Cari Blog Ini

Pembelian Tanah Oleh Tabung Haji Daripada 1MDB : "Wang Ini Bukan Milik Tabung Haji - Mahathir", "Sokong Kenyataan Pemuda Umno - Muhyiddin", "Pemuda Umno Tumpang Musykil - Khairy"


Mahathir: TH memang 'bailout' 1MDB

[mk]- Walaupun menteri Umno menafikan, Tun Dr Mahathir Mohamad menegaskan bahawa pembelian tanah dalam projek 1Malaysia Developement Bhd (1MDB) oleh Tabung Haji sebagai tindakan penyelamatan.

“Wang tabung haji adalah dari pencarum dan Tabung Haji hanya diamanahkan untuk mengurus dengan baik, dengan cara yang dihalalkan oleh Islam.

"Wang ini bukan milik Tabung Haji.

“Amatlah menyedihkan apabila wang ini diguna untuk bailout (pemulihan) hutang 1MDB,” katanya merujuk urus niaga tanah di Tun Razak Exchange (TRX).

Menulis di blognya hari ini, Mahathir berkata rancangan 1MDB itu perlu dibatalkan segera kerana Pencarum berharap duit yang disimpan dengan Tabung Haji diurus untuk kebaikan mereka.

“Inikah cara Tabung Haji mengguna duit orang ramai yang diamanahkan kepadanya,” soalnya.

“Pencarum berharap duit yang disimpan dengan Tabung Haji diurus untuk kebaikan mereka tetapi wang ini diguna untuk menyelamatkan 1MDB yang telah hilangkan berbilion ringgit.”

Menteri: Pelaburan bukan penyelamatan

Beliau mendakwa urus niaga yang mendapat perhatianbanyak pihak itu juga membolehkan 1MDB mendapat untung besar.

”Tanah Tun Razak Exchange seluas 70 ekar dibeli oleh 1MDB dengan harga RM194.1 juta untuk 70 ekar.

"Sekarang Tabung Haji membeli satu setengah ekar dengan harga 188.5 juta ringgit, hampir sama dengan harga 1MDB beli 70 ekar, Untung besarlah 1MDB.

“Sebenarnya tanah ini, asalnya untuk mengadakan pusat dagangan bumiputera.

"Tetapi 1MDB telah mengenepikan projek ini,” katanya lagi.

Menteri Umno Datuk Abdul Rahman Dahlan (atas), ketika mengulas dakwaan penyelamatan 1MDB oleh Tabung Haji, menulis di Twitter bahawa terdapat perbezaan antara penyelamatan dan pelaburan.




Muhyiddin sokong kenyataan Pemuda Umno

Tan Sri Muhyiddin Yassin menyokong kenyataan Pemuda Umno yang mahukan Kementerian Kewangan dan Lembaga Tabung Haji (Tabung Haji) memberi penjelasan berhubung pembelian sebidang tanah oleh Tabung Haji daripada 1Malaysia Development Berhad (1MDB) di Tun Razak Exchange (TRX) di Kuala Lumpur.
 
Timbalan perdana menteri berkata walaupun transaksi jual beli itu sah dan berdasarkan kesediaan pembeli-kesediaan penjual, para penyimpan Tabung Haji melihatnya seolah-olah mereka terpaksa menanggung beban 1MDB.
 
Muhyiddin, yang juga timbalan presiden Umno berkata demikian kepada media Malaysia di Milan pada Jumaat.
 
Beliau dalam rangka lawatan kerja rasmi tiga hari ke sini sejak semalam.

Dalam kenyataannya, Pemuda Umno menzahirkan kebimbangan berhubung pembelian tanah itu daripada 1MDB yang bernilai RM188.5 juta.
 
Pemuda Umno meminta supaya penjelasan dibuat bagaimana transaksi pembelian tanah itu dilakukan.

Sementara itu, Muhyiddin berkata pengajaran utama BN daripada Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Rompin dan PRK Parlimen Permatang Pauh baru-baru ini adalah rakyat mahukan jawapan konkrit dan tindakan segera kerajaan terhadap isu-isu berbangkit.
 
Menurutnya, rakyat mahu kerajaan tidak memandang remeh terhadap isu-isu semasa.
 
"Kita kena lihat pendekatan baru dalam tangani isu-isu rakyat," katanya kepada media Malaysia apabila ditanya mengenai pengajaran utama yang boleh dipelajari BN daripada PRK Rompin dan PRK Permatang Pauh.

PRK Rompin diadakan pada 5 Mei lepas yang menyaksikan BN mengekalkan kerusi itu menerusi calonnya Datuk Hasan Arifin manakala PRK Permatang Pauh semalam dimenangi Presiden PKR Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail.

