kabinet pimpinan parti itu.

Menurutnya, gesaan itu penting supaya Abdul Hadi tidak lagi diganggu dalam membuat sebarang keputusan.

"Sebagai seorang yang berjiwa besar, kita yakin Tuan Guru Presiden akan melantik semula pasukan yang kalah untuk duduk dalam kabinet pimpinan selepas muktamar ini.

Namun demikian, kita benar-benar mengharapkan agar pimpinan-pimpinan yang telah kalah ini 'sedar diri' dan tidak menerima pelantikan tersebut.

"Gesaan ini penting supaya Tuan Guru Presiden tidak lagi diganggu-gugat untuk membuat keputusan-keputusan besar dan penting selepas ini," katanya pada satu kenyataan, hari ini.

Dalam pada itu, beliau berkata, kemenangan geng ulama yang bersama-sama Abdul Hadi bukti perwakilan menolak perbezaan pandangan yang berlaku dalam parti itu.

"Kemenangan besar pasukan yang bersama-sama Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang membuktikan bahawa majoriti perwakilan 'tidak selesa' dengan stail perbezaan pandangan yang diamalkan Pas selama ini.

"Jelas lagi bersuluh bahawa majoriti perwakilan mahu kesemua pimpinan memberikan ketaatan sepenuhnya kepada Presiden parti tanpa mengatakan 'tidak' samada dalam hal pentadbiran dalaman mahupun politik," katanya.

Semalam, Abdul Hadi mengekalkan jawatannya dengan 928 undi menewaskan pencabarnya, Ahmad Awang yang hanya mendapat 233 undi.

Beliau yakin bahawa pemimpin yang menang itu akan mampu mentadbir Pas tanpa penglibatan barisan pimpinan yang tewas.

"Kita yakin dan percaya tokoh-tokoh yang menang ini mampu memimpin Pas tanpa keterlibatan pasukan yang kalah serta sering disinonimkan sebagai 'bermasalah'.

"Pasukan yang kalah ini sebaliknya harus bermuhasabah diri berhubung tindakan-tindakan mereka yang sering berlagak pandai mempersoal langkah politik yang diambil presiden," katanya.

*  PAS : Kumpulan Ulama Sapu Bersih Jawatan Pusat

Tiada ulasan:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Artikel Terbaru

 
IdaMan - Blogger Templates, - by Templates para novo blogger Displayed on lasik Singapore eye clinic.