Cari Blog Ini

PRK Rompin : PAS Nafi Kempen Tidak Dapat Sokongan DAP, PKR


Calon PAS, Nazri Ahmad
           PRK Rompin : Calon PAS Nafi Kempen Tidak Dapat Sokongan DAP

[mstar]- Calon PAS, Nazri Ahmad menolak dakwaan bahawa kempennya pada Pilihan Raya Kecil (PKR) Parlimen Rompin tidak mendapat sokongan DAP.

Sebaliknya, beliau berkata DAP telah mewakilkan pimpinan di peringkat negeri untuk membantu kempennya.

"Ada (DAP) tolong kempen tapi media tak ikut... penamaan calon pun ada Naib Presiden PKR... Pengerusi DAP Pahang.
Sepanjang kempen mereka ada.

"Memadailah (Pengerusi DAP Pahang) wakili DAP... tak perlulah semua datang," katanya ketika ditemui pemberita semasa mengadakan walkabout bertemu peniaga di tapak pasar malam di sini, Sabtu.

Terdahulu, mStar Online melaporkan sumber dalaman yang rapat dengan Parti Keadilan Rakyat (PKR), salah satu faktor ketidakhadiran pemimpin tertinggi DAP adalah bagi meredakan krisis antara PAS dan DAP.

Malah, menurut sumber itu juga ia bagi mengelakkan isu hudud yang masih panas terus dibangkitkan sehingga boleh menjejaskan tumpuan pakatan rakyat pada PRK Rompin dan Permatang Pauh.

Sementara itu, Nazri turut mengakui kempennya tidak terjejas akibat dakwaan beliau menceroboh secara haram tanah milik Felda untuk membina Maahad Tahfiz Al-Ahmadi kendaliannya di Felda Keratong 5 di sini.

"Tak... sebab itu satu tuduhan tak berasas," katanya ringkas.

Pada Jumaat, Nazri menafikan dakwaan tersebut dengan menjelaskan tapak berkenaan sebahagian tanah diberikan Felda kepada keluarganya pada tahun 2000 untuk membina kilang keropok ikan yang sebelum itu dibina berhampiran kediaman peneroka lain dan tidak lagi sesuai.

Malah, beliau berkata sokongan yang diterimanya sehingga hari ini cukup baik berikutan rakyat terkesan dengan pelaksanaan cukai barangan dan perkhidmatan (GST) dan isu Felda yang gagal ditangani kerajaan.


                     PAS tangkis dakwaan diboikot PKR, DAP di PRK Rompin

Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man menafikan PAS diboikot PKR dan DAP pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Rompin, ekoran ketidakhadiran pimpinan tertinggi dari parti itu sepanjang kempen itu berlangsung, lapor Sinar Harian.

Naib Presiden PAS itu turut menyelar dakwaan yang mengatakan ketidakhadiran mereka disebabkan faktor krisis dalam Pakatan Rakyat (PR), sambil berkata kedua-dua parti tersebut banyak membantu PAS.

"Wujud pihak cuba melaga-lagakan PAS, PKR dan DAP sedangkan kami saling membantu dalam PR, Tidak ada krisis.

"Jentera PKR negeri banyak membantu kita (PAS). Begitu juga DAP negeri yang turut berkempen," katanya yang juga pengarah PRK Rompin PAS.

PRK Rompin dijadualkan berlangsung esok, melibatkan pertemuan antara calon PAS, Nazri Ahmad, Ketua Dewan Pemuda PAS Pahang, dan calon Barisan Nasional (BN), Datuk Hasan Arifin, pemangku Ketua Umno Bahagian Rompin.

Sebelum ini dilaporkan, ketidakhadiran pimpinan tertinggi DAP ke Rompin bertujuan meredakan krisis yang berlaku dengan PAS dan mengelakkan isu hudud terus dibangkitkan, yang boleh menjejaskan tumpuan pengundi.

Mengulas perkara tersebut, Tuan Ibrahim mengatakan tidak ada keperluan pimpinan tertinggi DAP berbuat demikian kerana majoriti penduduk di Rompin adalah Melayu.

"Jika majoriti pengundi bukan Melayu ramai di sini (Rompin), kita yakin pimpinan tertinggi DAP akan turun padang," katanya.

Hubungan PAS dan rakan komponen mereka dalam PR semakin tegang susulan krisis dalaman mereka, apabila Hadi meneruskan rancangannya membawa usul persendirian PAS untuk meminda Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) 1965 bagi membolehkan hudud dilaksanakan di Kelantan.

Keputusan Hadi itu mencetuskan perbalahan antara kepimpinan DAP, PKR dan PAS apabila beliau didakwa membelakangkan Mesyuarat Majlis Tertinggi PR, yang mana memutuskan apa-apa usul berkaitan hudud seharusnya dibawa ke mesyuarat berkenaan.

Berang dengan sikap Hadi, DAP mengambil langkah memutuskan hubungan dengan Hadi, namun masih meneruskan hubungan mereka dengan PAS.
The Malaysian Insider


                             PRK Rompin: PAS Ditinggalkan DAP Dan PKR

[mstar]- Walaupun hampir 3,000 orang hadir pada Himpunan Derita Rakyat (Hindar) yang merupakan kempen terakhir PAS sebelum menghadapi Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Rompin, Selasa ini, namun ia kelihatan seperti ceramah 'biasa'.

