Cari Blog Ini

Pencalonan Sikit Bukan Petanda Mat Sabu Kalah Pemilihan PAS, Kata Penganalisis



Pencalonan Timbalan Presiden PAS Mohamad Sabu yang sedikit berbanding Naib Presiden PAS Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man dalam merebut kerusi timbalan presiden bukanlah terjemahan sebenar apa yang akan berlaku dalam pemilihan parti Islam itu pada Jun ini, kata penganalisis politik.

Profesor Madya Dr Shaharudin Badarudin dari Universiti Selangor berkata, Mohamad atau lebih dikenali sebagai Mat Sabu dalam pemilihan sebelum ini juga tidak mendapat banyak pencalonan tetapi tetap berjaya memenangi jawatan nombor dua dalam PAS itu.

“Pencalonan yang dibuat kawasan tidak semestinya akan terjelma dalam trend pengundian. Yang penting perkara itu melayakkan Mohamad bertanding sebagai timbalan presiden.

“Walaupun itu boleh dijadikan kayu ukur tetapi ia bukan mutlak dalam konteks pemilihan kerana ia tergantung kepada undi perwakilan,” katanya kepada The Malaysian Insider.

Mohamad sehingga ke saat ini belum memberikan kata putus untuk mempertahankan jawatannya walaupun mendapat 12 pencalonan berbanding Ibrahim dengan 94 pencalonan.

Dua lagi calon yang layak merebut jawatan timbalan presiden ialah Timbalan Menteri Besar Kelantan Datuk Mohd Amar Nik Abdullah dan Naib Presiden PAS Datuk Husam Musa.

Pengarah Institut Asia, Universiti Tasmania Prof James Chin pula berkata pencalonan Mohamad yang sedikit bukanlah menunjukkan ahli PAS menolaknya tetapi tidak gembira dengan pendekatannya yang mesra kepada Pakatan Rakyat (PR).

Katanya, sudah terlewat bagi Mohamad untuk menarik diri daripada bertanding dalam jawatan timbalan presiden yang berkemungkinan berdepan kekalahan.

“PAS boleh terselamat tetapi kebimbangan yang lebih besar ialah PAS meninggalkan PR jika Mohamad tewas,” katanya.

Bagaimanapun, Dr Wong Chin Huat dari Penang Institute berkata, bilangan pencalonan bukanlah menggambarkan kekalahan Mohamad kerana akhirnya perwakilan semasa pemilihan yang akan membuat keputusan.

Katanya, walaupun Tuan Ibrahim mendahului daripada bilangan pencalonan tetapi ia tidak boleh diterjemahkan kepada kekuatan sokongan semasa hari pemilihan.

“Berdasarkan pencalonan saya bersetuju Tuan Ibrahim mendapat lebih sokongan tetapi ia tidak menunjukkan kekuatan sokongan.

“Dia (Mohamad) harus pertahankan jawatannya kerana dalam pemilihan PAS ada dua kem, Jadi keputusannya terpulang kepada kem yang pro Pakatan,” katanya kepada The Malaysian Insider.

Mengulas mengenai peluang Mohamad dalam pemilihan kali ini, Shaharudin berkata pertandingan satu lawan satu tidak memberi kelebihan kepada Mohamad.

Katanya, kelompok ulama dan progresif perlu mengadakan rundingan bagi meletakkan calon yang sesuai untuk bertanding merebut jawatan timbalan presiden.

“Pertembungan itu kalau berlaku pun biarlah satu lawan satu dan bukan pertembungan 3 penjuru, “Pada Mat Sabu, dua pemilihan lalu, beliau bernasib baik sebab pertandingan 3 penjuru yang menguntungkan Mat Sabu.

“Tetapi tidak tahulah kalau kali ini 2 penjuru pertembungannya agak sengit. Kalau 3 penjuru tidak tahulah siapa yang akan berjaya nanti,” katanya.

Chin meramalkan puak konservatif yang dikepalai Datuk Seri Abdul Hadi Awang akan menang besar dalam pemilihan PAS kali ini.

Katanya, golongan penyokong Datuk Seri Anwar Ibrahim di dalam PAS yang juga dikenali sebagai Anwarinas akan dipinggirkan puak konservatif.

“Ahli PasMa mungkin bergerak mendaftar parti baru. Ia bergantung kepada sokongan PasMa di kalangan akar umbi ahli PAS,” katanya merujuk kepada pertubuhan pro PR dalam PR yang digelar Pertubuhan Ummah Sejahtera Malaysia.

Bagaimanapun, Shaharudin berkata tidak kira golongan ulama mahu pun profesional yang memenangi pemilihan Jun ini, PAS tidak seharusnya meninggalkan PR.

Katanya, jika masih wujud golongan yang masih mahu PAS meninggalkan PR maka parti Islam itu akan berdepan dengan ‘kecederaan’ paling teruk.

“Tidak kira mana kumpulan pun yang akan berjaya dalam pemilihan kali ini, kalau boleh PAS masih dalam PR kerana dalam PR itulah banyak menguntungkan PAS daripada sudut pilihan raya umum (PRU) 2008 dan 2013.

“Kalau presiden dan timbalan terdiri daripada kalangan ulama tidak semestinya ketiga-tiga naib presiden ulama. Tidak semestinya ahli jawatankuasa juga ulama.

“Nombor satu penting diketengahkan ulama dan tidak kepada jawatan lain,” katanya.

The Malaysian Insider

Tiada ulasan:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Artikel Terbaru

 
IdaMan - Blogger Templates, - by Templates para novo blogger Displayed on lasik Singapore eye clinic.