Cari Blog Ini

Tambang Bas Ekspres Naik Sebelum Ramadan ?


Muktamadkan tambang bas ekspres sebelum Ramadan [gambar fail]
Persatuan Pengusaha Bas Ekspres Melayu Semenanjung Malaysia (Pembawa) meminta kerajaan agar memuktamadkan pelaksanaan kenaikan tambang bas ekspres sebelum Ramadan pada bulan depan.

"Saya harap sangat kerajaan akan berikan kata putus sebelum bulan puasa, kami runsing kerana perkara ini terus menjadi persoalan sejak penangguhan kenaikan tambang bas ekspres diumumkan pada 21 Mac lalu," kata Yang Dipertua Pembawa Tajudin Mohd Yunus dalam sidang media khas, di sini hari ini.

Tajudin berkata situasi itu menyebabkan pihaknya menghantar memorandum berkaitan hal itu kepada Jabatan Perdana Menteri dan Kementerian Kewangan untuk diperhalusi kerana bimbang ada syarikat bas yang terpaksa gulung tikar jika keadaan itu berlanjutan.

"Pihak pengusaha sudah habis ikhtiar tentang perkara ini, daripada lebih 80 peratus pengusaha bas Bumiputera pada 1978, kini hanya tinggal 20 peratus yang masih tinggal dan sangat goyah, tidak terbela," katanya.

Sementara itu, Ketua Pegawai Operasi Sani Ekspress Mejar (B) Abu Bakar Mohamad berkata pihaknya amat kesal dan terkesan dengan penangguhan kenaikan tambang bas ekspres itu yang telah lama diperjuangkan Pembawa.

"Syarikat bas keseluruhannya berdepan kenaikan kos operasi setiap tahun, malah sejak adanya Cukai Barang dan Perkhidmatan, ia mencecah hampir 100 peratus kenaikan sedangkan kami masih terus memberi yang terbaik malah kualiti perkhidmatan kami sering dipertingkat," katanya.

Beliau berkata kesan daripada masalah itu, syarikatnya terpaksa melupakan hasrat untuk menambah bilangan bas dan jumlah perjalanan terutama apabila musim cuti dan perayaan.

Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) pada 19 Mac lepas, mengumumkan kadar tambang pengangkutan awam melibatkan teksi dan bas ekspres ekoran peningkatan kos operasi sehingga 33 peratus.

Bagaimanapun, kerajaan memutuskan untuk menangguhkan pelaksanaan kadar tambang baharu bas ekspres sehingga ke suatu tarikh yang belum ditetapkan, manakala tambang baharu teksi diteruskan.

- Bernama

Tiada ulasan:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Artikel Terbaru

 
IdaMan - Blogger Templates, - by Templates para novo blogger Displayed on lasik Singapore eye clinic.