Cari Blog Ini

Perunding Pengiklanan Terkenal Ditugaskan Pulih Imej Najib !


Tan Sri Sri Lim Kok Win dilantik sebagai ‘penyelaras program khas’ yang kini sudah menyiapkan rancangan agar Datuk Seri Najib Razak pergi ke seluruh negara bagi mengumpulkan sokongan rakyat. – Gambar Twitter, 22 Mei, 2015.
Lim Kok Wing ditugaskan pulih imej Najib [Gambar Twitter, 22 Mei, 2015]
Perunding pengiklanan terkenal Tan Sri Lim Kok Wing yang bertanggungjawab terhadap kempen pilihan raya Barisan Nasional (BN) dilantik sebagai penyelaras kempen awam baharu Datuk Seri Najib Razak dalam menepis serangan pelbagai pihak bagi memenangi hati rakyat serta meningkatkan semula sokongan terhadapnya yang semakin merosot.

Lim sebelum ini pernah menjadi orang penting ketika zaman pemerintahan Tun Dr Mahathir Mohamad. Namun bekas perdana menteri itu lantang mengkritik pentadbiran Najib pada ketika ini.

Difahamkan Lim, yang dilantik sebagai "penyelaras program khas", sudah menyiapkan rancangan agar Najib pergi ke seluruh negara bagi mengumpulkan sokongan dan mendengar aduan rakyat.

Lim yang juga pengasas dan presiden Universiti Teknologi Kreatif Limkokwing akan melaporkan terus kepada pejabat perdana menteri – sudah mempunyai rangkaian penasihat.

Lim, 69, yang menubuhkan agensi pengiklanan tempatan pertama Malaysia terlibat dalam kempen pilihan raya selama hampir empat dekad.

Pada 1994, Lim dengan rekomendasi Dr Mahathir, ditugaskan oleh mendiang Nelson Mandela dalam pilihan raya bebas pertama Afrika Selatan, memberi Kongres Kebangsaan Afrika (ANC) slogan, "Kehidupan Lebih Baik untuk Semua".

Beliau juga pernah mengelolakan beberapa program kerajaan seperti kempen anti merokok "Tak Nak" dan mempromosikan Rakan Muda serta program Satu Hati, Satu Negara.

Lantikan terbaru ini dilakukan beberapa bulan selepas Lim buat pertama kali dilantik sebagai "Goodwill Ambassador" di bawah Jabatan Perdana Menteri pada sambutan Hari Toleransi yang dianjurkan universiti beliau sendiri pada November tahun lepas.

Kini, Lim bertanggungjawab menjalankan kempen politik sepenuhnya untuk Najib yang dilanda masalah dengan Dr Mahathir yang secara terbuka meminta perdana menteri itu berundur berikutan skandal 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Lim memulakan firma pengiklanan tempatan pertama Malaysia pada 1975 dan kemudiannya mula menubuhkan Universiti Limkokwing yang pada awalnya dikenali sebagai kolej pada 1991.

Beliau turut terlibat sebagai salah seorang panel perunding dan pencegahan rasuah dalam Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Lim kini akan bersama-sama dengan empat penasihat rasmi Najib – Datuk Seri Dr Abdullah Md Zin, Datuk Johari Baharum, Tan Sri Rais Yatim dan Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil.

Baru-baru ini media melaporkan yang firma perhubungan awam, Paul Stadlen daripada Apco Malaysia juga didakwa berkhidmat dengan pasukan komunikasi khas kepada perdana menteri itu.

Bagaimanapun status mengenai peranan Stadlen dalam kerajaan masih tidak jelas dengan Putrajaya mengatakan mereka tidak membuat pembayaran kepada bekas bos Apco Malaysia itu.

"Setakat ini, kerajaan tidak membayar apa-apa kepada Paul Stadlen," kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Shahidan Kassim menjawab soalan Mohamed Hanipa Maidin (PAS-Sepang) dalam jawapan bertulis di Parlimen minggu ini.

Hanipa bertanya mengenai jumlah yang dibayar kepada Stadlen yang kononnya ahli pasukan komunikasi pejabat perdana menteri.

Namun, jawapan itu tidak menyebut mengenai sama ada Stadlen adalah sebahagian daripada pasukan itu.

The Malaysian Insider

Tiada ulasan:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Artikel Terbaru

 
IdaMan - Blogger Templates, - by Templates para novo blogger Displayed on lasik Singapore eye clinic.