Cari Blog Ini

Menabur Fitnah Sudah Menjadi Budaya Kumpulan Pro-Ulama !


Harapan tinggi kepada PAS terhempas oleh A Shukur Harun
Demikian ramai pendukung PAS melihat dengan penuh kekecewaan akan wajah PAS masa kini. Ada yang sangat bimbang, malah marah.

Wajah parti Islam yang sudah berumur 61 tahun itu kelihatannya, tidak ceria, kusut masai, murung bagaikan pesakit kronik yang sukar sembuh dan penuh masalah yang tidak terselesaikan,

Sepatutnya parti itu dilihat teguh, meyakinkan kerana sudah begitu berpengalaman serta menempuh pelbagai cabaran yang hebat sepanjang sejarahnya.

Pendukung PAS berhak merasakan bimbang, kecewa, malah marah atas apa yang berlaku di dalam PAS yang akan bermuktamar ke-61 awal tahun depan.

Mereka selama ini menggantungkan harapan tinggi kepada PAS sebagai sebuah parti politik Islam yang boleh membela ummah.

Malah golongan bukan Islam banyak memberi sokongan sejak Pilihan Raya Umum ke-12 dan 13 kerana konsep “PAS For All” yang didukung oleh PAS.

Tetapi kini, semua harapan mereka terhempas, justeru PAS dilanda krisis berat yang hingga kini belum ada sebarang usaha untuk memulihkannya. Konsep “PAS For All’ entah ke mana.

Dari jurang krisis itu tercetuslah label melabel, kata-kata seperti barua, Islam sekular, munafik haraki, malah syaitan serta umpat keji dan kata-kata kesat yang dahsyat.

Ada pula tuduhan kononnya wujud golongan di dalam PAS yang berusaha untuk menyelewengkan dasar Islam, lari dari perjuangan asal PAS, konon hendak menjadikan PAS sebagai parti sekular dan pelbagai lagi tuduhan, malah fitnah yang tidak pernah kita fikirkan boleh tercetus di dalam jemaah PAS di mana pendukungnya melalui tarbiah – usrah, tamrin, mukhayyam, pelbagai kuliah mengenai pembentukan akhlak sejak puluhan tahun.

Ramai yang bertanya di mana menghilangnya nilai ukhuwah, persaudaraan Islam yang dibina sekian lama di dalam jemaah PAS yang selama ini menjadi nilai paling mulia di dalam warga PAS. Kini semuanya musnah. Ada ahli yang jujur menitiskan air mata mengenangkan hal ini.

Ada pihak yang mengumpamakan krisis di dalam PAS ini seperti kapal raksasa “Titanic British”, yang musnah di lautan Atlantik kerana terlanggar batu salji yang sangat besar ketika belayar di lautan itu.

Pembuat kapal itu dengan angkuhnya memberitahu, kononnya tidak ada satu pun makhluk di bumi ini yang boleh memusnahkan kapal hebat itu kerana ia dibina sedemikian rupa.

Kapten kapal itu pula, ketika dalam pelayaran, dengan angkuh tidak mahu mendengar nasihat beberapa pakar lautan di dalam kapal Titanic itu sendiri yang menasihatinya supaya mengubah laluan disebabkan laluan yang hendak ditempuh banyak batu besar salji yang sangat merbahaya, yang boleh memusnahkan kapal itu jika melanggarnya.

Akhirnya Titanic itu melanggar batu besar itu dan tenggelam, semuanya tidak dapat diselamatkan, termasuk ahli orkestra yang menghiburkan penumpang kapal itu.

Kini kapal Titanic yang hebat itu hanya menjadi sejarah. Tenggelam bersama keangkuhan manusia, kaptennya tidak mendengar nasihat dan menentang kehendak alam.

Jika krisis di dalam PAS ini tidak ditangani segera maka parti itu akan kehilangan haibah dan izzahnya sebagai parti Islam tersohor.

Perlulah dikenal pasti segera akan masalah yang ada di dalam PAS, Iaitu perpecahan yang dicetuskan oleh perbuatan label melabel, kata-kata seperti barua, Islam sekular, munafik haraki, malah syaitan serta umpat keji dan kata-kata nista yang sangat buruk, ditambah sikap berpuak-puak yang merebak hingga di peringkat cawangan dan kawasan.

Malah ada lagi fitnah besar yang menuduh konon ada golongan yang berpendapat bahawa ada pihak yang sanggup menggadaikan Islam demi “rakus” mengutamakan kemenangan terlebih dulu.

Juga menuduh ada pihak yang berpendapat menang dulu, barulah kita fikir macam mana Islam. Ini sebuah kenyataan yang sangat naif.

Sejak bila golongan progresif di dalam PAS yang mereka musuhi ini hendak menyelewengkan dasar perjuangan PAS dan mengetepikan reda Allah. Ini tuduhan yang sangat dahsyat.

Apabila semua tuduhan  ini hanya berdasarkan andaian, persepsi melulu dan tidak dapat dibuktikan maka ia menjadi fitnah dan inilah sumber utama yang menimbulkan krisis berat di dalam PAS.

