Cari Blog Ini

Bila Negara Dilanda Musibah, Najib Tiada !


Ahli Parlimen DAP bidas ketiadaan Najib di Sabah [gambar fail]
Seorang wakil rakyat DAP hari ini membidas perdana menteri kerana tidak muncul di Sabah ketika negeri itu kini berada dalam proses gegaran susulan selepas bencana gempa bumi terburuk yang pernah berlaku di negara ini.

Ahli Parlimen Kota Kinabalu Jimmy Wong berkata, rakyat Sabah tertanya-tanya di mana Datuk Seri Najib Razak berada kerana beliau tidak melawat penduduk negeri itu bagi menyatakan sokongannya.

"Kita amat sedih. Pada ketika bencana, perdana menteri langsung tidak mahu datang ke Sabah.

"Apa yang terjadi kepada kamu? Kita sedang dalam proses berduka," katanya pada sidang media di lobi Parlimen hari ini.

Wong yang kelihatan marah itu berkata, Najib tidak perlu terlalu memberi tumpuan kepada bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad, merujuk forum bertema "Nothing2Hide" yang dibatalkan pada saat akhir Jumaat lalu.

Beliau berkata, Najib sebaliknya perlu memberi keutamaan kepada bencana yang berlaku di Sabah, "Kenapa beliau tidak mahu datang ke Sabah? Kita mempunyai kerajaan yang tidur," katanya.

Najib sedang dalam lawatan rasmi selama tiga hari ini di Arab Saudi dan dijangka akan turun padang ke Sabah esok.

Sementara itu Ahli Parlimen Sandakan Steven Wong turut membidas Najib dengan berkata, perdana menteri harus memikirkan pendekatan terbaik untuk menolong pemandu gunung atau "malim gunung" yang kehilangan punca pendapatan ekoran daripada bencana tersebut.

"Memberi penghargaan sahaja tidak mencukupi. Kerajaan mesti memikirkan satu cara untuk menolong mereka yang kehilangan punca pendapatan yang bergantung kepada aktiviti dan sekarang ini ianya ditutup.

"Tanpa adanya mereka sudah tentu akan lebih ramai yang terkorban di Gunung Kinabalu," katanya merujuk kepada kisah beberapa pemandu gunung yang menyelamatkan nyawa pendaki semasa gempa bumi.

Ahli Parlimen Segambut Lim Lip Eng berkata, ini bukan pertama kali Najib "hilang" sewaktu negara berdepan dengan bencana.

Disember tahun lepas, Najib dikecam hebat ekoran tersebarnya gambar menunjukkan beliau sedang bermain golf dengan Presiden Amerika Syarikat Barack Obama ketika negara berdepan dengan banjir terburuk pernah berlaku dalam tempoh 30 tahun.

- The Malaysian Insider


                               Najib lawat kawasan gempa bumi Sabah esok

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak berkata beliau akan meninjau kawasan kejadian gempa bumi yang melanda Sabah, esok.

"Insya-Allah, pagi esok saya akan ke Sabah untuk melihat kawasan kejadian gempa bumi," katanya dalam catatan terbaharu di blog beliau, NajibRazak.com, hari ini.

Menurutnya bantuan kewangan dan perkhidmatan kaunseling turut akan disediakan kepada mereka yang memerlukan.

Najib berkata peruntukan akan disalurkan bagi membaik pulih infrastruktur dan bangunan yang mengalami kerosakan.

Gempa bumi berukuran 5.9 pada skala Richter yang berlaku di Ranau pada 7.15 pagi Jumaat lepas (5 Jun) itu turut dirasai di kawasan lain seperti Tambunan, Tuaran, Kota Kinabalu dan Kota Belud.

Setakat semalam (Ahad), 16 orang disahkan terkorban akibat gempa bumi itu manakala dua lagi mangsa belum ditemui.

Dalam pada itu perdana menteri berkata beliau telah menyampaikan memorandum kepada kerajaan Arab Saudi berhubung jumlah kuota jemaah haji Malaysia.

"Alhamdulillah, lawatan rasmi saya ke Arab Saudi berjalan lancar, Saya telah menyampaikan memorandum kepada kerajaan Arab Saudi berhubung jumlah kuota jemaah haji Malaysia.

"Semoga hubungan baik antara Malaysia dan Arab Saudi akan memudahkan lagi umat Islam di Malaysia ke Tanah Suci bagi menunaikan rukun Islam kelima," katanya.

Perdana menteri dan isteri, Datin Seri Rosmah Mansor sebelum ini melakukan lawatan rasmi 3 hari ke Arab Saudi mulai Sabtu lepas.

- Bernama

Tiada ulasan:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Artikel Terbaru

 
IdaMan - Blogger Templates, - by Templates para novo blogger Displayed on lasik Singapore eye clinic.