Cari Blog Ini

Memutuskan Hubungan Dengan DAP : Terbongkar....Lulus Usul Tanpa Bahas Arahan Presiden PAS



[sinar]- Keputusan untuk meluluskan usul memutuskan hubungan dengan DAP tanpa bahas dibuat oleh Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang.

Bekas pengerusi jawatankuasa usul muktamar Pas, Datuk Mahfuz Omar berkata, Abdul Hadi telah mengarahkannya untuk berbuat demikian dalam mesyuarat pada hari kedua muktamar, minggu lalu.

Katanya, selain Abdul Hadi, mesyuarat itu turut dihadiri Mursyidul Am Pas, Datuk Dr Haron Din, Timbalan Presiden, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man, bekas Timbalan Presiden, Mohamad Sabu dan bekas Setiausaha Agung, Datuk Mustafa Ali.

"Asalnya usul yang dibawa Dewan Ulama itu memang untuk dibahas.

Tetapi pada hari kedua muktamar, presiden dan mursyidul am, timbalan presiden yang baharu, timbalan presiden yang lama dan setiausaha agung panggil saya dan meminta usul itu dijadikan usul tanpa bahas.

"Dalam mesyuarat itu, saya telah sebutkan mengenai implikasi sekiranya usul itu dibahas atau tidak dibahas, Tetapi semuanya mahu usul itu dilulus tanpa dibahas, jadi saya ikut arahan saja," katanya ketika ditemui di lobi Parlimen, hari ini.

Mengulas lanjut, beliau berkata, meskipun usul itu telah diarahkan untuk dilulus tanpa dibahaskan, muktamar masih mempunyai kuasa untuk mengubah keputusan itu.

"Dalam muktamar, ahli Majlis Syura Ulama juga merupakan sebahagian perwakilan, Jika mereka mahu usul itu dibahaskan, mereka boleh buat begitu kerana kuasa muktamar kuat.

"Mereka boleh cadangkan kepada pengerusi tetap dan kalau majoriti bangun sokong, saya percaya usul itu boleh dibahaskan," katanya.

Sehubungan itu, katanya, Pas tidak perlu mengadakan satu muktamar khas untuk membincangkan semula usul berkenaan.

"Bagi saya muktamar khas tidak perlu kalau itu sudah diputuskan. Sepatutnya semua pihak harus peka pada hari muktamar," katanya.


                                   Kuasa mutlak ada pada Majlis Syura Ulama

Usul memutuskan hubungan dengan DAP yang dibawa dalam muktamar Pas lalu, belum muktamad selagi tiada kata putus daripada Majlis Syura Ulama.

Peguam Pas, Wan Rohimi Wan Daud berkata, perlembagaan parti menunjukkan Majlis Syura adalah badan tertinggi yang boleh memberi kata putus dalam soal tahaluf siyasi.

Menurutnya, kenyataan dikeluarkan beberapa pemimpin Pas sebelum ini mengecewakan apabila konsep perlembagaan parti masih belum difahami walaupun sudah berpuluh tahun berada dalam parti itu.

“Malangnya segelintir bekas pimpinan Pas yang berpuluh tahun bernaung di bawah Perlembagaan Pas, tidak mampu menghayati roh dan semangat kepimpinan ulama sebagai benteng akhir untuk mempertahankan Hukum Tertinggi Pas sebagaimana Fasal 7,” katanya dalam satu kenyataan, semalam.

Katanya, rasional di sebalik pembentangan usul di Dewan Ulama Pas Pusat yang kemudiannya dilulus tanpa bahas, hanya sebagai pencetus peringkat akar umbi, dalam keadaan sudah mengetahui hal tahaluf siyasi adalah di bawah bidan gkuasa Majlis Syura.

Rohimi juga tidak bersetuju dengan kenyataan bekas bendahari Pas, Asmuni Awi yang mengatakan Pas perlu bermuktamar semula jika tidak mahu kedudukan wakil parti dalam Kerajaan Pulau Pinang dan Selangor terjejas atau dibelenggu kekeliruan.

Mengenai struktur badan dalam Pas dan kedudukan Majlis Syura, beliau menekan intipati Fasal 7(1) dan (3) Perlembagaan Pas bagi memahami secara ringkas kedudukan badan-badan dalam organisasi itu.

Dari segi perlembagaan dan organisasi, Pas adalah parti unik, tidak sama dengan parti-parti lain.

Mempunyai tiga sayap dan satu Jawatankuasa Induk yang memenuhi kerangka demokrasi, iaitu dipilih melalui Muktamar bagi setiap 2 tahun iaitu  Jawatankuasa Kerja Pas Pusat, Dewan Ulama Pas Pusat, Dewan Pemuda Pas Pusat dan Dewan Muslimat Pas Pusat.

