Cari Blog Ini

Kenapa Presiden PAS Tidak Marah Sarjana Islam Pertikai Hudud


Edisi Selangor & Kuala Lumpur
Kenapa tidak marah sarjana Islam pertikai hudud, soal DAP
Kenyataan Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang yang orang Islam perlu marah DAP kerana mempertikaikan hudud di Kelantan memberi gambaran salah, kata DAP, seakan Islam agama yang tidak mampu menerima perbezaan pendapat.

Penolong Setiausaha Publisiti Kebangsaannya Zairil Khir Johari berkata, pelaksanaan undang-undang itu juga malah turut dipertikaikan sarjana Islam sendiri yang menerima hudud sebagai tuntutan syarak, namun takrifan dan kaedah pelaksanaannya sering menjadi pertikaian.

Ini termasuk ilmuwan Islam seperti Sheikh Mustafa al-Zarqa, Muhammad Abu Zahra, Mohamad Salim al-Awa dan Sheikh Yusuf al-Qaradawi, katanya.

"Mufti Perlis Datuk Dr Muhammad Asri Zainul Abidin pun mengingatkan, tidak menjadi masalah sekiranya undang-undang hudud di Kelantan dipertikaikan, kerana ia takrifan manusia dan bukan hukum yang disalin daripada Al-Quran secara bulat-bulat.

"Justeru, apakah Hadi akan marah terhadap para sarjana Islam tersebut, memandangkan mereka juga mempersoalkan dan mempertikaikan pelaksanaan hudud?" soalnya dalam kenyataan hari ini.

Hadi dalam program "Bicara Harakah" di Kuala Lumpur semalam berkata, PAS berhak menyuarakan kemarahannya terhadap DAP yang menolak hudud kerana ia diizinkan Allah.

Katanya, sifat marah memang semula jadi ada pada manusia biasa dan ia menjadi tanggungjawab PAS kerana parti demokratik itu menentang pelaksanaan hukum Allah.

"Kita marah pada perkara yang Allah izinkan. Perkara yang Allah tak izinkan, kita tak marah," katanya.

Zairil yang juga Ahli Parlimen Bukit Bendera itu bagaimanapun berkata, kenyataan Hadi amat mengecewakan kerana sebagai ulama, beliau perlu sedar,  seorang mukmin harus berusaha memperlihatkan keindahan hukum Tuhan dan menghapuskan segala keraguan terhadap pelaksanaanya, bukannya marah jika ada pihak yang tidak sehaluan pendapat.

Katanya, Hadi tidak memilih jalan muzakarah atau perbahasan rasional dan mungkir janji apabila tidak membawa isu enakmen hudud di Kelantan untuk perbincangan dan pertimbangan Pakatan Rakyat (PR) sebelum dibentangkan di Dewan Undangan Negeri (DUN) Kelantan.

Hadi juga, katanya, membentangkan rang undang-undang bagi meminda Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) pada sidang Dewan Rakyat yang lalu tanpa persetujuan Jawatankuasa PAS Pusat.

"Jelas, beliau tidak berminat untuk bermuzakarah dengan rakan-rakan seperjuangan," kata Zairil.

Katanya, Hadi sebaliknya menunjukkan sikap optimis terhadap Umno apabila menyatakan sokongan Umno dalam pelaksanaan hudud ikhlas dan harus disahut.

"Saya berasa sangat musykil dengan sikap Hadi ini, memandangkan Umno sendiri yang menggagalkan pelaksanaan hudud di Kelantan dan Terengganu sebelum ini," katanya.

Katanya, pada masa sama, tiada usaha daripada Umno membentangkan undang-undang sama di mana-mana negeri dikuasai mereka, sementara menteri Umno sendiri mengeluarkan kenyataan lantang menolak pelaksanaan hudud di Malaysia

"Pada hemat saya, Umno jelas tiada niat ikhlas melaksanakan hudud. Dan minatnya dalam isu ini hanyalah untuk memperlihatkan kehancuran PR," katanya.

The Malaysian Insider


    Adakah agama benarkan Hadi dimarahi kerana langgar dasar Pakatan, soal DAP

Veteran DAP Lim Kit Siang melahirkan rasa terkejutnya apabila Datuk Seri Abdul Hadi Awang mewajarkan kemarahannya terhadap penolakan hudud oleh parti itu atas nama Islam.

Katanya, ia satu langkah terkebelakang yang sangat merbahaya dan memecahbelahkan serta boleh menghambat proses membina negara Malaysia yang warganegaranya berbilang kaum, agama dan budaya.

