Cari Blog Ini

"Umno Perlis Mahu Tindakan Drastik Ganti Pemimpin Kerajaan", "Tadbir Urus Kerajaan Perlu Dipandang Berat - Muhyiddin", "Najib Tidak Lagi Dapat Sokongan Rakyat Dan Parti - Bekas Menteri"


Najib tidak lagi dapat sokongan rakyat dan parti, kata bekas menteri
Datuk Seri Najib Razak tidak lagi mendapat sokongan daripada rakyat, terutama partinya sendiri, dan beliau dijangka akan mengakui perkara ini pada mesyuarat Majlis Tertinggi (MT) Umno petang ini, kata bekas Menteri Penerangan Tan Sri Zainuddin Maidin hari ini.

Menulis di dalam blognya, Zainuddin yang lebih dikenali sebagai Zam menyeru rakyat Malaysia memanjatkan doa bersama Tun Dr Mahathir Mohamad yang kini berada di Mekah, agar perdana menteri meletak jawatan.

"Seluruh umat Melayu dan Islam di negara Malaysia tercinta ini, marilah kita bersama-sama menyertai doa mantan perdana menteri Dr Mahathir di tanah suci Mekah agar Allah membuka hati perdana menteri untuk dengan secara bijaksana berundur diri dan meletakkan jawatan pada masa yang sesuai bagi menyelamatkan maruah bangsa, agama dan negara," katanya.

Zam menulis demikian dalam artikelnya bertajuk "Marilah Kita Sertai Doa Tun Mahathir di Mekah Supaya Najib Berundur" yang dimuat naik di blognya zamkata.blogspot.com.

Katanya, menurut maklumat yang diterima, keseluruhan anggota majlis tertinggi kini menerima hakikat yang Najib tidak lagi mendapat sokongan rakyat di bawah, terutama ahli parti.

"Mereka mungkin akan memberitahu Najib secara ikhlas, bersopan dan beradab dalam mesyuarat Majlis Tertinggi Umno petang ini," katanya sambil memberi contoh ucapan Ketua Wanita Umno Datuk Shahrizat Abdul Jalil di TV3 pagi ini.

Menurut Zam, Shahrizat berkata, apa pun yang akan terjadi, harus dilakukan seperti menarik benang dalam tepung – parti jangan berpecah.

Sebelum ini, blogger pro-Umno Shahbudin Husin berkata, terdapat pemimpin cawangan di Wilayah Persekutuan yang menghubunginya menyatakan sokongan terhadap beberapa usul menentang Najib.

"Ada beberapa pemimpin cawangan di Wilayah Persekutuan yang menghubungi saya, Mereka kata sepatutnya usul memecat Najib dibawa...

"Tapi disebabkan mereka selesai bermesyuarat awal, mereka tidak dapat membawa usul tersebut," katanya.
- The Malaysian Insider


Isu melibatkan ketelusan, tadbir urus kerajaan perlu dipandang berat, kata Muhyiddin

Sebarang isu yang timbul melibatkan soal ketelusan atau tadbir urus dalam kerajaan perlu dipandang berat dan jika terdapat masalah ia perlu diselesaikan segera, kata Timbalan Presiden Umno Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Timbalan perdana menteri berkata, kewujudan sesebuah kerajaan yang telus dengan tadbir urus yang baik adalah menjadi keutamaan rakyat dalam membuat pilihan politik pada masa kini.

"Ini termasuk isu 1Malaysia Development Berhad (1MDB) yang tidak boleh dibiarkan berlarutan dan setiap dakwaan mengenai penyelewengan dalam urusan 1MDB perlu segera disiasat secara bebas, telus dan adil dan pihak bertanggungjawab perlu dibawa ke muka pengadilan.

"Imej Umno tidak boleh terpalit dengan isu 1MDB kerana amanah menjadi satu nilai penting yang menjadi teras kepercayaan rakyat kepada parti dan kerajaan," katanya dalam perutusan bersempena ulang tahun ke-69 Umno.

Beliau berkata, amanah menjadi nilai penting yang menjadi teras kepercayaan rakyat kepada parti dan kerajaan dan jika pemimpin Umno amanah dalam melaksanakan tugas dan tanggungjawab kepimpinan, bersih daripada sebarang bentuk salah laku dan penyelewengan, maka parti itu akan mendapat sokongan padu rakyat.

"Sebaliknya, jika pemimpin dilihat tidak amanah, maka rakyat akan menolak parti kita. Sebagai anggota Umno yang sayangkan parti, kita perlu sentiasa mengutamakan perjuangan parti," kata Muhyiddin.

Beliau berkata, sejak penubuhannya, Umno berjaya mewujudkan keharmonian kaum dan memelihara kestabilan negara dengan bekerjasama serta berkongsi kuasa dengan rakan parti komponen dalam Barisan Nasional.

Namun, katanya kedudukan Umno pada hari ini tidak sekukuh dahulu, selain gagal mempertahankan majoriti 2/3 pada Pilihan Raya Umum ke-12 dan ke-13, Umno juga sedang menghadapi masalah persepsi yang kian gawat.

"Tidak dinafikan orang Melayu masih meletakkan harapan yang tinggi terhadap Umno untuk membela nasib mereka, namun saya bimbang jika isu yang melingkari parti kita tidak dapat dijawab dengan baik untuk terus meyakinkan rakyat tentang keikhlasan perjuangan Umno, maka rakyat akan menolak Umno dalam pilihan raya dan kita terpaksa melepaskan amanah kepimpinan yang digalas selama ini," katanya.

