Cari Blog Ini

Najib Sedia Bincang Dengan PAS, Lapor Akhbar



Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak sedia berbincang dengan PAS selepas golongan ulama berjaya mendominasi kepimpinan parti dalam pemilihan yang diadakan minggu lalu, menurut Berita Harian hari ini.

Najib dilaporkan berkata, PAS membuat keputusan jelas dengan memilih kepimpinan ulama dan diharapkan rundingan 2 parti Melayu itu akan membawa kepada kemaslahatan umat Islam di Malaysia.

"Perwakilan (PAS) membuat keputusan jelas. Mereka memihak kepada calon ulama, Kita berharap kepimpinan ulama akan membawa kepada sesuatu yang positif.

"Umno bersedia untuk mengadakan perbincangan demi kemaslahatan umat Islam," katanya seperti dilaporkan akhbar kawalan Umno itu.

Najib juga menggesa semua pihak agar tidak membuat kesimpulan awal yang rundingan di antara Umno dan PAS ialah bagi mewujudkan kerajaan perpaduan.

"Kita jangan membuat sebarang rumusan spesifik dalam hal ini, Apa yang penting ialah perpaduan umat Islam," beliau dipetik berkata.

Semalam, Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang dilihat antara kumpulan yang bergegas keluar meninggalkan sebuah bangunan di Taman Kinabalu di Kundasang, Sabah selepas satu gegaran kecil berlaku.

Muhyiddin, Ketua Menteri Sabah Tan Sri Musa Aman dan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Datuk Abdul Rahman Dahlan berada di situ bagi mengikuti taklimat operasi menyelamat mangsa gempa bumi yang melanda negeri itu Jumaat lalu.

Bagaimanapun, kehadiran Hadi dan turut kelihatan, Ketua Pemuda PAS Nik Mohd Abduh Nik Abdul Aziz, tidak diketahui umum atas urusan apa.

Hadi ketika menyampaikan ucapan penangguhannya pada hari terakhir Muktamar Tahunan pada Sabtu menyelar pihak tertentu yang memandang negatif pertemuan yang diadakan PAS bersama Umno kerana katanya, pandangan serupa itu bukan pendekatan parti Islam itu.

Katanya, walaupun ada pihak yang mencemburui pertemuan di antara 2 parti itu, beliau menegaskan, parti Melayu itu tidaklah seburuk Firaun yang digambarkan dalam Al-Quran.

- The Malaysian Insider


                              Umno tidak seburuk ‘Firaun’, kata presiden PAS

Datuk Seri Abdul Hadi Awang hari ini menyelar pihak tertentu yang memandang negatif pertemuan yang diadakan PAS bersama Umno kerana katanya, pandangan serupa itu tidak menjadi pendekatan parti Islam itu.

Presiden PAS itu berkata, walaupun ada pihak yang mencemburui pertemuan di antara dua parti itu, beliau menegaskan, parti Melayu itu tidaklah seburuk Firaun yang digambarkan dalam Al-Quran.

“Malangnya ada yang cemburu. Macam isteri yang tak benarkan suaminya ke pasar, tak boleh berjumpa dengan perempuan. Asal jumpa dengan Umno tak boleh, diharamkan. Itu bukan pendekatan kita.

“Dengan bahasa yang dinasihati Allah, berhubunglah, pergi bercakap, walaupun dengan Firaun, Tak kan kita nak cakap Umno setaraf dengan Firaun yang disebut dalam Al-Quran.

"Jangan sampai begitu. Tak boleh bertindak melebihi ajaran Al-Quran, Kita menganggap kaum kita ditenggelam oleh kejahilan, yang memerlukan kita menyelamatkannya,” katanya.

Hadi berkata demikian dalam ucapan penangguhannya pada hari terakhir Muktamar Tahunan PAS ke-61 di Kuala Selangor hari ini.

Katanya, dalam menjalinkan kerjasama politik bersama Pakatan Rakyat (PR), PAS adalah parti yang berdisiplin dan beradab berbanding parti lain yang membawa pelbagai kerenah.

Katanya, senario itu terbukti apabila ada parti dalam PR yang cuba mempersoalkan pendirian PAS, malah ada yang cuba ‘mencuri’ wakil rakyat parti Islam itu.

“Kita mengamalkan tahaluf ini sejak PAS ditubuhkan, Kita menghadapi liku-liku yang mencabar, tahaluf terkini dalam sejarahnya.

“Alhamdulillah PAS menunjukkan ia parti yang berdisiplin dalam bertahaluf, PAS beradab kerana tahaluf sefahaman dalam titik persamaan.

"Masing-masing walau berbeza ideologi tidak ganggu akidah," katanya.

Sebaliknya, katanya, rakan dalam PR ada yang menyentuh perkara yang berkaitan akidah, disiplin, pelaksanaan syariat, isu kepimpinan parti.