Malah, parti itu dilihat terus berseorangan di Rompin apabila kelibat pimpinan tertinggi sekutunya dalam pakatan pembangkang iaitu Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan DAP tetap tidak kelihatan.

Meskipun himpunan anjuran Dewan Ulama PAS Pusat itu tidak memerlukan keterlibatan pemimpin PKR dan DAP, setidak-tidaknya kedua-dua parti itu menghantar wakil mereka sebagai tanda sokongan kepada calon PAS, Nazri Ahmad.

Namun, ketiadaan pimpinan tertinggi PKR dan DAP, pada malam Ahad menimbulkan tanda tanya mengenai status hubungan ketiga-tiga parti ini yang masih misteri sehingga hari ini.

Antara nama-nama besar yang hadir dalam ceramah itu adalah Pemangku Timbalan Ketua Dewan Ulama PAS Pusat, Datuk Dr Mahfodz Mohamed, Ahli Jawatankuasa PAS Pusat,  Nik Mohamad Abduh Nik Aziz dan Nasrudin Hasan Tantawi.

Yang turut hadir Setiausaha Majlis Syura Ulama, Datuk Nik Zawawi Nik Salleh, Pengarah Operasi Pusat Penyelidikan PAS, Dr Zuhdi Marzuki dan bekas Ketua Dewan Muslimat PAS, Nuridah Salleh.

Selain membangkitkan isu kitar semula seperti cukai barang dan perkhidmatan (GST), tanah peneroka Felda dan kritikan Tun Dr Mahathir Mohamad terhadap kerajaan, PAS mengalih tumpuan pengundi terhadap ketidakhadiran perdana menteri di Rompin dan Permatang Pauh.

Naib Presiden PAS, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man mendakwa ketiadaan Datuk Seri Najib Tun Razak seolah-olah membayangkan ada sesuatu yang tidak kena berlaku dalam Barisan Nasional (BN).

"Kali pertama dalam sejarah PRK, gambar perdana menteri tak ada, bukan sahaja di sini tetapi begitu juga di Permatang Pauh. Kan biasa kalau kita turun PRK ini, gambar PM lebih banyak daripada gambar calon... kenapa tak ada gambar?

"Bukan sahaja tak ada gambar tapi (Najib) belum turun lagi, Tak apalah itu urusan dia, Kita tengok siapa yang turun dulu nanti, PM atau Ahmad Maslan," katanya dalam nada berseloroh.

Tuan Ibrahim yang juga Pesuruhjaya PAS Pahang tetap menyerang kerajaan kerana melaksanakan sisytem GST yang didakwa membebankan rakyat dan bertentangan dengan hukum Islam.

"Ada menteri kata kad pra bayar kena GST ada kata tak... rakyat jadi pening. Media beritahu GST baik untuk rakyat tapi bila pergi kedai orang kampung kena bayar RM10.60," katanya.

Sementara itu, calon PAS, Nazri Ahmad hanya tampil kurang 10 minit dan mengulangi gesaan agar rakyat mengundi parti Islam itu sebagai tanda protes kepada GST.

"Kita hantar isyarat kepada kerajaan pada 5 Mei ini bahawa rakyat menolak GST. Setiap undi PAS tanda protes terhadap sistem cukai yang menzalimi rakyat," katanya.

Pada masa sama, PAS cuba menyakinkan rakyat bahawa GST menindas rakyat apabila menampilkan seorang kanak-kanak yang menghidap kanser tulang terpaksa menanggung kos rawatan yang tinggi berikutan pelaksanaan sistem cukai tersebut.

Dalam usaha mengalihkan tumpuan orang ramai mengenai pertikaian antara PAS dan DAP berhubung isu hudud, Mahfodz Mohamed dalam ucapannya memberitahu PAS tidak membincangkan mengenai undang-undang Islam itu secara bersendirian.

"Kita telah jelaskan (hudud) dalam Pakatan Rakyat, bukan kita lakukan secara senyap-senyap. Kita jelaskan tiga kali kepada sekutu dalam Pakatan Rakyat," katanya.

Beliau berkata rang undang-undang itu hanya terpakai kepada orang Islam sahaja dan masyarakat bukan Islam sepatutnya menyokong pelaksanaannya.

"Masyarakat Tiong Hua tidak perlu takut. Ia hanya terpakai kepada orang Islam sahaja dan tiada kena-mengena dengan orang bukan Islam," katanya.

Sepanjang 14 hari berkempen, walaupun PAS membangkitkan isu GST, tanah peneroka Felda dan beberapa masalah penduduk tempatan sebagai modal untuk menyerang BN, tiada jalan penyelesaian yang disyorkan seandainya calon parti itu memenangi kubu kuat BN itu.

Nazri yang juga Ketua Pemuda PAS Pahang akan berdepan calon BN, Datuk Hasan Arifin dalam pertembungan satu lawan satu pada hari pengundian Selasa ini.

Tiada ulasan:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Artikel Terbaru

 
IdaMan - Blogger Templates, - by Templates para novo blogger Displayed on lasik Singapore eye clinic.