Cari Blog Ini

Mat Sabu Menyindir Sesetengah Pihak Dalam PAS Yang Cuba Berbaik-Baik Dengan Umno Dalam Ceramahnya Anjuran PAS Kota Baru


Mat Sabu kecam pihak yang mahu beri ‘tongkat’ baru kepada Umno
Timbalan Presiden PAS Mohamad Sabu mengecam pihak yang cuba memberikan “tongkat” baru kepada Umno selepas tongkatnya selama ini patah, merujuk kepada MCA dan MIC, dua parti komponen utama Barisan Nasional (BN) yang lain.

Tanpa menamakan pihak yang mahu menongkat Umno itu, Mohamad atau lebih dikenali sebagai Mat Sabu berkata, ketika Umno terhoyong hayang mahu rebah sekarang, ada pihak yang cuba menahannya daripada jatuh.

"Ciss... siapa yang nak beri tongkat baru kepada Umno?" tanya Mat Sabu dalam satu ceramahnya malam tadi di Kota Baru.

Turut serta dalam ceramah anjuran PAS Kota Baru itu Ketua Ahli Parlimen DAP Lim Kit Siang dan Setiausaha Agung PKR Rafizi Ramli.

Mat Sabu dipercayai menyindir sesetengah pihak dalam PAS yang cuba berbaik-baik dengan Umno.

Menurut Mat Sabu, semasa satu Muktamar Pemuda PAS di Rusila, Marang, mursyidul am PAS ketika itu, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat berkata, kekuatan Umno dan BN ialah kerana adanya tongkat iaitu daripada MCA dan MIC.

"Kalau kita berjaya patahkan tongkat itu, rebahlah Umno," kata Allahyarham Nik Aziz sebagaimana diceritakan Mat Sabu.

"Sekarang orang Cina dan India tidak mahu lagi undi Umno dan BN, ertinya tongkat Umno sudah patah dan Umno pasti akan rebah.

"Sekarang, dua tongkat Umno itu sudah patah, ertinya Umno sedang terhoyong hayang, tiba-tiba ada orang yang mahu tahan Umno supaya jangan tumbang," kata Mat Sabu dalam ucapannya di depan kira-kira 1,000 hadirin.

Baru-baru ini, semasa diwawancara akhbar Singapura, Nation, Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang ada mencadangkan sekali lagi agar kerajaan perpaduan tanpa pembangkang ditubuhkan di Malaysia dengan menggabungkan semua parti dalam negara, baik daripada BN mahu pun Pakatan Rakyat (PR).

Cadangan ini pernah beliau suarakan selepas Pilihan Raya Umum (PRU) 2008 namun ditolak pimpinan PAS sendiri.

Sebelum ini, Datuk Seri Anwar Ibrahim pernah juga mencadangkan penubuhan kerajaan dalam bentuk yang sama iaitu satu koalisi nasional manakala Lim pernah mencadangkan kerajaan dibentuk berdasarkan tentangan kepada hudud.

Dalam ceramahnya malam tadi, Mat Sabu juga menegaskan, kejayaan PAS dalam politik selama ini ialah melalui kerjasama dengan pihak lain.

Beliau berkata, kejayaan PR memerintah 5 negeri pada PRU 2008 adalah kerana kerjasama antara PAS, PKR dan DAP.

"Adakah DAP berjaya membentuk kerajaan bersendirian di Pulau Pinang? Tidak boleh," tegasnya, "Begitu juga PKR.

Mereka tidak akan berjaya membentuk kerajaan bersendirian di Selangor.

"Kejayaan PAS mengambil alih Kelantan pada 1990 juga adalah kerana bekerjasama dengan pihak lain iaitu Semangat 46."

Begitu juga pembentukan kerajaan negeri Terengganu pada 1999 yang merupakan hasil kerjasama dengan parti Keadilan Nasional, katanya.

- The Malaysian Insider

                   

                         

Tiada ulasan:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Artikel Terbaru

 
IdaMan - Blogger Templates, - by Templates para novo blogger Displayed on lasik Singapore eye clinic.