Muhyiddin berkata pada pandangan rakyat, isu berkenaan mesti diuruskan secepat mungkin dan tidak membiarkannya berlarutan.

"Ini bermakna setiap isu berbangkit yang dihadapi rakyat yang dibawa ke muka kerajaan, mesti diurus dan ditangani secepat mungkin...sama ada jawapan ke,penambahbaikan ke," katanya.

Antara isu-isu semasa yang dibangkitkan pada kedua-dua PRK itu ialah mengenai pelaksanaan Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) dan 1MDB.
 
Muhyiddin berkata respons daripada rakyat menunjukkan mereka mahukan kerajaan memberikan maklum balas yang cepat dan sesuai dengan perkembangan maklumat masa nyata yang terdapat di media sosial.
 
"Pada pandangan rakyat, sikap 'defensive' (mempertahankan diri) tidak membantu dalam jangka masa panjang. Sikap 'offensive' (strategik) mestilah bersedia dengan jawapan untuk rakyat," katanya.

Timbalan perdana menteri berkata di sudut pandangan rakyat, mereka mahukan jawapan dan kebenaran.
  
Ditanya mengenai analisis awal BN terhadap keputusan PRK Parlimen Permatang Pauh, Muhyiddin berkata eksploitasi pembangkang terhadap isu berbangkit menjadi antara punca kekalahan BN.
 
Analisis awal itu juga menunjukkan rakyat tidak tertarik lagi dengan isu-isu pembangunan yang diutarakan semasa berkempen, sebaliknya mereka lebih menumpukan kepada isu-isu semasa.
 
Kegagalan BN menjawab isu semasa, sebagai contoh mengenai 1MDB, telah dieksploitasikan oleh pembangkang, kata beliau.
 
Muhyiddin berkata analisis menyeluruh mengenai keputusan PRK itu perlu dibuat bagi mengelak ia menjadi trend sehingga boleh menjejaskan keputusan pilihan raya umum kelak.

- Bernama


1MDB jual tanah, Pemuda Umno tumpang musykil

[mk]- Pemuda Umno mengesyaki wujud konflik kepentingan dalam jualan tanah 1Malaysia Development Bhd kepada Tabung Haji (TH) dengan harga RM188.5 juta yang mencetuskan kontroversi.

Dalam kenyataannya, Pemuda Umno antara lainnya membangkitkan bahawa ketua pegawai eksekutif TH, Tan Sri Ismee Ismail, juga merupakan ahli lembaga 1MDB.

“Apakah wujud konflik kepentingan lain yang melibatkan pegawai kanan TH dalam transaksi ini?,” kenyataan itu dipetik.

Pemuda Umno juga mahu kementerian itu menyatakan dengan khusus harga asal yang dibayar oleh 1MDB untuk mendapatkan tanah berkenaan.

“Apakah benar pembelian bidang tanah yang dibuat di kawasan berhampiran dibeli pada harga yang lebih redah daripada apa yang dibayar oleh TH untuk tanah ini?,” soalnya.

Naib presiden PAS, Datuk Husam Musa semalam menyebut, tanah yang dijual kepada TH itu pada asalnya hanya diperolehi dengan harga RM4 juta oleh 1MDB.

Kenyataan itu, yang menuntut penjelasan dari Kementerian Kewangan, diedarkan kepada media hari ini dan turut dimuatkan di laman Facebook ketua Pemuda Umno, Khairy Jamaluddin.

Khairy sebelum ini sudah berulang kali meminta Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak menjawab persoalan yang dikemukakan bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad berhubung isu 1MDB.

Dalam kenyataan hari ini, Pemuda Umno turut mengulangi gesaan yang disuarakan PAS dan Angkatan Belia Islam Malaysia (Abim) semalam berhubung keraguan mengenai syarat penjualan tanah itu.

Khususnya, ia merujuk kepada dakwaan bahawa Tabung Haji mendapat diskaun untuk membeli tanah seluas 1.56 ekar itu jika menunaikan bayaran sebaik menandatangani perjanjian

Syarat tersebut didedahkan dalam satu dokumen yang tersebar di satu blog pada hari Rabu lalu.

Najib yang juga presiden Umno merupakan menteri kewangan dan juga pengerusi lembaga penasihat 1MDB.

Pengerusi Lembaga Tabung Haji pula adalah Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim, seorang anggota majlis tertinggi Umno.

Tiada ulasan:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Artikel Terbaru

 
IdaMan - Blogger Templates, - by Templates para novo blogger Displayed on lasik Singapore eye clinic.