Cari Blog Ini

PRK Rompin : BN Menang Rompin Dengan Majoriti Kurang Hampir Separuh, Isyarat Pengundi Kepada BN


BN menang Rompin dengan majoriti kurang hampir separuh
Barisan Nasional (BN) berjaya mengekalkan kerusi Parlimen Rompin apabila calon mereka, Datuk Hasan Arifin berjaya menewaskan calon daripada PAS Nazri Ahmad dengan majoriti 8,895 undi, lebih kecil berbanding Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13).

Hasan berjaya memperoleh 23,796 undi, manakala Nazri hanya memperoleh 14,901 undi.

Pengumuman rasmi keputusan pilihan raya kecil (PRK) Rompin dilakukan oleh Pegawai Pengurus Pilihan Raya PRK Rompin Datuk Haji Fadzilla Salleh pada jam 10.25 malam tadi, di Dewan Jubli Perak Sultan Haji Ahmad Shah di Kuala Rompin, sebentar tadi.

Calon PAS bagaimanapun tidak hadir ketika pengumuman itu dimaklumkan.

Proses pengundian bermula sekitar jam 8 pagi tadi dengan sejumlah 38 pusat mengundi dengan 115 saluran dibuka bagi membolehkan 52,744 pengundi melaksanakan tanggungjawab mereka.

Peratusan keluar mengundi pada PRK Rompin hari ini juga lebih rendah apabila hanya sekitar 74% keluar mengundi berbanding 85.9% pada PRU13 lalu.

Turut hadir dalam pengumuman itu termasuklah Menteri Besar Pahang Datuk Seri Adnan Yaakob, Setiausaha Agung Umno Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor, Ketua Wanita Umno Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil, Ketua Penerangan Umno Datuk Ahmad Maslan serta beberapa kepimpinan tertinggi BN lain.

Kawasan Parlimen Rompin mempunyai seramai 53,294 pengundi berdaftar, menyaksikan majoriti 87% merupakan pengundi Melayu yang kebanyakannya menetap di 14 petempatan Felda di seluruh kawasan Parlimen tersebut.

Manakala kelompok kedua terbesar adalah pengundi lain-lain, yang majoritinya meliputi pengundi daripada komuniti masyarakat Orang Asli, dan kaum India, sekitar 9%, diikuti pengundi kaum Cina, hanya pada kadar 2%.

Ketika PRU13, sekitar 85.9% pengundi keluar mengundi daripada sejumlah 53,596 pengundi berdaftar.

Pengundian awal yang dilakukan pada 30 April lepas, menyaksikan sebanyak 85.1% atau 464 pengundi daripada 545 pengundi awal di 4 lokasi pusat pengundi.

PRK Parlimen Rompin diadakan berikutan kematian penyandangnya,Tan Sri Dr Jamaluddin Jarjis yang maut dalam nahas helikopter pada 4 April lalu.

Pada PRU Umum ke-13, Jamaluddin mengalahkan calon PAS, Nuridah Salleh dengan majoriti 15,114 undi.

- The Malaysian Insider


       Keputusan PRK Rompin isyarat pengundi kepada BN, kata MB Pahang

Keputusan pilihan raya kecil (PRK) Rompin yang menyaksikan penurunan majoriti kemenangan Barisan Nasional (BN) daripada 15,114 undi kepada 8,895 undi merupakan isyarat pengundi kepada Putrajaya, kata Menteri Besar Pahang Datuk Seri Adnan Yaakob.

Adnan berkata, meskipun penurunan peratusan keluar mengundi turut menjadi faktor kepada penurunan majoriti BN, pengundi juga cuba menyampaikan mesej kepada kerajaan susulan keputusan tersebut.

"Pengundi cuba menyampaikan mesej kepada kerajaan, (cukai barangan dan perkhidmatan) GST dan Felda adalah isu yang memberikan kesan kepada rakyat dan kita perlu tangani," katanya ketika ditemui pemberita selepas pengumuman keputusan PRK Rompin, di Dewan Jubli Perak Sultan Haji Ahmad Shah di Kuala Rompin malam tadi.

BN berjaya mengekalkan kerusi Parlimen Rompin apabila calon mereka, Datuk Hasan Ariffin berjaya menewaskan calon daripada PAS Nazri Ahmad dengan majoriti 8,895 undi, namun dengan majoriti lebih kecil berbanding Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13).

"Pada masa ini, kita tidak mengaplikasikan komunikasi yang berkesan untuk menerangkan GST kepada rakyat.

"Melalui proses pengundian ini dan hakikatnya, pengundi hantar mesej tertentu kepada kerajaan. Menjadi tanggungjawab kita untuk menangani perkara ini," katanya.

Adnan berkata, PAS juga menggunakan isu berkenaan untuk mengelirukan pengundi-pengundi di kawasan tersebut, "Kalau tak boleh menangkan hati mereka, kelirukan mereka. Itu strategi pembangkang," katanya.

Beliau turut berkata, pihaknya sudah menjangkakan majoriti kemenangan BN dalam PRK kali ini akan merosot kepada sekitar 8,000 undi.

"Memang dijangkakan, majoriti pada awal pemilihan, tapi ketua saya tidak selesa bila saya kata kita menang 8,000...memang kita jangka.

"Saya meletakkan diri saya sebagai seorang rakyat...saya seorang pengundi," katanya, "Kalau tidak diterangkan, ia memberi kesan kepada pemikiran pengundi, (sedangkan) dasar itu bagus."

Beliau berkata, pengundi juga sudah membuat keputusan, dan sebagai pemerintah, mereka perlu muhasabah diri.

"Pengundi membuat keputusan dan kita mesti terima, kita kena muhasabah diri," tambahnya.

Adnan berkata, keputusan PRK itu juga menunjukkan sokongan kepada PAS datang daripada penyokong tegar mereka.

"PAS akan dapat undi penyokong mereka, undi mereka tidak berubah, sekitar 15,000 undi... BN turun kerana peratusan mengundi, kalau cuti selepas mengundi ia berbeza, Tapi apa pun, ia tetap majoriti," katanya.

Hasan berjaya memperoleh 23,796 undi, manakala Nazri hanya memperoleh14,901 undi.

The Malaysian Insider

Tiada ulasan:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Artikel Terbaru

 
IdaMan - Blogger Templates, - by Templates para novo blogger Displayed on lasik Singapore eye clinic.