Cari Blog Ini

Tabung Haji : Siasat Maklumat Urusniaga Bukan Menghukum Pemberi Maklumat


jawawi

National Oversight and Whistleblowers (NOW) mempersoalkan tindakan Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar membuat siasatan bagi mengesan identiti pemberi maklumat berkaitan pembelian tanah 1 Malaysia Development Berhad (1MDB) oleh Tabung Haji (TH).

Kata Pengarah NOW Akmal Nasir, tindakan tersebut adalah mendukacitakan sedangkan keutamaan siasatan adalah mengenai urusniaga itu sendiri.

“Tindakan pemberi maklumat tidak bernama mendedahkan dokumen berkaitan pembelian tanah 1MDB  oleh TH yang nilainya mencecah RM188 juta seharusnya diberikan pujian dan penghormatan.

“Namun, pengumuman oleh Khalid bahawa siasatan menyeluruh akan dijalankan bagi mengesan identiti pemberi maklumat dibawah Akta Rahsia Rasmi 1972 (OSA) adalah mendukacitakan sedangkan keutamaan siasatan adalah mengenai urusniaga itu sendiri kerana ianya melibatkan dana pencarum simpanan TH,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Kata Akmal lagi, pihak berkuasa seharusnya menjalankan siasatan bagi memastikan tiada unsur pecah amanah atau salah guna kedudukan dalam urusniaga ini, bukannya mencari jalan untuk menghukum pemberi maklumat.

NOW turut mengemukakan beberapa soalan terhadap Khalid berhubung tindakan beliau itu.

1.      Adakah tindakan untuk menyiasat identiti pemberi maklumat yang membocorkan dokumen urusan jual beli tanah 1MDB-LTH dibawah OSA adalah usaha untuk menyekat lebih banyak pendedahan maklumat berkaitan urus niaga berkaitan atau maklumat mengenai 1MDB?

2.      Apakah siasatan ini membuktikan sekali lagi bahawa Akta Perlindungan Pemberi Maklumat 2010 atau Whistleblowers Protection Act (WPA) sebenarnya tidak efektif? Ini amat jelas apabila pemberi maklumat terdedah kepada tekanan akta-akta OSA atau Akta Bank dan Institusi-institusi Kewangan (BAFIA). Jelaslah bahawa pemberi maklumat di Malaysia berhadapan dengan hukuman sedangkan pendedahan mereka menyelamatkan dan memberi manfaat kepada orang ramai.

3.      Penjualan tanah tersebut oleh 1MDB yang sepatutnya dibangunkan tetapi dijual pada keuntungan yang berpuluh kali ganda kepada TH. Mengapakah hanya TH yang berminat atau diberi pilihan membeli tanah tersebut? Siapakah yang terlibat dalam proses urus niaga ini?

astro awani


Datuk Johan Abdullah  buat laporan polis
 TH buat laporan polis terhadap The Benchmark
Lembaga Tabung Haji (TH) membuat laporan polis terhadap artikel yang disiarkan di blog, The Benchmark, yang memanipulasikan fakta sebenar.

Laporan itu dibuat oleh Timbalan Ketua Pengarah Urusan Kumpulan, Datuk Johan Abdullah di Balai Polis Dang Wangi pada petang Khamis.

Dalam laporan polis itu, Johan menyatakan artikel yang disiarkan oleh blog itu telah memanipulasikan fakta sebenar mengenai pelaburan yang dibuat oleh TH menerusi pembelian sebidang tanah di Tun Abdul Razak Exchange (TRX).

Katanya, pembelian tanah untuk pembinaan Service Apartment itu dibuat dengan betul selepas melalui proses dalaman yang ditetapkan oleh TH.

Katanya, tanah itu dibeli dengan harga RM188.5 juta mengikut harga pasaran semasa selepas dinilai oleh penilai bebas profesional.

Dalam laporan polis itu, Johan menafikan TH telah membeli Signature Tower seperti yang didakwa penulis artikel berkenaan.

“TH memandang serius penyebaran maklumat dalaman yang diklasifikasikan sebagai sulit oleh mereka yang tidak bertanggungjawab secara salah dan menyalahi undang-undang,” tulis Johan dalam laporan itu.


       Kenapa dokumen tanah TH-1MDB bawah OSA, soal bekas peguam negara

Sebelum menyiasat mereka yang bertanggungjawab membocorkan dokumen perjanjian tanah antara Lembaga Tabung Haji (TH) - 1Malaysia Development Berhad (1MDB), polis terlebih dulu perlu menentukan sama ada ia diklasifikasikan mengikut Akta Rahsia Rasmi (OSA) atau tidak, kata bekas Peguam Negara Tan Sri Abu Talib.

"Persoalan seterusnya ialah, siapa yang mengklasifikasikan dokumen itu sebagai rahsia," katanya sambil menambah, mengikut undang-undang mesti ada pegawai yang bertanggungjawab mengklasifikasikan sesuatu dokumen.

Talib berkata demikian ketika mengulas kenyataan Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar semalam pegawai penyiasat akan meneliti peruntukan dalam OSA bagi mendakwa dalang yang terbabit membocorkan kandungan dokumen itu.

Beliau yang merupakan ketua peguam negara selama 13 tahun sehingga 1993 berkata, sama ada jenayah dilakukan mengikut OSA atau tidak, ia hanya boleh ditentukan selepas siasatan selesai dijalankan.

"Tetapi, bagi tujuan penyiasatan, kes berkenaan boleh diklasifikasikan mengikut OSA," katanya.

