Cari Blog Ini

Tipu Status Wang 1MDB Di Singapura, 1 Malaysia Kena Tipu !


Presiden dan Ketua Pengarah Eksekutif (CEO) 1MDB, Arul Kanda Kandasamy, sebelum ini dikatakan mendakwa pelaburan berjumlah AS$2.3 bilion sudah ditebus semula dan sejumlah tunai dipindahkan ke sebuah bank di Singapura. – Gambar fail Reuters, 21 Mei, 2015.
 Presiden dan Ketua Pengarah Eksekutif (CEO) 1MDB, Arul Kanda Kandasamy, sebelum ini dikatakan mendakwa pelaburan berjumlah AS$2.3 bilion sudah ditebus semula dan sejumlah tunai dipindahkan ke sebuah bank di Singapura
                 Tipu status wang 1MDB di Singapura, DAP desak Arul dipecat

DAP hari ini menggesa Presiden dan Ketua Pengarah Kumpulan 1Malaysia Development Bhd (1MDB), Arul Kanda Kandasamy segera dipecat kerana menipu rakyat mengenai kewujudan tunai AS$1.1 bilion (RM3.96 bilion) di Singapura, kata DAP.

Setiausaha Publisiti DAP, Tony Pua berkata, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak dan ahli lembaga pengarah 1MDB mesti menyingkirkan Arul daripada terus memimpin syarikat sarat hutang itu.

“Kegagalan memecat Arul dengan segera akan mencemarkan nama baik perdana menteri dan ahli lembaga pengarah 1MDB.

“Jika beliau terus memimpin 1MDB akan menghalang usaha mencari kebenaran dan dalang yang akan menyebabkan lebih kerugian kepada syarikat itu,” katanya dalam satu kenyataan awal pagi ini.

Semalam, Najib yang juga menteri kewangan berkata wang 1MDB yang dibawa pulang daripada Pulau Cayman tidak disimpan di bank di Singapura seperti dilaporkan sebelum ini.

Pua (gambar, kanan) berkata Arul yang dilantik 5 Januari lalu melindungi transaksi yang mencurigakan dalam 1MDB dan terus berbohong dengan tidak menghentikan kebocoran dalam syarikat itu.

Beliau berkata, Arul pada 13 Januari lalu mendakwa sudah menebus semua pelaburan berjumlah AS$2.318 bilion yang dilaburkan syarikat di sebuah dana berdaftar di Pulau Cayman.

Katanya, tebusan bermakna 1MDB sudah menjual pelaburannya di Pulau Cayman dan wang tersebut diterima 1MDB.

“Arul sangat yakin mengenai perkara itu dalam satu wawancaranya bersama Singapore Business Times yang diterbitkan pada 7 Februari.

“Beliau mengumumkan sementara dana berjumlah AS$1.103 bilion tidak di bawa balik ke Malaysia, ia disimpan dalam dolar AS 'dengan memiliki AS$6.5 bilion dalam bentuk bon dengan bayaran faedah hampir AS$400 juta setahun',” katanya.

Ahli Parlimen Petaling Jaya Utara itu berkata, Najib dalam satu jawapan bertulis Dewan Rakyat pada 10 Mac lalu memaklumkan tunai AS$1.1 bilion itu disimpan di Bank BSI Singapura.

Bagaimanapun, Najib dua hari lalu berkata tiada tunai yang ditebus di Pulau Cayman dan apa yang ada dalam Bank BSI hanyalah dalam bentuk aset, katanya.

“Arul cuba menipu rakyat yang 1MDB berjaya mendapatkan semula wangnya malah mendakwa mendapat untung US$488 juta dalam transaksi PetroSaudi ke Cayman.

“Bagi mengelak pertanyaan berterusan ke mana dana tersebut, Arul kemudian terang-terangan berbohong memberi jaminan 'tunai tersebut dalam dolar AS' dan sudah melihat penyatanya.

“Beliau kemudian memberi alasan wang itu perlu disimpan dalam bentuk dolar AS kerana ia perlu bagi mengawal faedah 1MDB dalam bentuk bon dolar AS,” katanya.

The Malaysian Insider


Bank BSI Singapore sebelum ini dikatakan menerima dana 1MDB yang dipindahkan dari kepulauan Cayman. – Gambar fail Reuters, 20 Mei, 2015.
Najib akhirnya mengaku tiada wang 1MDB disimpan dalam bank Singapura
Datuk Seri Najib Razak akhirnya mengaku wang syarikat sarat hutang 1Malaysia Development Berhad (1MDB) yang dibawa pulang daripada Pulau Cayman tidak disimpan di bank di Singapura.

