Cari Blog Ini

Kes Culik : ESSCOM Sabah Tidak Berfungsi !


Siasat culik dekat kawasan kawalan keselamatan
[sinar]- Kerajaan sedang menyiasat bagaimana insiden penculikan bersenjata yang berlaku di Sabah baru-baru ini boleh terjadi berhampiran kawasan kawalan pasukan keselamatan, kata Menteri di Jabatan Perdana, Menteri, Datuk Seri Shahidan Kassim.  

"Apa yang menimbulkan persoalan kenapa benda ini boleh berlaku berhampiran kawasan yang jaraknya hanya 30 minit daripada kawalan tentera laut, polis marin dan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM).

"Siasatan sedang diambil dan hasilnya akan dimaklum pada orang ramai nanti," katanya ketika menggulung perbahasan usul berkenaan isu penculikan di Sabah, pada persidangan Dewan Rakyat di sini, hari ini.

Usul itu dikemukakan Datuk Raime Unggi (BN-Tenom) yang antara lain bertujuan mencari penyelesaian dan pendekatan berkesan serta komprehensif dalam menangani isu itu demi keselamatan rakyat Sabah.

Usul berkenaan dibahaskan empat anggota Dewan iaitu Datuk Bung Mokhtar Raden (BN-Kinabatangan), Wong Tien Fatt (DAP-Sandakan), Datuk Dr Makin@Marcus Mojigoh (BN-Putatan) dan Datuk Madius Tangau (BN-Tuaran) yang secara terus-terang menyuarakan ketidakpuasan hati mereka dengan aspek kawalan keselamatan terutamanya di Timur Sabah.

Antara isu yang dibangkit termasuk penambahan dan penempatan aset keselamatan di kawasan perairan Sabah itu, memandangkan kerajaan sebelum ini telah pun meluluskan peruntukan sebanyak RM660 juta dalam bajet 2015 bagi tujuan tersebut.

Mereka juga berpendapat kerajaan harus mengambil langkah lebih agresif dan ofensif melalui kerjasama serantau dan antarabangsa, termasuk dengan Filipina berbanding hanya bertahan tanpa mengambil tindakan selanjutnya.

"Pegawai bertugas (di kawasan Esscom) tapi tiada bot, helikopter dan sebagainya, Kalau di negara luar, helikopter (membuat pemantauan) setiap masa, tapi kita tiada.

"Keyakinan rakyat pasti akan hilang...kata mesti dikota," tegas Bung Mokhtar.
Senada dengan Bung, Wong menggesa kerajaan meningkatkan bilangan aset.

"Tingkatkan bilangan aset, helikopter dan radar yang canggih. Kita hairan Ketua Menteri Sabah dah minta helikopter, tapi sampai sekarang belum ada lagi".

Madius pula mahu kerajaan meningkatkan aspek perisikan dan kawalan di pintu masuk sempadan bagi mengelak episod penculikan di negeri itu berulang.   

Menjelas lanjut, Shahidan berkata, bagi memenuhi keperluan mendesak untuk menempatkan aset pertahanan di kawasan perairan itu, kerajaan menimbang membeli aset siap atau sedia ada bagi kegunaan segera pasukan keselamatan.

Tambahnya, kerajaan berkongsi kegelisahan rakyat Sabah dan akan cuba sedaya upaya agar kawasan terbabit selamat dan dalam masa sama memastikan kes culik itu dapat diselesaikan dengan segera.

Insiden terbaharu penculikan bersenjata di Sabah berlaku pada 7.45 malam Khamis lepas apabila empat lelaki bersenjata menyerbu Restoran Ocean King dan menculik seorang lelaki dan seorang wanita warga tempatan dan kedua-dua mangsa dilaporkan kini berada di salah sebuah pulau di perairan Filipina.

Mangsa dikenali sebagai Thien Nyuk Fun, 50, kakak ipar pengurus restoran itu dan Bernard Then Ted Fen, 39, dari Sarawak yang bekerja sebagai perunding elektrikal di Kemboja. Persidangan dewan bersambung esok.


                Menteri akui ada aset tidak dapat digunakan di perairan Sabah

Susulan insiden penculikan yang timbul semula di Sabah minggu lepas, Putrajaya hari ini mengakui beberapa aset yang dibeli bagi tujuan pemantauan keselamatan di perairan negeri itu tidak dapat digerakkan atas sebab tertentu.

Bagaimanapun, Datuk Seri Shahidan Kassim berkata, pihak berkuasa masih menyiasat insiden terbaru di Sandakan itu, yang menimbulkan persoalan dan kritikan orang ramai bagaimana boleh berlaku di bawah Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (Esscom).

"Selepas kerajaan meluluskan peruntukan, kita tidak boleh menggunakan aset itu serta merta, Seperti kapal dan bot, ia mesti dibina terlebih dahulu," katanya, sambil menambah, ia memakan masa sebelum boleh digunakan.

"Namun, kita akan fikirkan selepas ini, untuk membeli yang pasang siap," kata Shahidan membentangkan jawapan kementerian kepada usul persendirian yang dibawa Ahli Parlimen Tenom Datuk Raime Unggi berhubung langkah menangani isu penculikan di Sabah.

Beliau juga berkata, kegiatan menculik dengan menuntut wang tebusan merupakan sebahagian daripada budaya masyarakat selatan Filipina.

Katanya, faktor kemunduran ekonomi yang dihadapi rakyat negara tersebut antara penyumbang terhadap beberapa insiden penculikan yang berlaku di Sabah.

"Budaya menculik dan meminta wang tebusan menjadi sebahagian budaya masyarakat selatan Filipina, "Ini kerana masalah ekonomi mereka yang menyumbang kepada aktiviti tersebut," kata Shahidan.

Beberapa siri penculikan berlaku di perairan negeri itu sejak beberapa tahun kebelakangan dan yang terbaru di sebuah restoran Khamis lepas, melibatkan seorang lelaki dan seorang wanita.

Ia menimbulkan kegusaran orang ramai termasuk wakil rakyat Barisan Nasional dan pembangkang yang turut mempersoalkan fungsi Esscom.

- The Malaysian Insider

Tiada ulasan:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Artikel Terbaru

 
IdaMan - Blogger Templates, - by Templates para novo blogger Displayed on lasik Singapore eye clinic.