Cari Blog Ini

Kementerian Tiada Kuasa Paksa Telco Serap GST Kata Menteri


Kementerian tiada kuasa paksa telco serap GST
Kementerian Komunikasi dan Multimedia (KKMM) tidak mempunyai kuasa untuk memaksa syarikat-syarikat telekomunikasi menyerap Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) dalam perkhidmatan kad prabayar telefon, persidangan Dewan Rakyat diberitahu.

Menterinya Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek berkata tiada sebarang peruntukan undang-undang yang membolehkan kementerian mengambil tindakan terhadap syarikat berkenaan kerana tidak menyerap GST.

"Kalau ada undang-undang memaksa (menyerap GST) boleh, tetapi  itu bukan dalam kapasiti saya untuk memaksa mana-mana syarikat menyerap GST," katanya ketika menggulung perbahasan usul Rancangan Malaysia Ke-11 (RMK11) di  Dewan Rakyat hari ini.

Beberapa ahli Parlimen termasuk Sim Tze Tzin (PKR-Bayan Baru); Dr Lee Boon Chye (PKR-Gopeng) dan Datuk Seri Noh Omar (BN-Tanjong Karang) sebelum itu mendesak kementerian menggunakan kuasanya untuk memastikan syarikat telekomunikasi menyerap GST bagi mengurangkan beban pengguna.

Menolak dakwaan kementerian lebih mempertahankan syarikat telekomunikasi berbanding rakyat dalam isu itu, Ahmad Shabery sebaliknya berkata kementerian hanya boleh melakukan apa yang berada di bawah bidang kuasanya termasuk memastikan rakyat memperoleh perkhidmatan terbaik selari dengan perkembangan  teknologi pada masa ini.

"Saya boleh paksa syarikat telekomunikasi melabur bina menara telekomunikasi untuk pastikan setiap rakyat dapat kemudahan, itu di bawah kuasa kementerian ...(jika) tak boleh, kami (kementerian) boleh denda.

"Ini untuk memastikan perkhidmatan yang baik, apa guna kita beli kad (prabayar) murah kalau perkhidmatan tidak baik," katanya.

Dalam pada itu, Ahmad Shabery berkata kerajaan tidak bercadang mengawal harga perkhidmatan telekomunikasi kerana sektor itu merupakan antara  industri yang sentiasa menawarkan harga yang kompetitif.

"Satu masa nanti panggilan mungkin percuma, khidmat pesanan ringkas boleh percuma kerana ada aplikasi WhatsApp, mereka (syarikat  telekomunikasi) terpaksa bersaing, tetapi nak mengenakan 'floor price'  kita rasa tidak bijak sekarang ini kerana mereka mungkin boleh mengenakan harga yang lebih murah lagi," katanya.

Selain itu, Ahmad Shabery berkata kedudukan kebebasan media bukan merupakan asas yang penting dalam menjadi sebuah negara maju.

Beliau berkata kebebasan media yang keterlaluan boleh mengundang perbuatan tidak diingini sekaligus menjejaskan keharmonian negara.

"Nak menjadi negara yang ranking kebebasan media seperti Sweden, Denmark dan Perancis, apakah sampai tahap ingin kebebasan kita sampai orang buat hina nabi, buat kartun, jika itu hasratnya, kami (kerajaan) tidak bersetuju," katanya.

- Bernama

Tiada ulasan:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Artikel Terbaru

 
IdaMan - Blogger Templates, - by Templates para novo blogger Displayed on lasik Singapore eye clinic.