Cari Blog Ini

PRK Rompin : PAS Berjaya Memenangi Lima Pusat Daerah Mengundi Termasuk Dua Di Kawasan Felda


Fokus PAS pada isu GST, Felda dilihat berkesan
Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Rompin melabuhkan tirai dengan BN mengekalkan kerusi tersebut. Namun adakah PAS gagal dalam strateginya yang mempertaruhkan calon orang muda dalam PRK ini?

Melihat strategi PAS yang sejak awal memberikan fokus utama terhadap isu Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) serta isu Felda, terutama masa depan generasi kedua, dilihat berkesan memandangkan ia berjaya memenangi lima Pusat Daerah Mengundi (PDM) termasuk dua di kawasan Felda, berbanding hanya satu dalam Pilihan Raya Umum ke-13.

Penganalisis politik, Prof Madya Dr Mohd Azizuddin Mohd Sani menyifatkan strategi PAS dalam PRK Parlimen Rompin adalah strategi percubaan dan bersifat jangka panjang dengan mempertaruhkan calon orang muda.

PAS telah menurunkan muka baru, Ketua Dewan Pemuda PAS Pahang Nazri Ahmad, 40, yang dibesarkan di Felda Keratong 5 sebagai calonnya pada PRK Rompin.

Mohd Azizuddin memberitahu Bernama, PAS yang memang tidak menjangkakan mereka akan menang dalam PRK kali ini menyebabkan mereka berani mempertaruhkan calon orang muda sebagai strategi untuk menguji sentimen.

Beliau berkata strategi PAS yang berusaha untuk memancing sokongan orang muda boleh diklasifikasikan sebagai strategi pelaburan untuk jangka masa panjang kerana jumlah undi yang menyokong mereka akan meningkat menjelang 10 tahun akan datang.

"Jika mereka terus mempraktikkan strategi ini, tidak mustahil mereka akan memperoleh sokongan yang lebih banyak dalam pilihan raya yang akan datang," katanya.

Menyentuh mengenai kelemahan strategi PAS dalam PRK ini, beliau berkata, parti itu seharusnya lebih bekerja keras dan memberi perhatian kepada pengundi tradisional yang menjadi penyokong tegar BN.

"Jika mereka bercita-cita untuk menang di kubu-kubu kuat BN dalam masa terdekat, mereka perlu memberi fokus kepada golongan pengundi tua juga yang secara jelas menunjukkan sokongan penuh terhadap BN yang sudah lama menguasai kerusi Parlimen Rompin," katanya.

Bagi penganalisis politik, Prof Datuk Abdul Halim Sidek, tindakan PAS yang mempertaruhkan Nazri memang memberikan kelebihan untuk parti itu memperoleh undi orang muda kerana beliau mempunyai kekuatan dari segi faktor umur dan faktor tempatan.

"Nazri adalah calon muda, dan beliau sebenarnya dilihat mempunyai kekuatan memahami isu-isu anak muda," katanya.

Dalam PRK semalam, BN mengekalkan kerusi Parlimen Rompin dengan majoriti 8,895 undi apabila calonnya Datuk Hasan Arifin memperolehi 23,796 undi berbanding Nazri yang memperolehi sebanyak 14,901 undi.

- Bernama

Tiada ulasan:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Artikel Terbaru

 
IdaMan - Blogger Templates, - by Templates para novo blogger Displayed on lasik Singapore eye clinic.