Cari Blog Ini

Menyertai Parti Lain, Kita Tunggu Dan Lihat


Tiada sebab nak masuk parti lain
[sinar]- Khabar angin yang mengatakan bahawa terdapat bekas Ahli Jawatankuasa Pas Pusat yang tewas dalam pemilihan muktamar lalu akan menyertai Persatuan Ummah Sejahtera Malaysia (Pasma) disangkal individu berkenaan.

Antaranya Ahli Parlimen Shah Alam, Khalid Abdul Samad yang berkata, beliau sama sekali tidak pernah terfikir untuk menyertai Pasma buat masa ini.

"Setakat ini tak ada sebab untuk saya fikir masuk ke parti lain, lagipun Pasma itu NGO, kita adalah parti politik.

"Saya nak lihat dulu apa yang pimpinan baru ni nak buat, tentang saya masuk ke parti lain, kita tunggu dan lihat,” katanya ketika ditemui di lobi Parlimen, semalam.

Sementara itu, seorang lagi yang namanya turut disebut akan menyertai NGO itu, Ahli Parlimen Sepang, Hanipa Maidin berkata, beliau tidak berhasrat untuk meninggalkan Pas.

 "Saya bukan apa, saya masih ragu-ragu dengan kredibiliti Pasma untuk menjadi sebuah parti politik, sebab itu saya tidak akan menyertai NGO itu sekiranya mereka bertindak untuk menjadi parti politik,” ujar beliau.

Terdahulu, Presiden Pasma, Datuk Pahrolrazi Mohd Zawawi berkata, pihaknya akan membincangkan sama ada ingin kekal menjadi NGO atau berubah kepada sebuah parti politik Sabtu ini.


                                                         Ahli PAS mula keluar parti ?

[mk]- Khabar angin anggota PAS meletakkan jawatan, kerana meragui hala tuju parti Islam itu selepas kumpulan progresif kalah besar dalam pemilihan minggu lalu, mula tersebar meluas.

Selepas kes dikatakan di Kedah, PAS Sarawak juga dikatakan berdepan keadaan sama.

Setelah dihujankan soalan bertalu-talu,Yang Dipertua PAS Santubong, Andri Zulkarnaen Hamden menjadi pihak pertama tampil menafikan perkara itu.

“Saya telah menerima berbagai pertanyaan secara lisan dan mesej bertalu-talu tentang isu yang berlaku yang menimpa kepimpinan PAS negeri Sarawak baru-baru ini.

“Ingin saya tegaskan di sini bahawa semua spekulasi yang disebut itu hanyalah khabar-khabar angin yang sudah di rencah perisa,” katanya.

Khabar angin itu bermula beberapa hari lalu walaupun identiti pemimpin negeri yang dikatakan akan keluar PAS itu tidak dinyatakan.

Seorang bekas pemimpin kanan PAS sebelum ini memberitahu Malaysiakini, individu itu telah menyerahkan borang keluar parti kepada pejabat agung parti itu di Kuala Lumpur.

Dalam kenyataannya hari ini Andri Zulkarnaen meminta agar sebarang spekulasi berhubung perkara itu dihentikan segera kerana ia boleh menjejaskan persiapan menghadapi pilihan raya negeri yang akan diadakan bila-bila masa.

“Saya memohon serta merayu kepada semua sahabat terutama sahabat dari semenanjung dan di mana jua berada agar membantu kami mencapai impian melahirkan anak sulung ADUN PAS di Sarawak,” katanya.

PAS belum pernah memenangi sebarang kerusi di Bumi Kenyalang.



                                     Pas umum lantikan AJK baharu 21 Jun

[sinar]- Pas akan mengumumkan pelantikan Ahli Jawatankuasa Pusat baharu serta biro-biro parti pada 21Jun depan.

Perkara berkenaan disahkan oleh Timbalan Presiden Pas, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man selepas mesyuarat pertama Jawatankuasa Pusat Pas.

"Malam ini adalah mesyuarat pertama untuk mengesahkan beberapa cadangan seperti jawatankuasa tambahan dan lantikan lajnah, Perkara-perkara lain kita tidak bincang.

"Bagi lantikan baharu, dalam peruntukan ada enam tambahan jawatan yang akan diumumkan kemudian," katanya.

Ditanya adakah ahli Pas yang kalah sewaktu pemilihan muktamar lalu akan dilantik semula, Tuan Ibrahim berkata, kebiasaannya pihak berkenaan akan dilantik semula menduduki beberapa jawatan.

"Ini prosedur biasa dan kita akan isytiharkan pada 21 ini," katanya.

Ditanya lagi mengapakah pengumuman ahli tersebut mengambil masa yang lama, beliau berkata, itu adalah prosedur biasa.

Diasak lagi dengan pertanyaan mengapakah tidak ada perbincangan mengenai isu memutuskan hubungan dengan DAP pada mesyuarat tersebut, beliau berkata, perkara berkenaan diserahkan kepada Majlis Syura Ulama Pas.

"Usul itu hanya usul muktamar dan akan diserahkan kepada Majlis Syura Ulama Pas, Mesyuarat itu saya tidak tahu bila," katanya.

Sementara itu menjawab mengenai kenyataan Pengerusi DAP Selangor, Tony Pua yang mengatakan keberadaan Pas dalam kerajaan Negeri Selangor adalah sesuatu yang pelik selepas memutuskan hubungan dengan DAP, Tuan Ibrahim berkata, Pas masih dalam PR.

"Ia bukan sesuatu yang pelik...Kita (Pas) masih sebahagian dari PR, Kerajaan selangor adalah kerajan PR, "Kita masih lagi bekerjasama dengan baik di Selangor," jelasnya. 

Tiada ulasan:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Artikel Terbaru

 
IdaMan - Blogger Templates, - by Templates para novo blogger Displayed on lasik Singapore eye clinic.