Oleh itu, Lim bertanya, adakah kemarahan terhadap presiden PAS itu juga dibenarkan agama kerana katanya, Hadi berlaku tidak jujur, tidak ikhlas dan khianat kepada Pakatan Rakyat (PR).

"Adakah kemarahan terhadap Hadi dibenarkan, bukan sahaja menurut agama Islam tetapi juga agama-agama lain di dunia, kerana tidak berlaku jujur, tidak ikhlas dan khianat apabila terus menerus melanggar Dasar Bersama PR serta prinsip konsensus PR?

"Ia menjadi sebab Majlis Pimpinan PR berada dalam krisis dan tidak bermesyuarat lebih tiga bulan, memandangkan Hadi secara unilateral dan sewenang-wenangnya mengabaikan keputusan Majlis Pimpinan, atau membatalkan pandangan pimpinan PAS yang hadir ke mesyuarat mewakili beliau, merebut kuasa veto ke atas Majlis Pimpinan," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Ahli Parlimen Gelang Patah itu mengulas kenyataan Hadi terdahulu hari ini yang berkata, PAS berhak menyuarakan kemarahannya terhadap rakan sekutunya DAP yang menolak hudud kerana ia diizinkan Allah.

Kata Hadi, sifat marah memang semula jadi ada pada manusia biasa dan ia menjadi tanggungjawab PAS kerana parti demokratik itu menentang pelaksanaan hukum Allah.

Dalam kenyataan sama petang ini, Lim turut menyenaraikan enam peristiwa yang dianggapnya membuktikan Hadi tidak jujur terhadap PR.

"Pertama sewaktu pilihan raya umum Mei 2013 (PRU13) apabila beliau memberi kuasa kepada calon PAS bertanding di 6 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) yang diperuntukkan kepada PKR sehingga mengakibatkan pertembungan 3 penjuru serta kekalahan bagi PR di kerusi ini.

"Ke-2 apabila Hadi membatalkan keputusan Majlis Pimpinan pada 17 Ogos, 2014, yang dihadiri pimpinan utama DAP, PKR dan PAS (walaupun Hadi tidak hadir) yang Presiden PKR Datuk Seri Wan Azizah Wan Ismail akan dilantik ke jawatan menteri besar Selangor," katanya.

Lim berkata, kali ke-3 ialah apabila Hadi memungkiri komitmen beliau sendiri kepada Majlis Pimpinan dalam mesyuarat pada 8 Februari, 2015, yang sebarang pindaan kepada Enakmen Jenayah Syariah Kelantan 1995 mesti terlebih dahulu dibentangkan kepada majlis itu.

Begitu juga sebarang rang undang-undang persendirian yang hendak dibawa di Parlimen berkenaan pelaksanaan hudud.

Kali ke-4 pula ialah ketika enakmen tersebut dibentang dan diluluskan DUN Kelantan pada 19 Mac, tanpa merujuk kepada Majlis Pimpinan.

"Kali ke-5 apabila Hadi sendiri mengemukakan usul rang undang-undang persendirian di Parlimen berkenaan pelaksanaan hudud dalam sidang Mac/April, juga tanpa merujuk kepada Majlis Pimpinan.

"Kali ke-6 pula ialah kemunculan semula rang undang-undang persendirian Hadi dalam sidang Parlimen Mei/Jun, sekali lagi tanpa merujuk kepada Majlis Pimpinan PR," kata Lim dalam kenyataannya.

Justeru, Lim yang menyifatkan Hadi tidak jujur apabila menyatakan DAP setuju dengan pelaksanaan hudud di Kelantan, mengingatkan Hadi yang krisis dalam PR selama ini berpunca daripada haluan PAS yang dipimpinnya.

"PR berdepan krisis bukan kerana hudud, tetapi kerana sama ada PAS pimpinan Hadi bersedia berpegang kepada janji dan kekal komited kepada dasar bersama PR serta prinsip konsensus yang dipersetujui ketiga-tiga parti," katanya.

Beliau juga percaya Hadi akan sekali lagi dipermainkan Umno pada sidang Dewan Rakyat kali ini dan rang undang-undang persendiriannya akan mengalami nasib sama seperti sebelumnya di mana ia tidak akan diberi keutamaan.

The Malaysian Insider

                   

Tiada ulasan:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Artikel Terbaru

 
IdaMan - Blogger Templates, - by Templates para novo blogger Displayed on lasik Singapore eye clinic.