Cari Blog Ini

Akhbar Umno Yakin Ahli PAS Sokong Putus Hubungan Dengan DAP


Muktamar Pas

Utusan Malaysia yakin usul tergempar dicadangkan Dewan Ulama agar PAS memutuskan hubungan dengan DAP akan disokong ahli parti Islam itu.

Dalam ruangan "Bisik-bisik Awang Selamat", akhbar milik Umno itu berkata ahli parti Islam itu akan menyokong usul tergempar kerana DAP secara berterusan menyerang Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang.

"Awang yakin teras usul tersebut akan mewarnai muktamar PAS yang bermula hari ini kerana masalah hubungan sesama pakatan pembangkang itu tidak berupaya untuk disorok lagi," tulis Awang Selamat hari ini.

"Tindakan semua 644 perwakilan sebulat suara meluluskan usul tersebut pada muktamar ke-54 dewan itu semalam, cukup mencerminkan betapa seriusnya kepincangan dalam pakatan pembangkang khususnya dalam konteks PAS-DAP, yang dari awal lagi jelas bertentangan asas perjuangan mereka," katanya.

Menurut akhbar Umno itu, Pakatan Rakyat (PR) yang dianggotai PAS, PKR dan DAP akan berpecah tidak lama lagi, "Awang yakin, perkembangan ini jelas menghala kepada kecelaruan lebih serius dalam pakatan pembangkang.

"Tahap saling tidak percaya sesama sendiri makin ketara," katanya.

Semalam Dewan Ulama sebulat suara meluluskan usul tergempar dibawa Ketua Dewan Ulama PAS Pahang Mokhtar Senik untuk membatalkan tahaluf siyasi atau kerjasama politik bersama  DAP.

"Kita beri amaran pada mereka yang menyerang dan ingin mengalihkan perjalanan landasan Islam.

"Kita tidak akan serah kepada kamu parti PAS dan dengan itu kita sekali menyarankan usul memutuskan hubungan dengan DAP namun tetap bersama PKR dan PR," katanya ketika berucap di Muktamar Dewan Ulama di Gombak semalam.

Sejurus selepas Mokhtar membentangkan usul, wakil Perak Noor Azli Musa meminta semua 644 ahli sayap Dewan Ulama yang berada dalam dewan itu bangun sebagai tanda sokongan terhadap usul itu.

- The Malaysian Insider


                           Ulama Pas lulus usul putus hubungan dengan DAP

[sinar]- Dewan Ulama Pas Pusat hari ini sebulat suara meluluskan usul tergempar untuk memutuskan kerjasama politik dengan DAP.

Usul yang dibawa oleh Ketua Dewan Ulama Pas Pahang, Mokhtar Senik disambut dengan laungan 'takbir' oleh semua perwakilan yang hadir pada Muktamar Tahunan Dewan Ulama Pas ke-54, hari ini.

Sejurus usul tersebut dikemukakan, seorang perwakilan dari Dewan Ulama Pas Perak, Nor Azli Musa menyokong usul tersebut susulan serangan bertali-arus pemimpin DAP terhadap peribadi presidennya, Datuk Seri Abdul Hadi Awang.

"Usul kita adalah memutuskan hubungan dengan DAP.. bukan dengan PKR atau PR.. sebab PR bukan DAP, dan DAP tidak semestinya PR.

"Kita sedia maklum bagaimana DAP lantang menggugat kedudukan Pas dan presiden dengan mengisytiharkan memutuskan hubungan dengan presiden kita, yang menjadi ayah kita.

"Apakah kita sebagai anak-anak dalam Pas tiada perasaan? Sanggup menyerahkan Pas dan presidennya dinodai oleh DAP?

Kita sedar bahawa keberaniaan DAP ini bersumberkan kepada sikap sesetengah daripada kita yang tidak wala kepada presiden dan parti," katanya.

Usul berkenaan diterima sebulat suara oleh kesemua 644 perwakilan Dewan Ulama Pas Pusat pada jam 6.50 petang tadi.

Dalam pada itu, Mokhtar juga berkata, Pas turut kesal dengan cara DAP 'menceroboh' urusan parti itu dalam beberapa dasar perjuangannya, terutamanya dalam pelaksanaan hukum hudud di Kelantan.

Malah katanya lagi, sikap campur tangan DAP untuk mempengaruhi ahli Pas dalam pemilihan pimpinan tertinggi parti itu yang baharu agar berpihak kepada mereka amat mengecewakan Pas.

"Mereka cuba mengawal muktamar yang kita adakan sehingga memberi isyarat jika sekiranya mahu Pas kekal dalam PR dan mencapai cita-cita (Putrajaya), maka kita kena kekalkan kepimpinan yang pro-PR dan DAP.

"DAP merasakan Pas adalah liabiliti kepada mereka. Banyak rancangan mereka terhalang sebab Pas kerana kita tidak setuju dengan semua perkara, lebih-lebih lagi yang bertentangan dengan syariat ALLAH.

"... lalu mereka lakukan usaha untuk mensekularkan Pas, tapi kita tidak akan membenarkan dan mengizinkan ia berlaku," tegasnya sambil disokong oleh para perwakilan.

Bagaimanapun sebaik sahaja ia diluluskan, seorang perwakilan Kelantan, Abdul Fatah Mahmud segera bangun dan berpendapat bahawa tiada keperluan untuk mengkaji semula tahaluf siyasi.

"Saya bersetuju dengan cadangan itu tetapi saya cadangkan usul itu supaya dibawa ke Majlis Syura Ulama untuk dibincang dan diputuskan," katanya

Bagaimanapun, Azli bangun semula untuk mempertahankan usul tersebut sambil menegaskan ia tetap akan dibawa kepada Majlis Syura Ulama.

                   

Tiada ulasan:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Artikel Terbaru

 
IdaMan - Blogger Templates, - by Templates para novo blogger Displayed on lasik Singapore eye clinic.