Cari Blog Ini

Memutuskan Hubungan Dengan DAP : Mat Sabu Terpaksa Lepas Jawatan Di Pulau Pinang


Mohamad Sabu
Mat Sabu lepas jawatan di Pulau Pinang
Bekas Timbalan Presiden Pas, Mohamad Sabu‎ hari ini memutuskan untuk melepaskan jawatannya sebagai Lembaga Pengarah bekalan air Pulau Pinang dan Penang International Halal Hub (PIHH).
  
Beliau yang lebih dikenali 'Mat Sabu' berkata, keputusan itu dibuat berikutan keputusan Muktamar Tahunan Pas Pusat kali ke-61 menerima usul Dewan Ulama tanpa perbahasan iaitu memutuskan hubungan dengan DAP, meskipun kekal dalam PR.
  
"Saya mulakan (peletakan jawatan) ini dan mungkin boleh diikuti rakan-rakan di Selangor. Kita (Pas) akan kuat bila berseorangan," katanya yang dilihat penuh dengan nada merajuk dan sinis pada sesi penggulungan di hari terakhir Muktamar kali ke-61, di sini hari ini.
  
Mat Sabu yang dilihat pemerhati politik sebagai pro-DAP, gagal mempertahankan jawatannya pada pemilihan Pas Khamis lalu selepas tewas kepada Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man.
  
Terdahulu, Pengerusi Jawatankuasa Usul, Datuk Mahfuz Omar memaklumkan usul Dewan Ulama itu tidak akan dibahaskan hari ini kerana ia (usul) sensitif dan perlu diputuskan oleh pimpinan Pas.
  
Mahfuz yang juga Ketua Penerangan Pas berkata, usul berkenaan perlu dibincangkan di peringkat pimpinan kerana dibimbangi ia akan menjejaskan kedudukan parti itu di Pulau Pinang dan Selangor.
  
Semalam, Tuan Ibrahim ketika dihubungi Bernama mengesahkan usul berkenaan akan dikaji di peringkat Majlis Syura dan Jawatankuasa Kerja Pas Pusat.

- Bernama


                           Tiada pilihan, letak jawatan dalam kerajaan negeri

[sinar]- Peletakan jawatan wakil Pas dalam kerajaan negeri tidak akan memberi sebarang impak terhadap PR di Pulau Pinang.

Malah kestabilan, kesinambungan dan kredibiliti kerajaan negeri tidak sedikit terjejas tanpa wakil Pas.

Ketua Menteri, Lim Guan Eng berkata, DAP dan PKR masih menikmati majoriti selesa 2/3 dengan 29 dari 40 kerusi walaupun tanpa Adun tunggal Pas.

Menurutnya, peletakan jawatan wakil Pas dalam kerajaan negeri tidak dapat dielakkan berikutan keputusan Muktamar Pas semalam menerima usul Dewan Ulama tanpa perbahasan bagi memutuskan hubungan dengan DAP meskipun kekal dalam PR.

Beliau berkata, peletakan jawatan yang dijangkakan dari wakil Pas dalam kerajaan negeri akan diterima dengan segera tanpa soalan kerana tiada sebarang impak terhadap kestabilan kerajaan negeri.

"Walaupun tiada perdebatan dibenarkan bagi usul itu namun kepimpinan Pas yang baharu berhak mengemudi parti dengan cara yang difikirkan wajar sama ada melalui demokrasi atau autokrasi.

"Saya tidak akan mengulas tetapi menyerahkan kepada Pas untuk menjawab kedudukan kontradik mereka apabila memutuskan hubungan dengan DAP tetapi masih kekal dalam PR yang terdiri dari DAP, PKR dan Pas," katanya dalam kenyataan media di sini semalam.

Menurutnya, PR berfungsi atas konsensus semua parti dan tiada satu parti pun boleh membuat keputusan bagi pihak PR.

Guan Eng berkata, disebabkan Pas mahu memutuskan hubungan dengan DAP, wakilnya tidak mempunyai pilihan kecuali meletak jawatan dalam kerajaan negeri termasuk agensinya, majlis perbandaran dan jawatankuasa kemajuan dan keselamatan komuniti (JKKK).

"Walaupun sebelum ini hubungan saya mesra dan baik dengan kebanyakan wakil Pas, saya faham bahawa mereka perlu meletakkan jawatan atas sebab-sebab etika dan moral.

"Adalah suatu yang tidak dapat dipertahankan dari segi politik bagi mereka untuk kekal dalam kerajaan negeri yang diketuai saya atas kapasiti sebagai Setiausaha Agung DAP apabila Muktamar Pas memutuskan hubungan dengan DAP," katanya.

                   

                   

Tiada ulasan:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Artikel Terbaru

 
IdaMan - Blogger Templates, - by Templates para novo blogger Displayed on lasik Singapore eye clinic.