"Ini urusan dalam PAS, kita tak kempen pemilihan parti lain, orang tolong kempen pemilihan kita,” kata Hadi.

DAP pada hujung bulan lalu berkata, ia tidak akan berhenti menyoal Hadi walaupun PAS akan melalui pemilihan, sambil menegaskan parti itu tidak pernah masuk campur pemilihan mana-mana parti politik.

Setiausaha agungnya Lim Guan Eng berkata, DAP tidak akan dibisukan oleh pemilihan PAS itu daripada memperkatakan kebenaran.

Katanya, walaupun Hadi mengumumkan beliau "masih bersama PR", pemimpin nombor satu PAS itu perlu menjawab beberapa soalan berhubung tindakannya sepanjang setahun yang lalu.

"Kenapa Hadi memungkiri komitmen PAS kepada Dasar Bersama PR dan jaminan peribadinya kepada pimpinan PR?

"Kenapa Hadi menyatakan sokongan kepada Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak di tengah kemelut skandal RM42 bilion 1Malaysia Development Berhad (1MDB)?

"Kenapa Hadi mahu mewujudkan 'kerajaan perpaduan' bersama Umno?" soal Lim dalam kenyataannya sebelum ini.

The Malaysian Insider


                                       Hadi: Ada orang cemburu hubungan Pas-Umno

[sinar]- Selama menjalinkan kerjasama sama dengan PR, Pas tidak pernah mengkhianati tahaluf siyasi bersama rakan mereka PKR dan DAP.

Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang berkata, parti itu paling berdisiplin dalam menjaga hubungannya dengan rakan PR.

Bagaimanapun, rakan mereka DAP telah menyentuh soal akidah dan kepimpinan Pas sehingga mereka terpaksa bersuara.

"Kita amalkan tahaluf sejak Pas ditubuhkan, kita menghadapi liku-liku yang mencabar.

Alhamdulillah Pas menunjukkan kita parti yang berdisiplin dalam bertahaluf. Pas tidak khianati kawan, Pas beradab dalam tahaluf kerana tahaluf fahaman dalam titik persefahaman.

"Masing-masing berbeza ideologi, tidak ganggu akidah dengan ideologi berbeza dalam titik persamaan kita berbeza pandangan," katanya pada ucapan penangguhan Muktamar Tahunan Pas kali ke - 61, hari ini.

Menurut, beliau titik persamaan itu telah dirosakkan oleh rakan dalam PR sendiri.

"Namun rakan kita menyentuh dan mengaibkan kita yang berkait akidah bukan ideologi, Isu syariat, isu kepimpinan parti ini urusan dalaman Pas kita tidak kempen pemilihan parti orang lain.

"Orang lain tolong kempen pemilihan kita, disiar oleh media kesian rakan-rakan kita yang jadi mangsa," katanya.

Tegas beliau,  tiada seorang pun kepimpinan Pas yang menolak perlaksanaan hukum hudud kerana perkara itu perkara yang di perjuang Pas sejak dahulu.

"Tidak ada lagi pemimpin Pas yang tolak akidah Islam, kalau mereka tolak mereka tak masuk Pas, Tetapi akibat salah laku rakan PR menyebabkan pimpinan kita tercalar.

"Ini bukan silap kita. Kita mencuri ahli, wakil rakyat orang, Ini salah laku termasuk isu penting Islam adalah teras kekuasaan politik negara.

 Ini akidah tapi ada yang memperkecilkan teras akidah perjuangan kita," katanya.

Abdul Hadi dalam ucapannya juga meminta agar semua pimpinan Pas yang baharu atau lama tidak terus hanyut dengan agenda pihak yang mahu memusnahkan usaha Pas selama ini.

Selain itu, turut memberitahu ada pihak yang cemburu akan hubungan Pas dan Umno, Jelas beliau, hubungan yang terjalin adalah berlandaskan syariat bagi tujuan merealisasikan hukum hudud.

"Tetapi ada orang cemburu buta, macam kisah suami isteri,  isteri yang tidak benar suaminya ke pasar sehingga tidak boleh bercakap dengan perempuan lain.

"(Begitu) Pas diharamkan jumpa Umno, tak boleh itu tak boleh," katanya.

Bagi memastikan kepimpinan Pas terus bergerak ke hadapan, beliau berharap agar semua menyokong kepimpinan baharu dipilih.

Katanya,  kemenangan itu adalah atas pertolongan Allah untuk hambaNya menjalankan amanah yang diberikan, "Kemenangan ini adalah bersyarat wajib untuk teguhkan akidah," katanya.

Beliau turut meminta semua ahli Pas menjadikan kisah Nabi Yunus sebagai tauladan yang di tarbiah Allah atas kesilapan yang dilakukan. 

Tiada ulasan:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Artikel Terbaru

 
IdaMan - Blogger Templates, - by Templates para novo blogger Displayed on lasik Singapore eye clinic.