Sikap golongan konservatif inilah yang menyebabkan tersingkirnya beberapa tokoh terbaik dalam PAS di mesyuarat PAS peringkat kawasan dan mungkin juga penyingkiran ini akan berlanjutan hingga ke pemilihan peringkat pusat di muktamar PAS awal Jun ini, Kemungkinan ini tidak mustahil.

Jika tokoh terbaik itu yang menunjukkan prestasi cemerlang mereka terhadap parti selama ini ditewaskan oleh golongan konservatif ini dalam pemilihan di muktamar nanti, maka apalah lagi yang tinggal di dalam PAS untuk melayari bahtera perjuangannya pada masa depan.

Yang tinggal di dalam PAS ketika itu hanya retorik, permusuhan, kebencian, mengumpul semakin ramai musuh, membuang kawan dan memandang sebelah mata akan golongan yang tidak sealiran dengan mereka dan mengucapkan selamat tinggal kepada Pakatan Rakyat.

Berlegarlah PAS di sekitar kawasan Melayu dan kampung halamannya saja.

Kita ingin bertanya lagi sejak bila golongan yang dibenci ini menyeleweng dan tidak istiqamah dengan dasar perjuangan PAS.

Pada hal terbukti dalam sejarahnya mereka yang dituduh inilah yang menabur bakti, berjuang dalam PAS dengan penuh istiqamah sejak zaman berzaman, pada ketika “ustaz muda” ini masih belajar di timur tengah.

Oleh itu, saya tertarik membaca buku “Melakar Agenda – Masa Depan Politik Islam di Malaysia” oleh Ahli Jawatankuasa PAS Pusat Datuk Dr Mujahid Yusuf Rawa, yang menyebut mengenai simptom yang mencetuskan krisis berat di dalam PAS sekarang.

Antara lain, beliau menyebut bahawa kecelaruan sesetengah ahli PAS, khususnya yang baru mengenali erti organisasi dan perjuangan PAS, menimbulkan pelbagai kekecohan.

Katanya, mereka mengangkat diri konon sebagai pejuang yang hendak mempertahankan PAS dari “unsur yang melarikan PAS jauh dari asalnya”.

Namun, katanya, selepas meneliti tindak tanduk mereka ini, khususnya yang pulang dari Mesir, serta menggelar diri mereka sebagai “ulama”, lebih banyak menimbulkan kekecohan dan kekeliruan daripada kejelasan.

Tindak tanduk mereka yang berlagak lebih tahu daripada kehendak roh dan semangat PAS itu sendiri, menyebabkan Dr Mujahid menulis buku tersebut untuk menjelaskan semula hasrat dan cita-cita PAS serta cuba memahamkan sikap dan kebijaksanaan parti terhadap pelbagai isu dalam kerangka negara berpandukan kepada semangat perlembagaan parti.


[Ketua Dewan Muslimat PAS Malaysia Difitnah] "Inilah cerita sebenar, bukan Kak Lah saja-saja naik pentas"

Ketua Dewan Muslimat PAS Malaysia, Siti Zailah Mohd Yusoff kesal terhadap sikap sesetengah pihak yang menuduhnya menentang hudud tanpa mendapatkan penjelasan beliau.

Beliau dituduh menolak hudud apabila gambarnya di ceramah yang dihadiri penasihat DAP, Lim Kit Siang disebarkan di media sosial.

"Saya sedih kehadiran saya di ceramah di Kota Bharu telah diviralkan, Merata-rata pihak tertentu menyebarkan gambar kehadiran saya yang didakwa menentang hudud," katanya.

Beliau sedih kerana tuduhan yang tidak benar itu telah dilakukan oleh orang yang mempunyai pegangan agama yang kuat tapi sanggup menyebarkan fitnah begitu.

Malang sekali tambah beliau, tidak ada seorang pun yang menghubunginya untuk mendapatkan penjelasan sebenar tentang apa yang berlaku dalam ceramah tersebut.

Jelas beliau yang juga Ahli Parlimen Rantau Panjang, beliau hadir ke ceramah tersebut kerana menemani suaminya yang mahu mendengar ceramah Ahli Parlimen Pandan, Rafizi Ramli.

"Kebetulan, Ketua Penerangan PAS Kota Bharu, Hasimah Abd Rahman melihat saya di padang dan menjemput saya naik ke pentas.

Saya menolak jemputan itu kerana saya hendak bertemu rakyat dan menemankan suami yang hendak dengar ceramah Rafizi.

"Pengerusi majlis ketika itu berulang kali memanggil saya naik ke pentas. Hadirin yang saya temui juga berulang kali meminta saya naik ke pentas," katanya.

"Kebetulan pula, ada Timbalan Presiden, Mohamad Sabu, jadi saya rasa tidak elok jika saya menolak permintaan penganjur, Inilah cerita sebenar, bukan Kak Lah saja-saja datang untuk naik ke pentas," jelasnya.

Beliau menegaskan, sebagai anak jati Kelantan yang sudah lebih 30 tahun bersama PAS, beliau memang sudah serasi dengan kepimpinan ulama.

"Jadi kenapa fitnah saya dan DMPP menentang kepimpinan ulama dan menentang hudud?" soalnya. - -HD

Tiada ulasan:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Artikel Terbaru

 
IdaMan - Blogger Templates, - by Templates para novo blogger Displayed on lasik Singapore eye clinic.