Cari Blog Ini

Zon Larangan Rokok Jejas Perniagaan Restoran - Persatuan Pemilik Kedai Kopi


Zon larangan rokok jejas perniagaan restoran
Kebanyakan pelanggan memilih kawasan terbuka di restoran untuk minum dan lepak, jika dilaksanakan kawasan luar restoran zon larangan merokok pastinya menjejaskan kehadiran pelanggan
[sinar]- Cadangan untuk memperluaskan zon larangan merokok di semua kedai makan dan restoran bukan berhawa dingin di seluruh negara termasuk restoran mamak, kopitiam dan medan selera mendapat reaksi yang kurang menyenangkan daripada persatuan pemilik kedai kopi.

Peraturan yang bakal dilaksanakan oleh Kementerian Kesihatan itu dilihat memberi tamparan hebat bukan sahaja kepada perokok, malah kepada persatuan pemilik kedai kopi yang mahu  ia dilaksanakan secara beransur-ansur, bukan secara drastik.

Presiden Persatuan Pengusaha Kedai Kopi dan Teh Cina Selangor dan Kuala Lumpur, Hang Chin Pheng berkata, cadangan itu disifatkan sebagai tergesa-gesa kepada pengusaha restoran yang pasti akan terjejas dan mengalami kerugian ekoran kekurangan pelanggan.

Menurutnya, langkah drastik itu perlu pertimbangan semula dan menggesa pihak berkuasa supaya membenarkan pemilik premis membuat pemilihan beroperasi sebagai kedai makanan yang dilarang merokok atau tidak.

“Kebanyakan pelanggan memilih kawasan terbuka di restoran untuk minum dan lepak, Sekiranya dilaksanakan kawasan luar restoran sebagai zon larangan merokok pastinya menjejaskan kehadiran pelanggan,” ujarnya.

Katanya, persatuan juga mahu alternatif lain diberikan iaitu premis yang terlibat dibenarkan untuk mempunyai kawasan merokok di bahagian belakang atau di tempat lain.

Beliau berkata, rata-rata pengusaha menyatakan kebimbangan itu dengan menganggarkan penurunan pelanggan sebanyak 40 peratus sekiranya cadangan itu dilaksanakan.

Sehubungan itu, Chin Pheng meminta kementerian mendapatkan pandangan pelbagai pihak yang berkepentingan sebelum perkara itu diputuskan.

Sementara itu, Persatuan Pemborong dan Peruncit Muslim Malaysia (Mawar) mahu cadangan itu dipertimbang semula dengan memberi pilihan lebih adil kepada pelanggan yang merokok.

Timbalan Setiausahanya, Mohd Tareeq berkata, langkah kementerian itu ada kebaikannya, namun bagi pihak pengusaha perniagaan ini akan menjejaskan kedatangan pelanggan sekiranya tiada kawasan merokok disediakan.

“Kawasan merokok perlu disediakan bagi premis makanan mahupun restoran, Kebiasaannya selepas makan, pelanggan akan merokok. Jika cadangan itu dikuatkuasakan, ramai pengusaha restoran mengalami kerugian,” katanya.

Justeru, pengusaha restoran wajar diberikan pilihan untuk menyediakan kawasan merokok kepada pelanggan.

Kementerian Kesihatan dalam satu kenyataan di laman webnya minggu lalu, menyatakan selain kedai makan dan restoran, turut akan mewartakan taman negara dan taman awam sebagai tempat dilarang merokok di Malaysia.

Kementerian Kesihatan berkata, Kaji Selidik Tembakau Audit Global (GATS) yang dijalankan di Malaysia pada 2011, di mana 83.5 peratus responden mahu 100 peratus bebas dari asap rokok di tempat awam.

Bagaimanapun, kementerian itu masih mahu mendapatkan maklum balas orang ramai sama ada perokok dibenarkan untuk merokok di kawasan khas di kedai makan atau langsung tidak dibenarkan berbuat demikian.

Maklum balas mengenai cadangan larangan merokok di semua taman turut dilihat, menurut kenyataan di laman web www.moh.gov.my.

Orang ramai boleh beri pandangan mereka mengenai perkara ini di laman web berkenaan sehingga 19 Mei ini.

Tiada ulasan:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Artikel Terbaru

 
IdaMan - Blogger Templates, - by Templates para novo blogger Displayed on lasik Singapore eye clinic.