Beliau berkata survival Umno bergantung kepada sejauh mana rakyat melihatnya sebagai sebuah parti yang boleh dipercayai, justeru ahlinya perlu sentiasa bermuhasabah, memperbaiki segala kelemahan dan bertindak memperbetulkan keadaan sebelum terlambat.

"Rakyat sedang memerhati tindakan dan pendirian Umno dalam beberapa isu utama. Dalam isu hubungan kaum dan perpaduan nasional misalnya, rakyat sedang melihat ke mana arah tuju Umno, adakah Umno akan terus menjadi sebuah parti Melayu dan Islam yang moderat, sederhana dan progresif atau berubah menjadi sebuah parti perkauman yang rasis dan ekstrim," kata Muhyiddin.

Beliau berkata Umno juga tidak boleh terjebak dalam polemik perkauman dan agama yang ekstrem sehingga meruntuhkan asas negara yang dibina oleh pemimpin terdahulu dan termaktub dalam Perlembagaan.

Katanya, walaupun wujud pelbagai asakan dan provokasi yang ingin melihat Umno terjerumus ke dalam jerangkap rasisme dan ekstremisme, namun anggota Umno perlu istiqamah.

"Pendirian Umno selama ini yang seimbang, moderat dan sederhana dalam mengurus hubungan kaum dan agama perlu dipertahankan kerana kita bukan sebuah parti Melayu yang rasis dan kita juga bukan sebuah parti Islam yang jumud dan ekstrem," katanya.

Beliau berkata, Umno sebaliknya adalah sebuah parti yang membawa rahmat dan manfaat untuk semua, selain membela nasib bangsa Melayu dan memartabatkan agama Islam.

Muhyiddin berkata, pada masa sama, Umno memelihara kepentingan yang sah kaum lain dan menghormati kebebasan mereka untuk mengamalkan agama masing-masing.

"Saya percaya selagi mana kita berada di atas landasan perjuangan yang seimbang ini maka kita akan berjaya mengekalkan perpaduan nasional dan parti kita Umno akan terus dihormati dan dipercayai oleh rakyat Malaysia yang berbilang kaum dan agama," katanya.

Muhyiddin berkata, Umno juga perlu mengemukakan jawapan segera kepada segala permasalahan yang dihadapi rakyat seperti tekanan kos sara hidup yang semakin meningkat.

"Kita akui bahawa kenaikan harga barang dan kos sara hidup adalah disebabkan oleh faktor yang sebahagian besarnya berada di luar kawalan kerajaan, namun sebagai kerajaan yang prihatin, pelbagai dasar dan program dilaksanakan untuk meringankan beban kos sara hidup rakyat.

"Saya percaya masih banyak yang boleh dilakukan untuk mengatasi masalah beban kos sara hidup dan Umno perlu menjuarai isu ini," katanya.

Selain itu, katanya setiap ahli parti juga perlu bersama-sama memperkukuhkan perpaduan, mengelakkan perpecahan dan menghindari sebarang tindakan yang boleh melemahkan Umno bagi menghadapi pilihan raya umum akan datang.

- Bernama


   Umno Perlis mahu tindakan drastik dilaksana termasuk ganti pemimpin kerajaan

Badan Perhubungan Umno Perlis mahu perubahan drastik dilaksanakan segera membabitkan beberapa pemimpin kerajaan dan kedudukan ketua pegawai eksekutif syarikat berkaitan kerajaan (GLC) demi kepentingan negara.

Pengerusinya, Datuk Seri Shahidan Kassim berkata tindakan itu sangat perlu dikaji dan dilaksanakan segera berikutan isu kontroversi menarik perhatian rakyat.

"Isu 1MDB dan Cukai Barang dan Perkhidmatan tidak diberi penjelasan sewajarnya menyebabkan rakyat mempersoalkan kredibiliti kerajaan dan terbaharu timbul pula isu pembelian tanah oleh Tabung Haji.

"Perkara ini tidak boleh dibiar berlarutan. Sudah sampai masanya kerajaan mengambil tindakan yang sepatutnya untuk memulihkan kepercayaan dan keyakinan rakyat," katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat Badan Perhubungan Umno Perlis di Kangar, hari ini.

Shahidan berkata, rakyat adalah keutamaan kerajaan, namun apabila orang yang diberi kepercayaan tidak melaksanakan tanggungjawab dengan penuh amanah dan efisien, mereka wajar diganti.

"Saya bercadang menemui Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak esok bagi mengemukakan cadangan Umno Perlis termasuk pencapaian dan keberkesanan pemimpin tertentu dinilai dan kaji semula," katanya.

Shahidan, yang juga menteri di jabatan perdana menteri, berkata selain barisan pemimpin yang perlu ditukar, pendekatan baru bagi menyelesaikan isu kontroversi perlu dilakukan bagi meredakan spekulasi.

"Pemimpin mesti lancar dalam memberi penjelasan terutama soalan-soalan yang dibangkitkan oleh rakyat.

Kelemahan menangani perkara ini hanya mengundang lebih banyak khabar angin dan peluang pembangkang menambah masalah kerajaan," katanya.

- Bernama

Tiada ulasan:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Artikel Terbaru

 
IdaMan - Blogger Templates, - by Templates para novo blogger Displayed on lasik Singapore eye clinic.