Dalam jawapan di Dewan Rakyat hari ini, menteri kewangan itu sebaliknya menjelaskan hanya baki pelaburan ditebus dalam bentuk aset di bank Singapura yang tidak dinamakan.

"1MDB sudah menjelaskan baki pelaburan yang telah ditebus oleh 1MDB  adalah dalam bentuk aset di dalam mata wang dolar AS di sebuah bank di Singapura bertujuan untuk mengimbangi liabiliti US Dollar.

"Bank ini merupakan penjaga bagi pihak 1MDB untuk aset ini," kata perdana menteri dalam jawapan bertulis hari ini kepada soalan Ahli Parlimen Petaling Jaya Utara, Tony Pua.

Pua berkata, pendedahan ini mengejutkan dan mengesahkan tiada wang tunai yang dibawa balik oleh 1MDB daripada Pulau Cayman.

"Maksudnya tiada wang tunai yang disimpan di Singapura, tapi hanya adalah aset. Aset ini pula hanya 'paper asset'," kata Pua pada sidang media di lobi Parlimen hari ini.

Pua juga menyifatkan pelaburan yang diwar-warkan Putrajaya sebelum ini dibuat di Pulau Cayman adalah mengarut, malah nilai aset tersebut juga tidak diketahui.

"Ini semata-mata aset atas kertas, apa nilai sebenar kita tidak tahu. Bermakna mereka 1MDB hanya membuat pemindahan kertas daripada Pulau Cayman ke Singapura," katanya.

Dalam jawapan bertulis itu juga, Najib bagaimanapun tidak menjelaskan sama ada Bank Negara menerima kenyataan daripada pihak berkuasa Singapura tentang penyata palsu dihantar anak syarikat 1MDB kepada sebuah cawangan Bank BSI di Singapura seperti didedah oleh Sarawak Report baru-baru ini.

"Bagaimanapun, sebarang maklumat yang diterima adalah tertakluk kepada protokol kerahsiaan antarabangsa (Egmont principles of information exchange) dan kehendak kerahsiaan di bawah seksyen 10 AMLA.

"Menurut seksyen 10 AMLA, maklumat yang diterima hanya boleh didedahkan kepada agensi penguatkuas berkaitan yang menyiasat kes tersebut di bawah undang-undang mereka selepas mendapat kebenaran bertulis daripada pihak berkuasa asing," kata jawapan lisan itu.

Susulan pengakuan terbaru ini, Pua membidas Putrajaya kerana menipu walaupun sebelum ini mengakui tentang wang dari Pulau Cayman yang dibawa pulang dan disimpan di Singapura.

Pada 10 Mac lalu, Najib dalam jawapan bertulis mengatakan sejumlah wang AS$1.103 bilion yang dibawa pulang dari Pulau Cayman sudah ditebus dalam bentuk wang tunai dan disimpan dalam mata wang dolar AS di BSI.

Najib juga mengatakan tujuan ia disimpan di Singapura adalah untuk memudahkan urusan pengeluaran wang memandangkan peraturan yang ketat BNM.

"1MDB perlu jelaskan perkara ini, kita selama ini diberitahu ada wang di Pulau Cayman, tapi terbaru pendedahan ini menunjukkan kita semua ditipu," kata Pua.

Menurut Pua, pengakuan Najib ini juga menjelaskan mengapa 1MDB bermasalah serta gagal membayar hutang yang ditanggung mereka.

"Ini salah satu sebab mengapa 1MDB tidak dapat membayar hutang mereka," kata Pua.

Sarawak Report dalam pendedahan membabitkan 1MDB mengatakan wujud bukti menunjukkan BSI menolak dokumen 1MDB ‎mengenai akaun Brazen Sky Limited di Singapura.

"Dokumen dibekalkan kepada pelbagai pihak berkuasa oleh presiden 1MDB Arul Kanda bagi menunjukkan penyata akaun Brazen Sky pada November 2014‎.

"Namun bank swasta Switzerland memberitahu pihak berkuasa Singapura yang dokumen itu bukan berasal daripada mereka dan tidak menunjukkan dokumen sah ‎mengenai aset anak syarikat 1MDB," lapor Sarawak Report.

Menurut portal itu, maklumat mengenai penyata bank kemudian dilaporkan semula ke Malaysia pada 13 Mac lalu, 2 hari selepas perdana menteri yang juga menteri kewangan mengemukakan jawapan bertulis mengesahkan baki AS$1.103 bilion sudah ditebus kembali daripada dana Brazen Sky ‎di Pulau Cayman dan kini "disimpan" di BSI di Singapura. 

The Malaysian Insider

Tiada ulasan:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Artikel Terbaru

 
IdaMan - Blogger Templates, - by Templates para novo blogger Displayed on lasik Singapore eye clinic.