Cari Blog Ini

PRK Rompin : Majoriti BN Merosot, Undi Untuk PAS Naik Di Semua Peti Undi


BN kekal kerusi Parlimen Rompin dengan majoriti 8,895 undi
Barisan Nasional (BN) telah berjaya mengekalkan kerusi P.091 Rompin pada pilihan raya kecil (PRK) Parlimen itu hari ini.

Calonnya, Datuk Hasan Arifin yang merupakan bekas timbalan menteri besar Pahang, telah menewaskan calon PAS dengan majoriti 8,895, meraih jumlah undi sebanyak 23,796 undi.

Beliau yang juga pemangku Ketua UMNO Bahagian Rompin menewaskan Ketua Pemuda PAS Pahang, Nazri Ahmad yang mendapat 14,901 undi.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) membuat pengumuman itu di Pusat Penjumlahan Rasmi Undi di Dewan Jubli pada Selasa sekitar jam 10.25 malam.

Sebanyak 38 pusat mengundi telah dibuka bagi proses pembuangan undi di mana jumlah keseluruhan peti undi termasuk undi pos ialah 120 dan jumlah undi ditolak ialah 591.

PRK Rompin diadakan berikutan kematian penyandangnya, Allahyarham Tan Sri Dr Jamaluddin Jarjis yang terkorban dalam nahas helikopter pada 4 April lalu.

Menurut SPR, sebanyak 73 peratus pengundi daripada 53,294 pengundi di kawasan itu telah keluar mengundi.

Dalam Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13) lalu, Allahyarham Jamaluddin yang memperoleh 30,040 undi menang dengan majoriti 15,114 undi menewaskan calon PAS Nuridah Mohd Salleh yang mendapat 14,926 undi.


- astro awani


'Undi untuk PAS naik di semua peti undi'

[mk]- Analisa awal PAS terhadap pilihan raya kecil (PRK) Rompin, menunjukkan berlaku peningkatan undi terhadap parti itu bagi semua peti undi di Parlimen Rompin, kata Pesuruhjaya PAS Pahang, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man

Ekoran itu, katanya, parti itu telah berjaya "tingkatkan sebanyak 10.2 peratus undi popular terhadap PAS", lapor Bernama.

"Kita juga mencatatkan kemenangan bagi peti undi Felda Keratong 4 dan Keratong 2, yang sebelum ini milik BN.

"Malah berjaya tingkatkan jumlah undi di Felda Keratong 5 walaupun tewas di kawasan tersebut," kata kepada pemberita di pusat penjumlah undi PAS di Rompin malam tadi selepas pengumuman keputusan PRK itu.


Dalam PRK tersebut, BN mengekalkan kerusi tersebut dengan majoriti 8,895 undi apabila calonnya Datuk Hasan Arifin memperolehi 23,796 undi.

Manakala calon PAS Nazri Ahmad mendapatkan 14,901 undi.

Sementara itu Nazri pula berkata walaupun PAS tewas di peti undi Felda Keratong 5, yang merupakan kampung beliau dengan hanya 13 undi, parti itu bagaimanapun berjaya meningkatkan bilangan undi generasi muda.

"Kita dapat mengurangkan banyak majoriti di Keratong 5 dan saluran tiga dan empat (yang merupakan saluran untuk pengundi di bawah 39 tahun) menunjukkan peningkatan sokongan terhadap PAS.

"Insya-Allah kita akan bekerja lebih keras lagi bagi menghadapi Pilihan Raya Umum yang ke-14 akan datang," kata Nazri, yang juga Ketua Dewan Pemuda PAS Pahang.


'Rakyat telah beri isyarat, BN mesti ambil berat'

Timbalan Pengerusi BN, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata parti itu akan melakukan post-mortem mengenai punca kemerosotan undi majoriti dan kekalahan di beberapa pusat daerah mengundi dalam pilihan raya kecil (PRK) Parlimen Rompin.

"Rakyat telah memberi isyarat dan BN mesti mengambil berat," katanya dalam kenyataan malam tadi, selepas pengumuman mengenai kemenangan BN dalam PRK tersebut.

Calon BN,Datuk Hasan Arifin, 62, meraih 23,796 undi, menewaskan calon PAS Nazri Ahmad, 40, yang memperoleh 14,901 undi. BN menang dengan majoriti 8,895 undi.

PRK itu diadakan berikutan kematian penyandangnya, Tan Sri Jamaludin Jarjis, Dalam pilihan raya umum lalu, Jamaluddin mengalahkan calon PAS, Nuridah Mohd Salleh dengan majoriti 15,114 undi.

Mengulas mengenai kejayaan mengekalkan kerusi tersebut, Muhyiddin berkata ia melambangkan kepercayaan dan keyakinan rakyat yang berterusan kepada BN sebagai parti yang membela mereka.

Muhyiddin yang juga pengarah utama PRK BN, juga mengambil kesempatan itu untuk mengucapkan terima kasih kepada pengundi dan seluruh jentera BN yang bertungkus lumus berkempen memastikan kemenangan calon BN.

Ini termasuk jentera BN di peringkat pusat, negeri dan bahagian serta negeri angkat dan bahagian angkat, katanya.

"Saya berharap agar Datuk Hasan akan meneruskan usaha-usaha yang telah dilaksanakan oleh Allahyarham Tan Sri Dr Jamaluddin Jarjis dalam memberikan khidmat terbaik kepada penduduk di Parlimen Rompin dan terus membangunkan Rompin," kata Muhyiddin.

BN, tegasnya, komited untuk melaksanakan segala akujanji yang dibuat semasa kempen PRK itu.

Sementara itu, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak turut mengucapkan tahniah kepada calon Hasan atas kejayaan BN mengekalkan kerusi Parlimen Rompin.

"Tahniah Datuk Hasan Arifin atas kemenangan di PRK Rompin. Hidup Barisan Nasional!," kata Najib yang juga Pengerusi BN dalam catatan di laman Twitternya.

Di akaun Facebooknya, Najib berkata walaupun majoriti kurang berbanding PRU-13 yang lalu, BN akan mengambil ini sebagai satu iltizam.

Beliau seterusnya melahirkan keyakinan bahawa Hasan akan berkhidmat dengan cemerlang untuk terus membawa kemajuan dan pembangunan di Rompin.

- Bernama

Tiada ulasan:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Artikel Terbaru

 
IdaMan - Blogger Templates, - by Templates para novo blogger Displayed on lasik Singapore eye clinic.