Cari Blog Ini

Selesaikan Segera Kemelut 1MDB, Tabung Haji, Kata Pemuda Umno Johor



Pemuda Umno Johor menyeru Datuk Seri Najib Razak agar segera bertindak memberi penjelasan dan menyelesaikan isu seperti 1Malaysia Development Berhad (1MDB) dan pembelian tanah oleh Lembaga Tabung Haji (TH).

Ketuanya Hahasrin Hashim berkata, isu seperti cukai barangan dan perkhidmatan (GST) juga tidak seharusnya berterusan kerana rakyat secara umum akan menerima kesan cukai berkenaan.

"Pendirian Pemuda Umno Johor jelas presiden perlu bertindak segera bagi memperjelaskan dan menyelesaikan perkara ini kepada rakyat.

"Jika perlu distruktur semula apa pun organisasi yang menjadi tumpuan ketika ini, jika perlu disegerakan apa pun penyiasatan atau proses audit, presiden perlu bertindak sekarang.

"Kita tidak mahu Umno ditolak rakyat hanya atas sebab tindakan dan keputusan sesetengah pemimpin yang tidak dapat menjalankan tanggungjawab dengan baik," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Hahasrin berkata tiada makna jika segala dasar baik dan nikmat pembangunan ekonomi yang selama ini Umno juarai tidak dapat dirasai oleh rakyat sebaliknya menjadi punca liabiliti dan polemik kepada pentadbiran negara.

Katanya, Pemuda Umno Johor bersuara atas dasar kebertanggungjawaban dan amanah yang diberi oleh masyarakat kepada mereka sebagai pemimpin anak muda.

"Maka kami, Pemuda Umno Johor amat berharap agar suatu penyelesaian yang konkrit dapat dilaksanakan dengan kadar segera.

"Kami percaya sebagai bapa, presiden tidak akan terus menerus membiarkan semua ini berterusan dan bertindak sebaiknya untuk mengembalikan kepercayaan rakyat kepada Umno dan kerajaan Barisan Nasional," katanya.

TH semalam mengesahkan badan pengelola dana simpanan bakal haji itu membeli sebidang tanah daripada projek pelaburan Tun Razak Exchange (TRX) yang terletak di tengah-tengah bandar raya Kuala Lumpur bernilai RM188.5 juta.

Ia berikutan dakwaan beberapa blog yang memuat naik dokumen menunjukkan pembelian tanah daripada 1MDB bernilai RM772 juta.

Pendedahan itu dibuat ketika kontroversi 1MDB yang dibebani hutang sehingga RM42 bilion masih belum reda.

Pemimpin politik, termasuk bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad menuntut siasatan dibuat ke atas kewangan 1MDB dan juga menggesa kerajaan menjelaskan urus niaga yang mereka dakwa menyebabkan dana awam disalurkan keluar.

Turut menuntut penjelasan mengenai 1MDB ialah pengerusi Umno Cheras Datuk Seri Syed Ali Alhabshee yang mendesak pihak berkuasa menyiasat ahli perniagaan Low Taek Jho, berikutan dakwaan beliau memindahkan berjuta dolar daripada 1MDB.

The Malaysian Insider

* Kenapa Tabung Haji Beli Tanah Senyap-Senyap ? - Bekas Naib Ketua UMNO Bahagian Batu Kawan

Tiada ulasan:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Artikel Terbaru

 
IdaMan - Blogger Templates, - by Templates para novo blogger Displayed on lasik Singapore eye clinic.