Cari Blog Ini

Kastam Kutip Hasil GST Lebih RM6 Bilion Dari 1 April Lepas Sehingga Semalam


[gambar fail]
Jabatan Kastam Diraja Malaysia mencatatkan kutipan hasil lebih RM6 bilion melalui Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) sejak sistem percukaian itu dilaksanakan pada 1 April lepas sehingga semalam.

Timbalan Ketua Pengarah (Penguatkuasaan dan Pematuhan), Datuk Matrang Suhaili berkata daripada jumlah tersebut RM3.37 bilion melibatkan kutipan GST import manakala selebihnya merupakan kutipan GST tempatan.

Beliau berkata kutipan GST itu merupakan sebahagian daripada kutipan hasil keseluruhan jabatan tersebut sebanyak RM20.7 bilion dari seluruh negara sejak Januari lepas sehingga semalam.

"Kita optimis sasaran kutipan keseluruhan RM45.44 bilion tahun ini, di mana RM23.7 bilion daripada GST, dapat dicapai kerana lebih 300,000 peniaga yang berdaftar di bawah sistem GST akan menghantar penyata GST selewat-lewatnya pada 15 Jun ini.

"Berdasarkan prestasi kutipan diperoleh setakat ini kemungkinan jumlah keseluruhan kutipan hasil boleh melebihi RM50 bilion," katanya kepada pemberita selepas merasmikan majlis penutup Kursus Asas Pembantu Penguasa Kastam Gred W17 Siri 1/2015 di sini, hari ini.

Pada majlis itu seramai 191 Pembantu Penguasa Kastam Gred W17 berjaya menamatkan kursus asas berkenaan bermula 27 Mei lepas.

Dalam perkembangan lain, Matrang berkata pembangunan sistem elektronik 'Ubiquitous Customs' (U-Customs), yang akan beroperasi pada 1 Jan tahun depan bagi menggantikan Sistem Maklumat Kastam (SMK), kini telah lebih 75 peratus selesai.

Beliau berkata U-Customs menepati standard antarabangsa dengan pelaksanaannya akan dapat memantapkan fasiliti perdagangan dan prosedur perkastaman secara menyeluruh dalam usaha mengekang aktiviti penyeludupan dan penipuan komersial di negara ini.

"Sistem U-Customs dibangunkan kerana Sistem SMK sedia ada tidak mampu menampung kehendak perdagangan pada masa kini," katanya.  

- Bernama

Tiada ulasan:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Artikel Terbaru

 
IdaMan - Blogger Templates, - by Templates para novo blogger Displayed on lasik Singapore eye clinic.