Cari Blog Ini

Pemimpin Umno Gesa 1MDB Jangan Membisu Isu Tuntutan Hutang Kepada 6 Bank, 1MDB Enggan Ulas


Pengarah Eksekutif Kumpulan 1MDB, Arul Kanda Kandasamy berkata 1MDB bercadang akan mendedahkan butiran tentang pinjaman bank tersebut, tetapi hanya selepas mereka tidak terikat dengan perkara perbankana sulit. – Gambar Reuters, 13 Mei, 2015.
Pengarah Eksekutif Kumpulan 1MDB, Arul Kanda Kandasamy berkata 1MDB bercadang akan mendedahkan butiran tentang pinjaman bank tersebut, tetapi hanya selepas mereka tidak terikat dengan perkara perbankana sulit
               1MDB enggan ulas, anggap pinjaman RM3.6 bilion ‘perkara sulit’

1Malaysia Development Berhad (1MDB) enggan memberi sebarang komen mengenai status pinjaman AS$975 juta (RM3.6 billion) daripada konsortium 6 bank luar negara, dengan memberi alasan ia merupakan "perkara perbankan sulit".

Presiden dan Pengarah Eksekutif Kumpulan 1MDB, Arul Kanda Kandasamy dalam jawapan balas emel kepada The Malaysian Insider tentang persoalan tersebut, bagaimanapun, memberi jaminan maklumat selanjutnya akan diberi apabila mereka berupaya melakukannya.

"Kami sedar tentang laporan media dan kenyataan berhubung pinjaman yang diambil 1MDB pada September 2014.

Walaupun kami ingin memberi maklum balas terperinci, ia berkait dengan perkara perbankan yang sulit, menghalang kami daripada memberi komen tentangnya buat masa ini.

Bagaimanapun, kami berniat mengumumkan kepada pasaran sebaik kami boleh lakukannya," katanya.

Akhbar Business Times dari Singapura hari ini melaporkan 6 bank diketuai Deutsche Bank mula "gelisah" dan mahu syarikat itu menyelesaikan hutangnya.

Ini kerana pinjaman itu dicagarkan menerusi AS$1.103 bilion milik anak syarikat 1MDB, Brazen Sky, wang yang kini disimpan di sebuah bank swasta Switzerland di Singapura, BSI Singapore Bank.

Akhbar perniagaan itu memetik sumber berkata dokumen cagaran Brazen Sky didakwa "tidak lengkap" kerana tidak memenuhi syaratnya, dan ini membolehkan konsortium bank tersebut menuntut hutang lebih awal sebelum akhir Ogos.

"Apa yang pada awalnya dianggap sebuah pinjaman yang bersandarkan cagaran yang amat ketat kini membimbangkan bank," kata sumber dipetik akhbar itu.

Semalam, Ahli Parlimen Pandan, Rafizi Ramli mendedahkan menerima maklumat yang syarikat dana pelaburan negara bermasalah itu menyenaraikan akaun yang "diragui" di dalam BSI Singapore sebagai cagaran.

Beliau berkata sekiranya ini benar, 1MDB mungkin terpaksa menggunakan peruntukan awam untuk menepati tarikh akhir pada September, memandangkan akaunnya di BSI dilaporkan tidak mempunyai wang.

Pada 22 April, laman Sarawak Report berkata akaun 1MDB dalam BSI hanya mengandungi "aset kertas" dan "nilai sebenarnya tidak dapat dikenalpasti".

"Pinjaman sebesar ini semestinya akan mempunyai cagaran, Maklumat yang saya terima adalah cagaran untuk pinjaman ini adalah wang di dalam akaun BSI Singapore, yang dilaporkan sebagai tidak wujud," kata Rafizi.

Kritikan semakin memuncak terhadap syarikat pelaburan yang dimiliki sepenuhnya oleh Kementerian Kewangan dan ditubuhkan pada 2009 itu, selepas hutangnya mencecah RM42 billion.

Menteri Kewangan II, Datuk Seri Ahmad Husni Hanadzlah sebelum ini mendedahkan Putrajaya meluluskan kemudahan pinjaman RM950 juta untuk 1MDB, di mana RM600 juta sudah pun digunakan.

Isu 1MDB bertambah sengit berikutan pendedahan Sarawak Report, yang menambah tekanan terhadap Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak dan mencetuskan tuntuan dari ahli politik pembangkang, pemimpin Umno veteran dan badan anti-rasuah supaya siasatan mendalam dilakukan.

- The Malaysian Insider


     Pemimpin Umno gesa 1MDB jangan membisu isu tuntutan hutang RM3.4 bilion

1Malaysia Development Berhad (1MDB) terus menerima tekanan berhubung kedudukan kewangannya apabila Ahli Parlimen Kepala Batas, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican (gambar) menggesa pengurusan syarikat itu menjawab segera laporan media ia perlu segera membayar balik AS$975 juta (RM3.52 bilion) kepada 6 bank.

Reezal Merican
"Saya menggesa pengurusan 1MDB menjawab dahulu isu yang dilaporkan oleh pihak media ini.