Presiden Transparency International-Malaysia (TI-M) Datuk Akhbar Satar turut melahirkan kebimbangan berhubung penggunaan OSA dalam kes itu, mengatakan penyiasatan itu satu contoh bagaimana OSA boleh "disalahgunakan untuk tujuan salah".

"Dalam kes ini, pemberi maklumat mesti dilindungi tanpa ancaman OSA akan digunakan terhadap mereka," kata Akhbar dalam satu kenyataan semalam.

"Sebaliknya keutamaan perlu diberikan untuk menyiasat sama ada sebarang penyelewengan berlaku dalam urus niaga perniagaan itu, jika pembelian itu dibuat mengikut prosedur standard dan jika harga yang dibayar TH munasabah dan adil," katanya.

Khalid berkata, klasifikasi itu dibuat selepas meneliti laporan polis yang dibuat Ketua Pegawai Eksekutif TH Datuk Johan Abdullah.

Beliau berkata, polis akan memanggil mereka yang dikenal pasti dalam kes itu, termasuk pegawai tertinggi TH untuk disoal siasat tidak lama lagi.

Abu Talib berkata, tiada halangan terhadap pihak polis untuk mengklasifikasikan semula kes ini sekiranya ketika menjalankan siasatan, didapati wujud kesalahan lain.

"Pada kesudahannya, kita harus ingat, pendakwa raya yang akan memutuskan sama ada terdapat bukti mencukupi untuk mendakwa seseorang melakukan jenayah," katanya.

Johan semalam membuat laporan polis mengenai data tidak tepat disiarkan blog "The Benchmark" yang mendakwa badan pengelola dana simpanan haji itu membeli dua bidang tanah dalam projek Tun Razak Exchange (TRX) milik 1MDB dengan nilai sejumlah RM772 juta secara tunai sedangkan pembelian itu mendapat "potongan" harga pada RM188.5 juta.

Dalam laporan polis itu, Johan berkata, tanah seluas 67,954 kaki persegi dibeli untuk membina sebuah pangsapuri mewah dan menafikan yang TH dalam proses mendapatkan Signature Tower seperti yang didakwa blog tidak dikenali itu.

Beliau berkata, pelaburan itu dilakukan mengikut garis panduan sebenar dan mendapat kelulusan yang betul.

Pembangunan pangsapuri mewah itu akan dibangunkan Tabung Haji Properties Sdn Bhd.

Blog tidak dikenali itu mendakwa TH membeli dua plot tanah menggunakan dana pendeposit dan membeli tanah itu pada nilai yang jauh lebih mahal daripada yang dibayar 1MDB, sebaliknya perkara itu dinafikan badan itu.

Menurut blog itu, 1MDB Real Estate Bhd memperoleh tanah bagi pembinaan TRX pada harga RM64 satu kaki persegi daripada kerajaan persekutuan.

Johan turut menyatakan dalam laporan polis itu kebocoran dokumen sulit tidak membuktikan cadangan itu diluluskan dan bertentangan dengan Akta Tabung Haji 1995.

Isu 1MDB menjadi kontroversi besar selepas menanggung hutang yang banyak iaitu kira-kira RM42 bilion malah kerajaan juga mengakui syarikat pelaburan milik Kementerian Kewangan itu sedang mengalami masalah aliran tunai.

Sementara itu, peguam Haresh Mahadevan berkata polis perlu menjelaskan mengapa ada keperluan untuk mengklasifikasikan satu perjanjian jual beli yang melibatkan penggunaan dana simpanan haji.

"Polis harus mencari siapa menteri atau wakilnya yang mengklasifikasikan dokumen tersebut," katanya sambil menambah, perjanjian itu menimbulkan lebih banyak persoalan yang perlu dijawab.

Hareshi ialah salah salah seorang peguam yang berjaya mendapatkan pembebasan bagi 2 guru sekolah rendah yang memiliki salinan kertas peperiksaan ujian pencapaian sekolah rendah (UPSR) tahun lepas tanpa kebenaran.

Subbarau Kamalanathan dan Murugan Palanisamy didakwa mengikut OSA yang boleh dijatuhkan hukuman penjara selama 1 hingga 7 tahun.

Bagaimanapun, Mahkamah Sesyen Seremban membebaskan kedua-dua tertuduh tanpa dipanggil membela diri.

Salah satu sebabnya ialah, pihak pendakwaan gagal mengemukakan kepada mahkamah satu pewartaan menyatakan menteri pendidikan memberi kuasa kepada ketua sindiket pemeriksaan mengklasifikasikan kertas peperiksaan itu sebagai "sulit".

The Malaysian Insider

1 ulasan:

Tanpa Nama berkata...

Satu lagi isue besar timbul kerana hendak menjaga prestasi PM najib razak.Bala baru kepada negara ,ini bukan politik tapi balsan tunai dari ALLAH diatas ketidak adilan kerajaan yang dipimpin oleh Najib denga menteri kebinetnya semua menteri yang ndipilih adalh menteri yang tidak mesera rakyat maka berlakulah apa yang dapat disaksikan hari ini satu persatu musibah diatas tidak kejujuran dari pemerentah ingat do'a dari orang yang dizalim amat mustajab diperkenan oleh Allah dari ramai kalangan rakyat yang ditindas mungkin ada yang karamahnya diperkenankan maka itu para pemimpin kerajaan janganlah terlalu besar mengunkan kuasa,srbagai contoh cukai GST yang dikenakan ,usahlah kerana hendakan banyak hasil fakir miskin juga dikenakan cukai,pertimbangkan lah sebelum terlambat.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Artikel Terbaru

 
IdaMan - Blogger Templates, - by Templates para novo blogger Displayed on lasik Singapore eye clinic.