Cari Blog Ini

Mat Sabu Bukan Sindir Haji Hadi, Kata Pemimpin PAS


           Mat Sabu tekan kerjasama dalam parti, bukan kritik Hadi, tegas Khalid

Selepas Naib Presiden PAS Salahuddin Ayub mempertahankan ucapan Mohamad Sabu Jumaat lalu, Ahli Jawatankuasa PAS Pusat Khalid Abdul Samad pula tampil melakukan perkara yang sama, lapor Sinar Harian hari ini.

Khalid berkata, ucapan timbalan presiden parti yang lebih dikenali sebagai Mat Sabu itu, merupakan satu penegasan mengenai pentingnya kerjasama antara parti dalam Pakatan Rakyat (PR) sekiranya mahu menang.

Ia bukan satu kritikan, katanya yang sependapat dengan kenyataan yang dibuat Mat Sabu itu, yang selama ini PAS tidak boleh menang apabila bersendirian.

"Oleh itu, saya tidak lihat itu sebagai satu kritikan, tetapi sebagai menegaskan perlunya kerjasama di antara parti.

"Apa yang Mohamad tekankan ialah kerjasama dengan PR kalau mahu menang," katanya kepada akhbar itu.

Ahli Parlimen Shah Alam itu juga menegaskan, Mat Sabu pada ucapannya itu sebaliknya memuji Datuk Seri Abdul Hadi Awang yang hebat dari segi ceramah, walaupun masih tidak mampu membawa kemenangan tanpa kerjasama dalam parti.

"Kelantan menang pun dengan kerjasama dengan Semangat 46. Manakala PAS menang di Terengganu dengan kerjasama PKR.

"PAS tidak cukup kuat seorang diri walaupun dengan pemimpin hebat macam Hadi," katanya mengulas ucapan yang dibuat Mat Sabu di Tumpat, Kelantan pada satu ceramah isu semasa.

Mat Sabu dilaporkan dalam ucapannya mempertikaikan kegagalan Hadi menawan Terengganu, selain menyindir tindakan presiden PAS itu yang mahu keluar PR.

"Pidatonya (Hadi) begitu hebat, ceramahnya, kuliahnya, Rusila, kereta parking berbatu, jadi macam pekan sehari bila Tok Guru Hadi beri kuliah, tapi bila pilihan raya umum (tetap) tak boleh ambil Terengganu (daripada BN).

"(Sehinggalah pada) tahun 1999 kita berpakat dengan PKR, dapatlah kita memerintah Terengganu.

 Ertinya, kita ambil Terengganu pun melalui pakatan. Bagaimana nak kuasa? Kita kena berpakat," katanya pada ceramah itu.

Turut hadir ketika itu ialah Ahmad Awang yang akan menentang Hadi bagi jawatan presiden pada pemilihan PAS nanti.

Hadi sebelum ini dilaporkan berkata, beliau akan membawa PAS keluar daripada PR jika DAP mencetuskan provokasi ke atas parti itu selepas tidak bersetuju dengan usaha parti Islam itu melaksanakan hudud di Kelantan.

- The Malaysian Insider


                         Mat Sabu bukan sindir Hadi, kata naib presiden PAS

Naib Presiden PAS Salahuddin Ayub menyarankan orang ramai memahami keseluruhan ucapan Mohamad Sabu pada satu ceramah di Tumpat malam Jumaat lalu sebelum membuat kesimpulan, lapor Sinar Harian.

Beliau berkata, kelantangan ucapan timbalan presiden PAS itu mengenai kepimpinan Datuk Seri Abdul Hadi Awang bukan sesuatu yang berbentuk sindiran atau memperlekehkan kredibiliti presiden parti itu.

Menurut Salahuddin, Mohamad atau lebih dikenali Mat Sabu, dalam ucapannya itu meletakkan satu konteks yang mana apabila PAS bersama dengan gabungan politik, barulah parti itu dapat memperluaskan wilayah dan pengaruhnya.

"Apabila buat satu kesimpulan mengenai isu yang dibawa seseorang dalam ceramah, kita harus baca keseluruhan ucapan.

Kadang-kadang kita bercakap untuk memberitahu tentang satu gambaran atau senario politik yang besar, dengan memberi satu contoh beberapa individu.

"Mohamad bercakap tentang PAS boleh luaskan wilayah apabila kita berada dalam kesepakatan politik," katanya kepada Sinar Harian.

Mengulas lanjut perkara itu,Salahuddin berkata, PAS boleh menawan Kelantan apabila PAS bersama Angkatan Perpaduan Ummah pada era 80-an, begitu juga dengan Terengganu apabila bersama Barisan Alternatif.

"Kemudian, sekarang ini PAS boleh menang di Johor dan kita ada kerusi di Pantai Barat, apabila bersama atas nama Pakatan Rakyat (PR)," beliau dipetik berkata akhbar itu.

Pada masa sama, beliau turut menegaskan, ucapan Mat Sabu itu bukan satu sindiran sekiranya seseorang itu membaca atau melihat keseluruhan ucapan itu.

Sebelum ini dilaporkan, Mat Sabu mempertikaikan kegagalan Hadi menawan Terengganu, selain menyindir tindakan presiden PAS itu yang mahu keluar PR.

"Pidatonya (Hadi) begitu hebat. Ceramahnya, kuliahnya, Rusila, kereta parking berbatu, jadi macam pekan sehari bila Tok Guru Hadi beri kuliah.

Tapi bila pilihan raya umum, (tetap) tak boleh ambil Terengganu (daripada Barisan Nasional).

"(Sehinggalah pada) tahun 1999 kita berpakat dengan PKR, dapatlah kita memerintah Terengganu. Ertinya kita ambil Terengganu pun melalui pakatan. Bagaimana nak kuasa? Kita kena berpakat," katanya pada ceramah isu semasa PAS di Tumpat, Kelantan Jumaat lalu.

Turut hadir pada ceramah itu ialah Ahmad Awang yang akan menentang Hadi bagi jawatan presiden pada pemilihan PAS nanti.

Hadi sebelum ini dilaporkan berkata, beliau akan membawa PAS keluar daripada PR jika DAP mencetuskan provokasi ke atas parti itu selepas tidak bersetuju dengan usaha parti Islam itu melaksanakan hudud di Kelantan.

The Malaysian Insider

Tiada ulasan:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Artikel Terbaru

 
IdaMan - Blogger Templates, - by Templates para novo blogger Displayed on lasik Singapore eye clinic.