Menurut Rohimi, daripada tiga dewan dan Jawatankuasa Kerja Pas Pusat, Pas mempunyai satu entiti amat istimewa, paling tinggi hierarki dalam parti iaitu Majlis Syura Ulama.

Katanya, keahlian Majlis Syura Ulama tidak dipilih melalui Muktamar, tetapi dilantik untuk tempoh maksimum selama lima tahun, terdiri daripada seorang mursyidul am, seorang timbalan mursyidul am, seorang setiausaha dan tidak lebih 14 ahli Majlis Syura Ulama (rujuk Fasal 8(2) Perlembagaan Pas).

Fasal 8(3) pula, memperihalkan syarat-syarat keahlian Majlis Syura yang dilantik, iaitu hendaklah seseorang yang tahu masalah pokok (al-Usul) dalam syariat Islam dan hukum-hukumnya atau dapat merujuk masalah-masalah itu kepada al-Quran, As-Sunnah, Ijmak dan Qias.

“Parti adalah gerakan dakwah menumpang teduh di bawah kerangka demokrasi. Majlis Syura Ulama menjadi benteng yang memastikan matlamat hukum dan kekuasaan di bawah Fasal 7 (1) dipertahankan iaitu hukum tertinggi dalam pegangan Pas adalah Kitabullah dan Sunnah Rasul serta Ijmak Ulama dan Qias,” katanya.

Jelasnya, apa saja melibatkan hukum dan pematuhan syarie termasuk soal tahaluf siyasi adalah subjek dalam bidang kuasa Majlis Syura.

Meneliti kertas kerja tahaluf siyasi dibuat Majlis Syura sebelum memutuskan keharusan membentuk tahaluf siyasi dengan bukan Islam, khususnya dengan DAP pelbagai pendapat dan dalil dijadikan panduan yang mengharuskan dengan syarat.

Sehubungan itu, berdasarkan penelitian dalil-dalil isu tahaluf siyasi, enam perkara penting dijadikan garis sempadan iaitu :-

1. Tahaluf dijadikan wasilah perkukuh kedudukan umat serta membuka ruang perlaksanaan Islam.

2. Tahaluf mesti dipastikan dasar-dasar Islam dapat dipertahankan.

3. Intima' hendaklah diberikan kepada kepimpinan Pas, bukan kepada pakatan tahaluf.

4. Tahaluf dijadikan ruang menyampaikan dakwah.

5. Matlamat kemenangan Islam tidak boleh menghalalkan tahaluf secara mutlak.

6. Majlis Syura Ulama berkuasa membuat keputusan mengenai kesinambungan tahaluf siyasi berdasarkan maslahah dari semasa ke semasa.

Mengenai usul di Dewan Ulama Pas Pusat, beliau jelaskan perenggan akhir menyebut ‘Maka Muktamar Dewan Ulamak Pas kali ke-54 mencadangkan Majlis Syura Ulama dan Jawatankuasa Pas Pusat supaya hubungan kerjasama politik dengan DAP dibatalkan dan Pas terus kekal dalam PR'.

“Usul ini kemudian, ditaip semula Jawatankuasa Usul, dan dibentang dan diluluskan tanpa bahas oleh Muktamar Pusat.

Untuk meringkaskannya, saya terbitkan bahagian akhir usul berkenaan sebagaimana berikut, 'Pas Pusat dan Majlis Syura Ulama hendaklah memutuskan dan kerjasama politik dengan DAP, sebaliknya kekal bersama PKR dalam PR'.

“Apa yang jelas, kedua-dua usul mempunyai matlamat yang sama iaitu menggesa, mendesak atau menuntut Jawatankuasa Kerja Pas Pusat dan Dewan Ulama Pas Pusat supaya memutuskan kerjasama politik dengan DAP dan kekal bersama PKR dalam PR,” katanya.

Namun pada hakikatnya, kedua-dua Muktamar Dewan Ulama Pas Pusat dan Muktamar Pusat melalui usul berkenaan, mendesak  Jawatankuasa Kerja Pas Pusat dan Majlis Syura Ulama menyemak semula dan menilai kembali kerjasama politik dengan DAP.

“Maknanya, keputusan akhir bagi kerjasama politik ini hendaklah ditentukan oleh Jawatankuasa Kerja Pas Pusat dan Majlis Syura Ulama,” katanya.

Umno Gembira Keputusan Pemilihan PAS, Ada Sesuatu Akan Berlaku - Mat Sabu
* Kalau Nik Aziz Masih Ada, PAS Mungkin Tak Putus Hubungan Dengan DAP
* Perwakilann Bantah Putus Hubungan Dengan DAP

Tiada ulasan:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Artikel Terbaru

 
IdaMan - Blogger Templates, - by Templates para novo blogger Displayed on lasik Singapore eye clinic.