Cari Blog Ini

Projek UG : Majlis Syura Ulama (MSU) Perlu Saman Nasharudin Mat Isa Jika UG Tak Wujud



Majlis Syura Ulamak dalam sidangnya ke-31 di Kolej Islam Zulkifli Mohamad pada 19 Mei 2015 mengambil perhatian serius dakwaan dan fitnah sesetengah pihak bahawa pihak Majlis Syura Ulamak pernah meluluskan usaha penggabungan PAS dan Umno.

"Dengan ini, pihak Majlis Syura Ulamak menegaskan bahawa tiada sebarang perbincangan atau keputusan pernah dibuat ke arah gabungan PAS dan Umno," tegas Setiausaha Majlis Syura Ulamak, Datuk Dr Nik Muhammad Zawawi Nik Salleh dalam satu kenyataan kepada Harakahdaily.

Jelasnya, Majlis Syura Ulamak juga menegaskan tidak pernah wujud sama ada usaha atau pandangan ke arah penggabungan ini oleh mana-mana individu ahli Majlis Syura Ulamak seperti Mursyidul Am, Tuan Guru Datuk Dr Haron Din, Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang dan lain-lain ahli jawatankuasa Majlis Syura Ulamak.

"Majlis Syura Ulamak dengan ini menyeru supaya semua ahli PAS menolak fitnah ini bagi mengukuhkan jemaah ke arah memenangkan Islam," ujarnya. -HD



                                  Majlis Syura nafi lulus kerajaan perpaduan

[sinar]- Majlis Syura Pas menafikan dakwaan yang mengatakan pihaknya pernah mengadakan perbincangan ataupun membuat keputusan mewujudkan gabungan dua parti politik, antara Pas dan Umno.

Setiausahanya, Dr Nik Zawawi Nik Salleh berkata, Majlis Syura memandang serius dakwaan tersebut dan menyifatkan ia fitnah pihak tertentu.

“Majlis Syura juga menegaskan tidak pernah wujud sama ada usaha atau pandangan ke arah penggabungan ini oleh mana-mana individu ahli kami seperti Mursyidul Am, Datuk Dr Harun Din, Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang dan lain-lain ahli jawatankuasa badan ini,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Beliau berkata demikian dipercayai merujuk kepada kenyataan bekas Timbalan Presiden Pas, Nasharudin Mat Isa dalam sebuah stesen TV swasta baru-baru ini yang mendakwa masih wujud cadangan kerjasama antara Pas dengan Umno bagi membentuk kerajaan perpaduan.

Nasharudin juga dilaporkan berkata, bekas Mursyidul Am Pas, Allahyarham Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat selama ini dianggap penghalang utama kerajaan perpaduan antara dua parti politik terbesar Melayu di negara ini.

Sehubungan itu, Nik Zawawi menyeru supaya semua ahli dan pimpinan Pas supaya menolak fitnah tersebut yang boleh memecahbelahkan parti itu.

“Majlis Syura dengan ini menyeru supaya semua ahli Pas menolak fitnah ini bagi mengukuhkan jemaah ke arah memenangkan Islam,” katanya lagi.

* Kerajaan Perpaduan : Majlis Syura Ulama PAS Nafi Dakwaan Haji Hadi

                          

Tiada ulasan:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Artikel Terbaru

 
IdaMan - Blogger Templates, - by Templates para novo blogger Displayed on lasik Singapore eye clinic.