Cari Blog Ini

Umno Perlu Mesyuarat Tergempar, Pecat Muhyiddin Atau Najib Undur, Kata Bekas Menteri



Umno perlu segera memanggil mesyuarat tergempar Majlis Kerja Tertinggi (MKT) bagi membincangkan sama ada wajar memecat Timbalan Presiden Tan Sri Muhyiddin Yassin selepas video beliau mengkritik presiden Datuk Seri Najib Razak berhubung kemelut syarikat sarat hutang 1 Malaysia Development Berhad (1MDB) di hadapan pemimpin parti itu tersebar, kata Tan Sri Zainuddin Maidin.

Bekas menteri penerangan itu berkata, sekiranya tiada keputusan diambil untuk memecat Muhyiddin, Umno perlu mencari jalan penyelesaian lain termasuk memaksa Najib sendiri berundur demi memastikan perpaduan parti.

"Mesyuarat tergempar ini  juga perlu diadakan bagi membincangkan sama ada Tan Sri Muhyiddin wajar dipecat daripada MKT seperti yang dilakukan oleh Majlis Kerja Tertinggi Umno terhadap Tun Dr Mahathir Mohamad pada 26 September 1969 selepas Tunku Abdul Rahman mendedahkan ada pihak pelampau hendak merampas kuasa dalam parti.

"Sekiranya Muhyiddin tidak dipecat maka jalan penyelesaian mestilah dicari bagi memastikan  kesepaduan Umno jika salah seorang iaitu  Muhyiddin atau Najib terpaksa berundur," katanya melalui tulisan di blognya zamkata.blogspot.com.

Zainuddin yang juga bekas ketua pengarang kumpulan Utusan Malaysia berkata, MKT juga perlu mengesahkan ikrar taat setia kepada Najib ekoran kenyataan Muhyiddin itu yang sudah menimbulkan keraguan terhadap ikrar di kalangan pemimpin dan ahli Umno.

Katanya, pendirian Muhyiddin jelas menampakkan beliau memihak kepada Dr Mahathir yang enggan menunggu siasatan ketua audit negara sebaliknya mahukan ahli lembaga pengarah 1MDB segera letak jawatan dan disiasat polis.

Katanya, walaupun kenyataan dibuat secara tertutup, tetapi video yang terdedah serentak dengan pengumuman Rancangan Malaysia ke-11 (RMK11) oleh Najib di Dewan Rakyat semalam menjadi viral lebih menarik perhatian rakyat daripada pelan lima tahun pembangunan negara itu.

"Dengan itu Najib tidak lagi dapat mengekalkan keyakinan rakyat dengan dakwaan beliau mendapat sokongan dalam parti dan rakyat berasaskan sokongan MKT dan ketua-ketua bahagian yang dipentaskan.

"Dengan kenyataan Muhyiddin itu membuktikan tidak ada perpaduan dalam parti dalam menghadapi ancaman Dr Mahathir,1MDB ,krisis politik dan ekonomi sekarang," katanya.

Katanya, pendirian Muhyiddin mengenai 1MDB itu tidak boleh diperkecil kerana beliau juga mempunyai pengaruh yang kuat dalam parti sehingga menimbulkan kegemparan dan menggoncang keyakinan dalam Umno dan juga rakyat.

"Muhyiddin tidak lagi dapat berselindung di sebalik sehelai lalang atas sokongannya terhadap Tun Mahathir yang mahukan kekotoran 1MDB dibersihkan sebelum wabaknya menghancurkan Umno dan kerajaan," katanya.

Katanya kenyataan Muhyiddin, Najib tidak mahu dengar cakapnya juga mengesahkan dakwaan Dr Mahathir dan beberapa pihak yang  Najib tidak mahu mendengar nasihat.

"Keraguan rakyat  terhadap kesepaduan  pucuk pimpinan  dan kestabilan parti berkuasa tidak boleh dibiarkan terus berlaku sehingga pilihan raya umum akan datang kerana wabaknya sedang merebak melibatkan kestabilan  ekonomi negara dan juga masa depan Umno," katanya.

Muhyiddin yang juga menteri pendidikan semalam mempertahankan kenyataannya yang tersebar di media sosial, mengatakan perkara itu juga bukan perkara baharu, sebaliknya ia sudah pun dibangkitkan beberapa kali di luar pertemuan tertutup itu.

"Itu pandangan pertemuan tertutup dan kursus politik dibuat oleh Biro Latihan Umno. Itu pandangan saya dan rakan-rakan perhimpunan politik supaya lebih faham.

"Ini bukan suara baru, sudah disuarakan di luar dan kita tentukan penyelesaian tentang perkara yang tersebut," katanya kepada pemberita selepas pembentangan RMK11 di lobi Dewan Rakyat.

- The Malaysian Insider

1MDB : Umno Cheras Sokong Muhyiddin, Tak Sokong Najib !

                    

Tiada ulasan:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Artikel Terbaru

 
IdaMan - Blogger Templates, - by Templates para novo blogger Displayed on lasik Singapore eye clinic.