"Tempoh mutakhir ini bukan waktunya untuk 1MDB berdiam diri dan membisu.

"Tidak ada istilah 'elegant silence' dalam isu seperti ini," kata Reezal dalam kenyataannya.

Akhbar Business Times dari Singapura hari ini melaporkan 6 bank diketuai Deutsche Ban kini menuntut 1MDB menjelaskan hutang RM3.52 bilion, 4 bulan sebelum tarikh akhir penyelesaiannya.

Ia berikutan pinjaman itu dicagarkan menerusi AS$1.103 bilion milik anak syarikat 1MDB, Brazen Sky, wang yang kini disimpan di sebuah bank swasta Switzerland di Singapura, BSI Singapore Bank.

Reezal berkata kelewatan 1MDB dalam menjawab isu yang dilontarkan terhadap mereka merupakan sesuatu yang "sangat tidak bertanggungjawab".

"Saya cukup yakin, sebagai kumpulan 'profesional', pengurusan kanan 1MDB ada jawapan kepada persoalan-persoalan yang ditimbulkan ini.

"Sayangnya, mereka tidak mengambil tindakan yang cepat dan gemar melihat persepsi buruk terbina terlebih dahulu," katanya, Katanya, sikap 1MDB bakal memburukkan Barisan Nasional (BN) di mata rakyat.

"Selagi mereka lewat membuat tindakan, selagi itulah isu 1MDB 'bernanah' di mata rakyat, sekali gus mencabar wibawa dan integriti kerajaan.

"Ada ungkapan, 'Beritahu perkara sebenar, atau ada orang lain yang buat begitu', "1MDB mesti lebih pantas menjawab isu," katanya.

The Malaysian Insider


PKR gesa Najib jelaskan bagaimana 1MDB akan bayar hutang kepada 6 bank antarabangsa

PKR hari ini menggesa Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak menjelaskan bagaimana syarikat sarat hutang 1Malaysia Development Berhad (1MDB) akan menjelaskan pinjaman kepada 6 bank antarabangsa selepas melanggar syarat, ia susulan pendedahan akhbar perniagaan berpangkalan di Singapura.

Business Times Singapura hari ini melaporkan, 6 bank diketuai Deutsche Bank kini dalam usaha memaksa 1MDB menyelesaikan hutang AS$975 juta (RM3.52 bilion) 4 bulan sebelum tarikh akhir penyelesaiannya.

"Datuk Seri Najib Razak wajib memberikan kenyataan segera bagaimana 1MDB bercadang membayar hutang RM3.6 bilion yang boleh dituntut bila-bila masa ini," kata Setiausaha Agung PKR Rafizi Ramli dalam satu kenyataan hari ini mengenai pendedahan terbaru akhbar tersebut.

Pendedahan terbaru itu juga menurut Rafizi mengesahkan dakwaannya semalam yang mengatakan hutang RM3.6 bilion tersebut diambil dengan memberi cagaran.

"Laporan akhbar Business Times pada hari ini mengesahkan pendedahan saya semalam bahawa hutang RM3.6 bilion ini diambil dengan memberi cagaran simpanan dana AS$1.1 bilion yang kononnya disimpan oleh 1MDB di Bank BSI di Singapura.

"Oleh kerana laporan terkini menyebut dana AS$1.1 bilion ini mungkin tidak wujud, ia mewujudkan keadaan panik di kalangan 6 bank antarabangsa tersebut yang bimbang 1MDB tidak boleh membayar hutang RM3.6 bilion itu," katanya.

Rafizi juga berkata jika 1MDB gagal menjelaskan tuntutan hutang daripada 6 bank tersebut, ia bermakna syarikat tersebut juga gagal memenuhi tuntutan bayaran bagi semua RM42 bilion hutang dimilikinya.

"Ini bermakna, jika tuntutan bayaran hutang RM3.6 bilion oleh 6 bank antarabangsa ini gagal dipenuhi dalam masa terdekat, 1MDB secara undang-undangnya gagal memenuhi tuntutan bayaran bagi kesemua RM42 bilion hutangnya," katanya.

Lebih parah lagi, situasi tersebut akan menggugat kestabilan kewangan negara, kata Rafizi.

"Oleh itu, ramalan awal saya bahawa satu hari nanti hutang-hutang 1MDB ini membawa risiko besar kepada kestabilan kewangan negara (systemic risk to the financial system) kini mungkin menjadi kenyataan.

"Ini menafikan jaminan yang dibuat oleh pimpinan Barisan Nasional termasuklah Khairy Jamaluddin yang kononnya 1MDB bukanlah satu risiko kepada kestabilan kewangan negara," katanya.

Business Times hari ini melaporkan 6 bank tersebut mula risau ekoran dokumen cagaran Brazen Sky didakwa "tidak lengkap" kerana tidak memenuhi syaratnya, dan ini membolehkan konsortium bank tersebut menuntut hutang lebih awal sebelum akhir Ogos.

1MDB yang ditubuhkan di bawah Kementerian Kewangan pada 2009 dikritik hebat apabila mengumpul hutang sebanyak RM42 bilion.

Menteri Kewangan Kedua Datuk Seri Ahmad Husni Hanadzlah sebelum ini mendedahkan Putrajaya meluluskan kredit sedia ada kepada 1MDB sebanyak RM950 juta dan RM600 juta sudah digunakan.

- The Malaysian Insider


6 bank mahu 1MDB bayar segera RM3.5 bilion selepas langgar syarat, lapor akhbar

Masalah 1Malaysia Development Berhad (1MDB) berterusan lagi, yang terkini apabila ia perlu menjelaskan hutang AS$975 juta (RM3.52 bilion) empat bulan sebelum tarikh akhir penyelesaiannya, lapor harian perniagaan Singapura, Business Times.

Enam bank diketuai Deutsche Bank kini dalam usaha memaksa syarikat itu menyelesaikan hutangnya kerana pinjaman itu dicagarkan menerusi AS$1.103 bilion milik anak syarikat 1MDB, Brazen Sky, wang yang kini disimpan di sebuah bank swasta Switzerland di Singapura, BSI Singapore Bank.

Business Times melaporkan enam bank tersebut mula risau ekoran dokumen cagaran Brazen Sky didakwa "tidak lengkap" kerana tidak memenuhi syaratnya, dan ini membolehkan konsortium bank tersebut menuntut hutang lebih awal sebelum akhir Ogos.

"Susulan kontroversi ini, apa yang pada awalnya dianggap sebuah pinjaman yang bersandarkan cagaran yang amat ketat kini membimbangkan bank," kata akhbar itu memetik sumber.

Dalam situasi terburuk, sekiranya jumlah itu gagal dibayar, 1MDB juga berdepan kegagalan melangsaikan hutang sebanyak AS$15.5 bilion (RM42 bilion).

"Kemungkinan ini sudah lama disebut-sebut pengkritik," laporan itu dipetik.

Pihak terlibat kini sedang berbincang mengelakkan krisis berkenaan pinjaman tersebut.

Deutsche Bank Singapura yang dihubungi Business Times tidak dapat memberi komen, sementara 1MDB sebelum ini berkata ia tidak akan mengulas sebarang spekulasi atau khabar angin pasaran.

Pada 22 April, laman Sarawak Report berkata akaun 1MDB di BSI Singapore mengandungi "aset atas kertas semata-mata" dan "nilai sebenarnya tidak dapat ditentukan".

Semalam, Ahli Parlimen PKR Rafizi Ramli menyatakan kerisauan sama ada 1MDB boleh membayar hutangnya yang bakal matang.

Dakwanya, beliau mempunyai maklumat dana pelaburan negara itu menyenaraikan akaunnya di BSI Singapore "yang diragui" sebagai cagaran.

Jika benar, kata Rafizi, 1MDB mungkin menggunakan dana awam untuk memenuhi tarikh akhir pembayaran pada September ini, memandangkan akaunnya di Bank BSI sebenarnya tidak memiliki wang tunai.

Business Times dalam laporannya turut maklum isu hutang 1MDB ini melibatkan beberapa bank seperti BSI, RBS Coutts dan Deutsche Bank.

Menurutnya, Penguasa Kewangan Singapura (MAS) membantu pihak berkuasa Malaysia menyiasat akaun firma itu yang bermasalah.

Ia berkata beberapa bank, termasuk BSI Singapore, akan mengambil tindakan undang-undang jika "kes ini menjadi semakin serius dan tuntutan dibuat terhadap mereka".

"Ia langkah berjaga-jaga yang biasa dilakukan," kata sumber itu.

Akhbar itu juga berkata seorang pegawai BSI Singapore yang mungkin berurusan dengan 1MDB diarahkan bercuti dan beliau juga dipercayai mengupah peguam.

Seorang peguam yang tidak dinamakan berkata: "MAS adalah penyelia yang berhati-hati dan cermat dan ada banyak kuasa untuk memperoleh maklumat daripada bank dengan cepat.

"Persoalannya kini adalah sama ada kemelut membabitkan bank Singapura ini adalah tentang kegagalan mematuhi amalan terbaik atau pencabulan yang terletak di bawah bidang kuasa badan penyelia lain seperti CAD (Jabatan Hal Ehwal Komersial) dan polis".

1MDB yang ditubuhkan di bawah Kementerian Kewangan pada 2009 dikritik hebat apabila mengumpul hutang sebanyak RM42 bilion.

Menteri Kewangan Kedua Datuk Seri Ahmad Husni Hanadzlah sebelum ini mendedahkan Putrajaya meluluskan kredit sedia ada kepada 1MDB sebanyak RM950 juta dan RM600 juta sudah digunakan.

- The Malaysian Insider

1 ulasan:

Miss Vee berkata...

This Is What Women Really Want !!
>>> KLIK HERE !! <<<

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Artikel Terbaru

 
IdaMan - Blogger Templates, - by Templates para novo blogger Displayed on lasik Singapore eye clinic.